Judul: Tafsir Al-Muyassar | Judul Asal (‘Arab): At-Tafsiir Al-Muyassar | Penulis: Dr. Hikmat Basyir bersama team Mujamma’ Al-Malik Fahd li Thibaa’atil Mush-haf Asy-Syarif, dan disemak oleh Syaikh Soleh bin ‘Abdul ‘Aziz bin Muhammad Alu Asy-Syaikh dan Syaikh Dr. Bakr bin ‘Abdillah Abi Zaid rahimahullah | Penerbit (Edisi Terjemahan): Daar An-Naba’ | Berat: 4.5kg | Muka Surat: 3 jilid lengkap (Hard cover). [Disediakan oleh Atsar Ent., www.atsar.ilmusunnah.com]
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah menjelaskan dan mengajarkan makna-makna Al-Qur’an kepada para sahabatnya sebagaimana beliau telah menjelaskan lafaz-lafaz Al-Qur’an itu sendiri. Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) berkata dalam Ushul At-Tafsirnya:
“Wajib diketahui bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah menjelaskan makna-makna Al-Qur’an kepada para sahabatnya sebagaimana beliau menjelaskan lafaz-lafaznya. Firman Allah Ta’ala: “Agar engkau menjelaskan kepada manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka.” (Surah An-Nahl, 16: 44) mencakupi lafaz dan makna.”
Para sahabat sentiasa merujuk kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berhubung dengan makna ayat-ayat Al-Qur’an yang muyskil bagi mereka.
Setelah era para sahabat berlalu, lahir pula ulama besar dari kalangan tabi’in yang merupakan murid-murid kepada para sahabat Nabi. Para ulama tabi’in tersebut belajar tafsir Kitab Allah dari para sahabat, dan mereka jelaskan pula kepada masyarakat yang ada di zaman mereka dari apa yang telah mereka perolehi dari guru-guru mereka (para sahabat Nabi) tentang Al-Qur’an dan tafsirannya.
Ilmu terus berkembang sehingga terhasillah sebuah disiplin ilmu dengan kekayaan yang melimpah, rambu-rambu pemikiran dan kecenderungan dengan kepelbagaian mulai terlihat seiring dengan lahirnya zaman penulisan pelbagai disiplin ilmu Islam lainnya.
Salah satu arah pemikiran penting di bidang tafsir adalah tafsir bil ma’tsur (tafsir berdasarkan riwayat-riwayat dari generasi awal Islam). Tafsir yang mencakup keterangan dan penjelasan dari Al-Qur’an sendiri untuk menjelaskan sebahagian ayat-ayatnya, dan apa yang dinukil dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi w aSallam serta para sahabat beliau ridhwanullaai ‘alaihim yang menyaksikan turunnya Al-Qur’an dan mengetahui tafsirnya. Dan juga diambil dari atsra-atsar para tabi’in yang menimba ilmu langsung dari sumber kenabian melalui para ahli tafsir yang manpan dari kalangan sahabat-sahabat Nabi.
Di antara buku-buku tafsir di bidang ini yang terpentig adalah Jami’ Al-Bayan karya Imam Ibnu Jarir Ath-Thabari rahimahullah (Wafat: 310H), yang merupakan tafsir terbaik sebagaimana disebutkan oleh Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah. Berikutnya adalah Ma’aalim At-Tanziil atau disebut sebagai Tafsir Imam Al-Baghawi rahimahullah (Wafat: 516H) yang menetapkan tafsir bil ma’tsur dengan riwayat-riwayat yang sahih secara umum. Kitab seterusnya adalah Tafsir Al-Qur’an Al-‘Adzim karya Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) dan termasuk tafsir yang paling berharga dan paling dicadangkan oleh para ulama untuk para penuntut ilmu dan pemula.
Selanjutnya zaman penulisan buku-buku tafsir mengalami pergeseran apabila munculnya pelbagai skop tafsir berdasarkan ijtihad dan aliran disiplin ilmu yang pelbagai. Contohnya ada tafsir yang fokus kepada tafsir berorientasi fiqhiyyah, tafsir berorientasikan sirah, tafsir bahasa (nahu dan balaghah), dan selainnya. Namun ada pula yang berusaha menghimpun setiap disiplin ilmu yang beragam tersebut menjadi satu kitab tafsir tersendiri. Sebahagiannya dihasilkan dari kalangan ahlus sunnah wal-jama’ah, namun tidak kurang pula yang muncul dari kalangan ahli bid’ah yang melaluinya tersebar pelbagai pemikiran dan aqidah yang sesat.
