Judul: Barisan Ulama Pembela Sunnah An-Nabawiyyah | Penulis: Arif Fathul Ulum bin Ahmad Saifullah | Penerbit: Media Tarbiyah | Berat: 600g | Muka Surat: 203 m/s. (Hard Cover)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
“Sesungguhnya para ulama itu adalah pewaris para Nabi. Dan para Nabi tidaklah mewariskan dinar mahu pun dirham. Namun, mereka mewariskan ilmu. Maka, sesiapa yang mengambil ilmu tersebut, benar-benar dia telah mendapat bahagian yang sangat besar.” (Sunan Abi Dawud, no. 3641. Dinilai sahih oleh al-Albani)
Kata Imam Ibnu Jarir Ath-Thabari rahimahullah (Wafat: 310H):
“Mereka adalah sandaran-sandaran manusia dalam fiqh, ilmu, dan perkara-perkara agama dan dunia.” (Tafsir Ath-Thabari, 6/544)
Berkata Ibnu Hibban rahimahullah (Wafat: 354H):
“Dalam hadis ini terdapat penjelasan yang sangat jelas bahawa ulama yang memiliki keutamaan yang kami ulas adalah mereka yang mengajarkan ilmu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sahaja, bukan yang mengajarkan ilmu-ilmu lain. Bukankah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Ulama adalah pewaris para nabi” dan para nabi tidak mewariskan apa pun melainkan ilmu dan ilmu Nabi kita Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah sunnahnya. Sesiapa pun yang tidak mengetahui sunnah, maka bukanlah pewaris para nabi (yakni bukan ulama).” (Shahih Ibnu Hibban, 1/291 - Tahqiq Syua’ib al-Arna’uth)
Ilmu di sini adalah meliputi sehingga kepada seluruh cabang-cabang ilmu dalam agama, sama ada aqidah, hadis, tafsir, fiqh, atsar para sahabat dan termasuklah penguasaan bahasa (bahasa arab). Dan ilmu tersebut dibawa pula oleh orang-orang yang terpercaya sebagaimana hadis berikut:
“Ilmu agama ini akan terus dibawa oleh orang-orang yang adil (terpercaya dan bukan fasiq) dari generasi ke generasi, yang selalu berjuang membersihkan agama dari penyelewengan maksud-maksud agama, pendustaan orang-orang sesat yang mempergunakan nama agama, dan takwilan agama yang salah yang dilakukan oleh orang-orang yang jahil.” (Hadis Riwayat Al-Baihaqi, Ath-Thabrani, dan Ath-Thahawi. Al-Albani menyatakan, “Hadis ini masyhur tetapi diperselisihkan keabsahannya.” (Tahrim Alat ath-Tharb, m/s. 69). Lihat juga: al-Albani, Misykah al-Mashabih, 1/53, no. 248)
Segala puji bagi Allah yang telah menjadikan para ulama di setiap zaman sebagai pewaris para Rasul ‘alaihis Salaam, menunjuki orang-orang yang sesat kepada pentunjuk, membawa mereka dari kegelapan kepada cahaya, dan menghidupkan orang-orang yang telah mati hatinya dengan kitabullaah.
Selawat dan salam semoga tercurah kepada Nabi kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam beserta keluarga dan para sahabatnya serta orang-orang yang mengikuti jalan mereka hingga kiamat.
Sesungguhnya paparan peri-kehidupan para ulama adalah perkara yang sangat bermanfaat bagi umat islam, kerana ia adalah tali yang menghubungkan antara masa lalu dengan masa kini, mendorong generasi berikut-nya agar meneladani sifat-sifat agung yang dimiliki oleh para ulama. Pemaparan biografi para ulama akan memberikan pengetahuan kepada para penuntut imu tentang keadaan para ulama, sirah (perjalanan hidup) mereka, fiqih mereka, keilmuan mereka, ketaqwaan mereka, dan kesolehan mereka agar generasi berikutnya menempuh jalan mereka dan mendapatkan keutamaan mereka.
Dengan memaparkan perikehidupan para ulama, maka generasi berikutnya akan menyedari bahawa umat Islam ini tidaklah mencapai kejayaan kecuali dengan taufiq dan pertolongan Allah, kemudian dengan kegigihan dan jernih payah para pendahulu mereka. Jika jerih payah ini terus berlangsung, maka berkesinambunganlah kejayaan. Adapun jika tidak, maka runtulah kejayaan ummat ini.
Demikian juga di antara kewajipan ummat kepada para ulama rahimmullah adalah mencatat keadaan-keadaan mereka yang agung, mengabadikan keutamaan-keutamaan dan kebaikan-kebaikan mereka di lembaran-lembaran sejarah, serta menjaga karya-karya ilmiah mereka yang merupakan sumbangan terbesar mereka terhadap agama Islam ini dan kaum Muslimin.
