Judul: Panduan Lengkap Puasa Ramadhan Menurut Al-Qur’an dan As-Sunnah | Penulis: Abu Abdillah Syahrul Fatwa bin Luqman, dan Abu Ubaidah Yusuf bin Mukhtar As-Sidawi | Penerbit: Pustaka Al-Furqon | Berat: 240g | Muka Surat: 213m/s (Soft cover) | Ukuran buku: 19.8cm (tinggi) x 13.5 cm (lebar) x 1.1cm (tebal) | ISBN: 978-602-1446-94-2 |
Mendalami ilmu agama dan mempelajari hukum-hukum Islam yang berkaitan dengan ibadah, mu’amalah, dan selainnya termasuk keperluan yang amat penting serta merupakan kewajiban bagi seoarang muslim supaya ia sentiasa berada di atas ilmu yang benar dalam melaksanakan agamanya.
Dengan demikian, amalan yang ia usahakan diharapkan bersesuaian dengan petunjuk Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan ikhlas semata-mata kerana Allah.
Salah satu ibadah mulia yang wajib kita ketahui ilmunya secara mendalam adalah ibadah puasa Ramadhan, kerana Allah Ta'ala telah mewajibkan bagi orang-orang yang beriman. (lihat Surah Al-Baqarah, 2: 183)
Oleh itu, untuk mengetahui dan memahami petunjuk Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di bulan puasa (bulan Ramadhan) tidak cukup hanya dengan angan-angan dan mendengar si fulan berkata serta si ustaz berkata. Tetapi perlu dengan ilmu dan dalil-dalil yang sahih yang bermanfaat yang mampu membuahkan amal-amal yang soleh.
Dari sebab itulah buku ini hadir kepada kita. Penulis berusaha dengan kemampuannya membawa dan mengumpulkan sebuah perbahasan yang padat, ilmiyah, dan mudah berkaitan amalan puasa di bulan Ramadhan.
Antara yang dibahaskan di buku ini adalah tentang maksud dan definisi puasa, hikmah dan keindahan berpuasa dalam Islam, keutamaan bulan Ramadhan, keutamaan berpuasa di bulan Ramadhan, hukum-hakam puasa di bulan Ramadhan, kepada siapa puasa diwajibkan, rukun puasa, golongan yang dibenarkan tidak berpuasa, perkara-perkara yang membatalkan puasa, syarat-syarat puasa, perkara-perkara yang disangka membatalkan puasa oleh kebanyakan orang, adab-adab puasa, sunnah i’tikaf, lailatul qadar, bulan al-Qur’an, zakat fitrah, hukum-hakam zakat fitrah dan yang berkaitan dengannya, solat ‘ied, perayaan dalam Islam, sunnah-sunnah hari raya, fatwa-fatwa umum berkaitan persoalan puasa dan hari raya, doa-doa ketika berpuasa dan berbuka, pelajaran-pelajaran penting di bulan Ramadhan, bid’ah-bid’ah di bulan Ramadhan, hadis-hadis popular terkait Ramadhan namun palsu, dan beberapa lagi yang lainnya.