Judul: Biografi Utsman bin Affan | Judul Asal: Siirah Aamir Al-Mu’miniin ‘Utsmaan bin ‘Affan Syahshiyatuhu wa ‘Ashruhu | Penulis: Prof. Dr. ‘Ali bin Muhammad Ash-Shalabi | Penerbit: Pustaka Al-Kautsar | Berat: 1.2kg | Muka Surat: 608 m/s. (Hard cover)
Buku ini berbicara tentang biografi ‘Utsman bin ‘Affan radhiyallahu ‘anhu dan masa hidupnya. Buku ini merupakan lanjutan dari buku-buku sebelumnya yang telah membahas tentang biografi Abu Bakar Ash-Shiddiq dan ‘Umar bin Al-Khaththab Al-Faruq radhiyallahu ‘anhu.
Adapun tujuan buku ini adalah agar kita mampu memetik pelajaran dan teladan dari mereka para Khulafa’ur Rasyidin, mengetahui tentang sunnah dan aturan-aturan Ilahi yang behubung dengan aktiviti kemasyarakatan, pembinaan negara, kebangkitan masyarakat, pendidikan kepada para pemimpin, dan para individu yang mengamalkan ilmunya untuk satu tujuan menyebarkan agama Allah kepada sekalian manusia.
Kembalinya umat ini kepada apa yang telah diperolehnya sebelumnya berupa kemampuannya memimpin umat manusia ini didasarkan pada perjalanannya dalam mengikut petunjuk Nabi Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam dan para Khulafa’ur Rasyidin. Kerana beliau telah mengkhabarkan tentang tahapan-tahapan sejarah yang akan dilalui oleh umat ini dalam mengharungi kehidupan ini dengan bersabda:
“(Masa) Nubuwwah akan ada pada kalian (selama) yang dikehendaki Allah. Kemudian (masa) kalifah yang mengikuti metode kenabian. Dan, (masa) ini akan ada (selama) yang dikehendaki Allah. Kemudian Allah menghilangkannya ketika Dia berkehendak untuk menghilangkannya. Kemudian (masa) para pemimpin yang suci. Dan, (masa) ini akan ada (selama) yang dikehendaki Allah. Kemudian Allah menghilangkannya ketika dia berkehendak untuk menghilangkannya. Kemudian (masa) khalifah yang masih bersesuaian dengan manhaj kenabian.” (Musnad Ahmad)
Mengetahui masa Khulafa’ur Rasyidin dan manhaj kenabian merupakan sesuatu yang menjalani keperluan untuk mencapai tujuan-tujuan yang ingin dicapai oleh umat islam dalam kehidupan ini. Kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah bersabda:
“Kalian wajib mengikuti sunnahku dan sunnah Khulafa’ur Rasyidin yang mendapatkan petunjuk setelahku.” (Sunan Abi Dawud)
Sejarah kehidupan para Khulafa’ur Rasyidin penuh dengan pelajaran dan suri tauladan. Kehidupan mereka ini telah diabaikan dalam banyak buku, bibliografi dan rujukan; baik dalam disiplin ilmu sejarah, hadis, fiqih, sastera mahu pun tafsir. Oleh kerana itu kami merasa sangat perlu untuk mengumpulkan, menyusun, dan menelitinya. Disebabkan sejarah Khulafa’ur Rasyidin jika disajikan dengan bentuk yang terbaik, maka akan menjadi santapan jiwa, menerangkan hati, membentuk akal fikiran, mempertinggi anggan dan cita-cita, memberikan semangat belajar dan membuka cakrawala berfikir.