Para pemikir dan ulama sentiasa menaruh perhatian yang besar kepada biografi para ulama rahimahullah. Biografi para ulama merupakan lampu penerang di sepanjang jalan, yang dengan perantaraan mereka, orang yang berjalan malam meniti jalan dan para musafir yang ingin mencapai tujuan pun dapat menapak langkahnya dengan benar.
Pada lembaran-lembaran berikut ini, kami sajikan kepada para pembaca bunga-rampai peri-kehidupan para ulama pembela Sunnah Nabawiyyah, dengan harapan agar kita dapat mengenal lebih jelas peribadi mereka dan meneladani gerak langkah mereka.
Di antara metode ditempuh penulis (dengan izin Allah Subhanahu wa Ta’ala) dalam memaparkan biografi para ulama ini adalah berusaha mengambilnya dari rujukan yang authentik dan terpercaya. Kerana selama ini, banyak hal-hal yang tidak sahih dinisbatkan kepada para ulama rahimullah oleh para penulis biografi ulama. Penisbatan hal-hal yang tidak benar ini, di samping menafikan amanah ilmiah, juga berupaya menyesatkan ummat yang telah menjadikan para ulama sebagai figur yang diteladani.
Bahkan, ada sebahagian orang yang menulis biografi salah seorang ulama atau memaparkan nukilan sebahagian kehidupan mereka rahimahullah justeru dengan maksud untuk mendukung pemikirannya yang menyeleweng. Dia pun menampakkan kepada ummat bahawa ada ulama yang sepemikiran dengannya. Ini antaranya (kalau dapat dikemukakan sebagai contoh), adalah seperti yang dilakukan oleh website islamtoday yang meluncurkan sebuah tulisan berkaitan imam Ahli Sunnah lalu menggambarkan tentang kehidupan Imam Ahlus Sunnah, iaitu Imam Ahmad bin Hanbal, sebagai seorang tokoh yang melawan penguassa!!!
Padahal hakikatnya, Al-Imam Ahmad bin Hanbal (rahimahullah) adalah seorang imam yang masyhur dengan kegigihannya dalam menempuh manhaj Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan manhaj para sahabat radhiyallahu ‘anhu. Bahkan, beliau termasuk tokoh penyeru kepada manhaj tersebut dengan perkataan, perbuatan, sikap-sikap beliau, dan seluruh kehidupan beliau.
Al-Imam Ahmad bin Hanbal (rahimullah) selalu mengajak manusia agar selalu taat kepada penguasa selagi mereka belum keluar dari islam. Bahkan beliau mengharamkan memberontak kepada penguasa Muslim dengan cara apapun. Dan inilah yang seiring lagi bertepatan dengan manhaj yang digariskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan telah diterapkan oleh para sahabat beliau radhiyallahu ‘anhum.
Di lain pihak, banyak dari para ulama pembela As-Sunnah An-Nabawiyyah yang justeru di mata ummat dianggap sebagai tokoh kebid’ahan, atau dipandang serong. Seperti contohnya seperti Syaikh ‘Abdul Qadir Al-Jailani (rahimahullah) yang dijadikan figur oleh Thariqah Qadiriyyah yang pada diri beliau disandarkan (secara dusta) dengan kisah-kisah karamah ajaib lagi pelik-pelik.
Di sisi lain lagi, banyak sekali pembawa panji-panji fahaman kesesatan yang melontarkan tuduhan-tuduhan bathil dan fitnah-fitnah keji kepada para ulama pembela As-Sunnah An-Nabawiyyah.
Kalau dapat disebutkan di sini, antaranya seperti halnya Ibnu Bathuthah yang memuatkan tulisan berupa tuduhan-tuduhan bathil dan jahatnya kepada Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah (rahimahullah) dalam catatan-catatan beliau.
Demikian juga halnya dengan Ahmad Zaini Dahlan dalam lontaran kedustaan demi kedustaannya kepada Asy-Syaikh Muhammad bin ‘Abdul Wahhab (rahimahullah).
Demikian juga halnya para hizbiyyun (pentaksub kelompok) yang begitu banyak melontarkan kedustaan-kedustaan kepada para ulama Salafiyyin, seperti Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bin ‘Abdillah bin Baaz, Syaikh Muhammad Nashiruddin Al-Albani, Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin, Syaikh Muhammad Aman Al-Jami, dan yang lainnya (rahimahumullaah).
Dan semoga, tulisan atau catatan peribadi ulama terpilih ini berupaya menyajikan atau memaparkan perikehidupan yang sahih dari para ulama pembela Sunnah An-Nabawiyyah, sekaligus mampu menempuh jalan yang lurus yang telah ditempuh oleh mereka dan berakhlak dnegan akhlak yang mulia sebagaimana akhlak mereka.