Judul: DVD MP3 Ilmu Ushul Fiqih (Bahas Kitab Syaikh Ibn ‘Utsaimin) | Perbahasan Kitab: Kitab Al-Ushul min ‘Ilmil Ushul karya Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin rahimahullah (Wafat: 1421H) | Pembahas: Ustaz Dzulqarnain M. Sunusi hafidzahullah | Penerbit: Pustaka As-Sunnah (Makassar) | Berat: 150g | Muka Surat: 1 DVD Mp3.
Maksud Al-Ushul (الأصول) adalah bentuk jama’ dari kata al-ashl (الأصل). Iaitu sesuatu yang menjadi dasar atau tunjang bagi sesuatu di atasnya.
Maksud fiqh secara bahasa adalah Al-Fahm (الفهم), iaitu memahami atau kefahaman. Iaitu Memahami dengan kefahaman yang benar terhadap hukum-hakam syari’at yang bersifat ‘amaliyah (praktikal) berdasarkan dalil-dalilnya secara terperinci.
Ushul Fiqh
Cara istinbath atau kaedah menyimpulkan hukum dari dalil-dalil tersebut iaitu dengan makna menhuasai dan mengetahui bagaimana cara yang benar untuk menyimpulkan hukum-hakam dari dalil-dalil yang ada dengan mempelajari hukum-hukum lafal (yang ada pada dalil), dan jenis-jenis indikasi (isyarat) serta maksud kandungan dalil, adakah ia bersifat umum atau khusus, ithlaq (global) atau taqyid (berkait), nasikh (bersifat memansuh) atau mansukh (dimansuh), ataupun selainnya. Dengan mengetahui hal tersebut, maka dia pun mampu menyimpulkan hukum-hakam fiqh berdasarkan dalil-dalil yang sampai kepadanya.
Seterusnya memahami sumber hukum-hakam sama-ada diambil dari nash secara terus, atau diambil berdasarkan ijma’, qiyas, atau yang lainnya. Serta memahami pula jenis dan bentuk-bentuknya.
Kemudian mengenal pula keadaan orang-orang yang berfatwa, ijtihad, taqlid, dan seumpama, maka ini semua termasuk dalam perbahasan ilmu ushul fiqih.
Al-Ushul min ‘Ilmil Ushul
Maka, kitab ini adalah hasil karya Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin rahimahullah. Disusun khas untuk para pelajar (penuntut ilmu) di peringkat pendidikan menengah.
Di dalamnya terkandung ringkasan perbahasan tentang ilmu ushul fiqh yang antaranya mencakupi perbahasan Ahkam (bentuk dan jenis hukum-hakam dalam syari’at), al-‘ilm, kalam, ‘amr, nahy (larangan dan bentuk-bentuknya), al-am (keumuman), al-khash (khusus), muthlaq dan muqayyad, mujmal dan mubayyan (yang samar dan yang jelas), zhahir dan mu’awwal, nasakh dan mansukh, akhbar, ijma’, qiyas, ta’arudh, mufti dan fatwa (serta syarat-syaratnya), ijtihad, dan taqlid.
Dibahas, disyarah, dihurai, diperjelas, dijabar dan diperincikan oleh Ustaz Dzulqarnain hafidzahullah dalam sebuah daurah/seminar khas selama tiga hari. Dan yang ada di hadapan kita ini adalah hasil rakamannya dalam bentuk DVD berformat MP3. Yang dengannya semoga dapat memberi manfaat dan tambahan ilmu buat kita dan para pendambanya di luar sana.
Semoga bermanfaat.
Biografi Pensyarah atau Pembentang Secara Ringkas
Beliau adalah Dzulqarnain bin Muhammad Sunusi, lahir di Makassar pada 17 Sya’ban 1396 H (12 Ogos 1976M). Setelah mula menuntut ilmu agama di pulau Jawa pada 1994, pada 1995 beliau meneruskan pelajaran di pelbagai bidang ilmu syari’at kepada ulama hadis terkemuka, iaitu Syaikh Muqbil bin Haadi Al-Wadi’iy rahimahullaah di Ma’had Dar Al-Hadits (Yaman), sampailah ke pertengahan tahun 1999 lalu menghafal Al-Qur’an 30 juz di sana.
Kemudian pada tahun 2004, beliau talaqqi pula kepada sejumlah ulama besar ‘Arab Saudi, di antaranya Syaikh Soleh bin Fauzaan Al-Fauzaan, Syaikh Ahmad bin Yahya An-Najmiy, Syaikh ‘Abdullah bin ‘Abdul ‘Aziz Al-‘Aqiil, Syaikh ‘Abdullah Al-Ghudayyaan, Syaikh ‘Abdul Muhsin Al-‘Abbaad, Syaikh Rabii’ bin Haadi Al-Madkhali, Syaikh Zaid bin Muhammad Al-Madkhali, Syaikh ‘Ubaid bin ‘Abdillah Al-Jaabiriy, Syaikh ‘Abdul Karim Al-Khudhair, serta beberapa ulama lainnya, semoga Allah merahmati dan menjaga mereka.
Selain mengkhatamkan Al-Qur’an sebanyak dua kali dari hafalan dengan membaca riwayat Hafsh dari ‘Aashim melalui jalan Asy-Syaathibiyyah dan Thayyibah An-Nasyr dari dua ahli Qira’ah; di Saudi beliau juga lebih menekuni dan mendalami pelbagai cabang ilmu agama kepada ulama-ulama tersebut dan mengambil sanad-sanad periwayatan kitab-kitab Salaf. Beliau juga sempat menghadiri beberapa majlis Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bin Baaz dan Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin rahimahumaallaah pada musim haji tahun 1998. Dikhabarkan beliau turut menghafal kitab-kitab matan penting dalam bidang ilmu dan juga menghafal kitab Shahih Muslim.
Saat ini, kebanyakan aktiviti beliau adalah mengajar dan berdakwah di jalan Allah, di Ma’had As-Sunnah (Makassar), pelbagai daerah di Indonesia, dan beberapa tempat di luar negeri. Beliau juga turut aktif menulis dan menerjemahkan buku-buku dan artikel serta menjawab pertanyaan di beberapa media cetak dan beberapa website.