Seiring dengan kepelbagaian arah pemikiran di bidang tafsir pasca zaman sahabat, lahir penafsiran-penafsiran terhadap Al-Qur’an dengan berdasarkan pendapat-pendapat yang bertentang dengan tafsirnya yang asal yang bersumber dari Rasulullah dan para sahabatnya. Tafsir-tafsir bentuk baru tersebut bertentangan dengan kaedah-kaedah dasar sesebuah tafsir. Akhirnya fenomena ini menyebabkan sebahagian kaum muslimin pun menjauh dari kefahaman yang benar terhadap Al-Qur’an. Mereka memahami Al-Qur’an bukan lagi dengan kaedah tafsir yang dibawa oleh Rasulullah dan para sahabatnya. Bahkan sebahagian mereka ada yang mencerna tafsiran Al-Qur’an berdasarkan ra’yu (pendapat-pendapat akal), secara bathin, dengan kaedah bahasa semata-mata, dan mereka mentakwil ayat-ayat Al-Qur’an mengikut hawa nafsu pemikiran kelompok masing-masing.
Ini adalah suatu hal yang amat membimbangkan dan harus kembali dimurnikan dan diberi pencerahan.
Atas sebab itulah beberapa kalangan dari ulama Islam pun mulai memilah atau menyaring kembali tafsir-tafsir yang telah banyak tersebar dalam kalangan masyarakat sekaligus berusaha membersihkan, memberi pencerahan, dan memberi bantahan yang sejawarnya di samping berusaha menyebarkan tafsiran asal yang sebenar sebagaimana difahami oleh generasi awal umat Islam.
Zaman ini sangat memerlukan sebuah tafsir ringkas namun tetap memberi tumpuan pada kandungannya agar bersesuaian dengan kaedah-kaedah tafsir generasi awal yang dikenal dengan tafsir bil ma’tsur atau bir riwayah yang diambil dari hadis-hadis Nabi yang sahih atau atsar-atsar para salaf dari kalangan sahabat dan tabi’in. Ini tidak lain adalah dalam rangka menjaga kemurniaan kefahaman umat Islam terhadap Al-Qur’an dan agama Islam itu sendiri.
Tafsir yang lebih mudah dan ringkas amat diperlukan kerana tidak setiap kalangan masyarakat itu mampu mencerna tafsir yang besar dan meluas bahasannya. Khasnya bagi para pemula, tafsir yang ringkas dan fokus lebih mudah mendekatkan mereka kepada ilmu-ilmu yang berikutnya sekaligus lebih mudah memberikan cakupan dan gambaran umum tentang Al-Qur’an itu sendiri berbanding tafsir yang besar dan luas cakupannya mungkin akan membuat mereka lelah serta mudah putus-asa untuk memguasainya.
Atas sebab itulah, satu team tafsir yang dianggotai oleh para ulama tafsir terkemuka yang berpusat di Madinah Al-Munawwarah telah pun dibentuk dan mereka pun berusaha menyusun maksud tersebut. Bahkan mereka turut berusaha agar tafsir tersebut tidak hanya tersebar dalam edisi bahasa ‘Arab, tetapi juga ke pelbagai bahasa-bahasa dunia lainnya termasuk bahasa english dan bahasa Melayu yang ada di hadapan kita ini, walhamdulillaah.
Maka, terhasillah sebuah tafsir yang dikenal dengan mana Tafsir Al-Muyassar. Di antara titik penting dan fokus susunan Tafsir Al-Muyassar ini adalah:
1, Menafsirkan ayat-ayat Al-Qur’an sejalan dengan manhaj salaf, iaitu manhaj para ulama generasi awal dari kalangan sahabat dan tabi’in.
2, Mengedepankan metode tafsir bil ma’tsur.
3, Mengedepankan nukilan dari sumber-sumber yang sahih, maqbul, dan rajih.
4, Membentangkan metode dan hasil tafsir dengan kalimat yang mudah, ringkas, fokus, dan disertai penjelasan kalimat-kalimat penting.
5, Memuatkan tafsir bersesuaian dengan riwayat Hafsh dan ‘Aashiim.
6, dan beberapa ciri tambahan lainnya oleh penterjemah seperti terjemahan dan tafsiran edisi bahasa english, di samping bahasa melayu dan indonesia. Disertai pula dengan Asbabun Nuzul (sebab-sebab turunnya ayat).
Semoga dengan usaha ini, akan menjadi titik mula membangkitkan usaha dan semangat kaum muslimin untuk kembali memahami Al-Qur’an dengan tafsirannya yang murni dan selamat berdasarkan manhaj dan kefahaman para salaf umat ini. Bukan kefahaman yang dicemari dengan pemikiran-pemikiran baru, falsafah akan, dan takwil-takwil golongan yang menyimpang.
Baarakallaahufiikum.