Judul: Syarah Hadits Arba’in karya Ibnu Daqiq Al-‘Ied | Judul Asal (‘Arab): Syarh Matan Al-Arba’iin An-Nawawiyyah | Penulis: Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) | Syarah: Imam Ibnu Daqiq Al-‘Ied rahimahullah (Wafat: 702H) | Penerbit: Media Hidayah | Berat: 250gram | Muka Surat: 195 m/s. (Soft Cover). [Disediakan oleh Atsar Ent., www.atsar.ilmusunnah.com]
Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) mengatakan dalam mukaddimah beliau ketika menyusun Al-Arba’in-nya:
“...Saya berinisiatif untuk menyusun (menghimpunkan) empat puluh hadis yang mencakup seluruh persoalan di atas (merujuk perkara ushul agama, furu’, jihad, zuhud, adab dan nasihat-nasihat – pent.). Masing-masing hadis merupakan kaedah yang agung di antara kaedah-kaedah agama dan disifatkan ulama bahawa hadis tersebut adalah dasar penting Islam atau sebahagian darinya, atau sepertiganya, dan yang semisalnya.
Kemudian saya berkomitmen agar 40 hadis tersebut adalah hadis-hadis sahih yang majoritinya terdapat di dalam Shahih Al-Bukhari dan Muslim. Dan kami menyebutkan hadis tanpa menyertakan isnad-nya bagi mempermudah dalam menghafalnya dan agar manfaatnya lebih dapat dirasai banyak orang, in-syaa-Allaahu Ta’ala. Selanjutnya saya melengkapi dengan satu bahasan untuk menghuraikan kata-kata yang belum jelas.
Seharusnya mereka yang mengharapkan kehidupan akhirat untuk memahami hadis-hadis ini, kerana di dalamnya memuatkan perkara-perkara penting dan mengandungi peringatan-peringatan dalam masalah ketaatan dan hal tersebut semakin jelas jika dihayati.
Kepada Allah-lah saya bersandar dan hanya kepada-Nya pula saya berlindung dan berserah diri....” (Mukaddimah Imam An-Nawawi)
Tidak kurang dari tujuh belas (17) ulama besar sepeninggalan Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) yang telah menulis syarah (huraian dan penjelasan) terhadap hadis arba’in (42 hadis) yang dihimpunkan oleh An-Nawawi. Sekali pandang tampak seakan remeh dan kecil bagi yang tidak memahaminya, iaitu seakan cuma sekadar 40 hadis lebih sahaja...
Namun demikian, para ulama begitu bersungguh dan bersemangat menghafalkan hadis-hadis tersebut, menelitinya, dan mensyarahkannya kepada umat. Kerana mereka telah melihat dan memahaminya betapa tingginya kejelian dan ketajaman bashirah kurniaan Allah terhadap Imam An-Nawawi yang tampak melalui susunan 42 hadis tersebut. Yang kesemuanya adalah merupakan prinsip-prinsip penting yang agung dalam Islam, sumber dalam ilmu syari’at, dan dari hadis-hadis inilah cabang-cabang ilmu berasal.
Kitab ini ibarat “bahrun laa sahila lahu” iaitu seperti lautan tak bertepi, sukar diukur kedalamannya, sukar ditebak luasnya, dan tak terduga mutiara yang terkandung di dalamnya. Tidak ada satu aspek pun dari bangunan Islam, sama ada aqidah, syari’at, mu’amalah, akhlak dan ibadahnya melainkan telah tersentuh dalam kitab ini.
Maka amat wajar sekali apabila kitab ini sentiasa menjadi pilihan bagi mereka yang ingin mula mendalami seluruh aspek ilmu dalam Islam secara umum, kerana memang Islam adalah sebuah bangunan yang utuh dan kukuh.
Di antara sekian karya ulama, syarah yang ditulis oleh Ibnu Daqiq Al-‘Ied ini memiliki keunggulannya tersendiri kerana beberapa sebab. Pertamanya, beliau hidup sezaman dengan Imam An-Nawawi, bahkan usia beliau lebih tua daripadanya sehingga beliau lebih memahami latar belakang Imam An-Nawawi dalam mengambil masing-masing hadis. Keduanya, kapasiti beliau dalam perkara ilmu dan keperibadian tidaklah jauh berbeza dengan Imam An-Nawawi rahimahumullaah. Ketiganya, dari sisi muatannya kitab ini adalah yang paling pertengahan antara yang tebal huraian perbahasannya dengan yang ringkas dan singkat, sehingga perbahasannya dianggap fokus, tuntas, tidak memberatkan pembaca, namun tidak pula mengurangi keutamaannya.
Maka, sama-samalah kita semak, pelajari, fahami, dan amalkan kandungan yang bermanfaat darinya agar dapat kita renangi dan harungi besarnya samudera ilmu di depan yang tidak berbatas, sekaligus mendulang mutiara-mutiara ilmu yang tidak ternilai harganya. [Disediakan oleh Atsar Ent., www.atsar.ilmusunnah.com]