Dengan mempelajari kehidupan Khulafa’ur Rasyidin, sifat dan karakteristik kepimpinannya; bagaimana mereka merumuskan hukum dan keputusan, serta akhlak generasi mereka bersama faktor-faktor yang menyebabkan kemerosotannya, maka ia akan dapat menjadikan kita mampu mengambil pelajaran dalam menyiapkan generasi muda kita untuk berada pada manhaj kenabian dan tetap untuh dalam koridor para Khulafa’ur Rasyidin. Di samping kita juga akan mampu mengenal lebih dekat dengan kehidupan orang-orang yang Allah telah berfrman mengenai diri mereka:
“Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama (masuk Islam) dari kalangan orang-orang muhajirin dan anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenagan yang besar.” (Surah At-Taubah, 9: 10)
Allah Ta’ala juga berfirman tentang mereka:
“Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersamanya adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih-sayang sesama mereka; kamu lihat mereka ruku’ dan sujud.” (Surah Al-Fath, 41: 29)
Dan, kita juga akan dapat mengenal orang-orang yang Rasulullah sendiri pernah bersabda tentang diri mereka:
“Sebaik-baik umatku adalah generasi di mana aku diutus di dalamnya (masa para sahabat)...” (Shahih Muslim)
Kemudian diriwayatkan bahawa ‘Abdullah bin Mas’oud pernah berkata:
“Sesiapa di antara kamu mengikuti sunnah (bimbingan), maka ikutilah jejak bimbingan orang yang telah wafat kerana orang yang masih hidup tidak terlepas dari fitnah. Mereka adalah para sahabat Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Mereka adalah orang yang paling baik hatinya, paling dalam ilmunya, serta paling sedikit takallufnya (tidak merasa terbeban dengan syari’at). Mereka adalah kaum yang dipilih oleh Allah untuk berdampingan dengan Nabi-Nya dan menegakkan agama-Nya. Maka kenalilah kelebihan dan jasa-jasa mereka, ikutilah mereka, dan ambillah akhlak serta agama mereka kerana sesungguhnya mereka berada di atas landasan hidayah yang lurus.” (Ibnu ‘Abdil Bar, Jaami’ Al-‘Ilm wa Fadhlihi, m/s. 368)
Para sahabat adalah orang-orang yang mempratikkan hukum-hukum Islam dan yang telah menyebarkan agama ini ke seluruh penjuru bumi. Sehingga zaman dan generasi mereka adalah sebaik-sebaik zaman dan generasi. Merekalah yang telah mengajarkan Al-Qur’an kepada umat islam dan yang telah meriwayatkan sunnah dan atsar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
Sejarah mereka merupakan harta yang menjadi inspirasi umat ini dalam bidang pemikiran, peradaban, ilmu pengetahuan, berjihad, gerakan futuhat (penaklukan-penaklukan daerah-daerah baru) dan bagaimana etika berinteraksi dengan masyarakat dan umat lain.
Para generasi setelah mereka dapat memetik dari sejarah mereka yang agung ini kisah-kisah bermanfaat dan pedoman yang agung sebagai panduan mengharungi kehidupan mereka dengan manhaj yang benar dan pentunjuk yang lurus.
Sejarah islam menjadi tujuan dan sasaran bidik para musuh islam dari pelbagai mazhab dan aliran mereka. Mereka berusaha melenyapkan islam dan sejarahnya yang penuh dengan kecemerlangan, agar generasi islam terputus dan melupakan islam, aqidah, syari’at, kejayaan, dan tamadun mereka. Oleh kerana tujuan inilah mereka berusaha sekuat tenaga untuk meniupkan racun dan kebohongan dalam masyarakat islam.
Para Orientalis dari pelbagai aliran berusaha untuk menyebarkan riwayat dan cerita-cerita palsu tentang sisi negatif para sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Mereka mencela sejarah umat Islam yang agung ini, memberikan gambaran kepada masyarakat bahawa sejarah para sahabat Nabi dipenuhi dengan pergulatan dan perseteruan merebut kekuasaan, kepimpinan dan tahkta singgasana. Oleh kerananya, kita perlu berhati-hati dan selektif terhadap para sejarahwan pembohong, orientalis berfanatik buta, orang-orang komunis bodoh, dan orang-orang yang sejalan dengan mereka.
Kita sebagai seorang muslim harus menyediakan benteng pertahanan untuk melawan mereka; iaitu melawan orang-orang yang ingin mematikan sejarah kita. Kita harus menjadi bijak dan cerdas dalam menghadapi konspirasi-konspirasi para pembohong dan pemalsu. Dan tentunya usaha kita ini harus disertai dengan dalil dan hujah ilmiyah diiringi dengan alat bukti yang utuh dan jelas.
Mendalami sejarah Islam mengikuti metode Ahlu Sunnah wal Jama’ah merupakan keperluan primer generasi umat ini. Oleh kerana itulah para penulis sejarah berlumba-lumba untuk menggali sejarah Islam, dan Allah-lah yang telah menjaga agama-Nya dan juga umat Islam. Sehingga Allah mendatangkan orang-orang yang datang silih berganti menjelaskan, memberi pencerahan, dan membentangkan sejarah para sahabat Nabi serta meluruskan tentang sejarah mereka sekaligus menyingkap tabir-tabir kebohongan yang dilontarkan oleh pemalsu dan pembohong. Semua hasil jerih payah para sejarahwan ini pastilah akan mendapatkan tempat di sisi Allah.
Para ahli fiqih dan Ahlu Sunnah kaya dengan rujukan dan riwayat-riwayat valid yang dapat mematahkan sangkaan-sangkaan mereka para pembohong itu.
Di antara rujukan klasik dalam perkara ini adalah seperti kitab Tarikh milik Ath-Thabari, Ibnul Atsir, Adz-Dzahabi, dan kitab-kitab yang telah dikenali membahas tentang biografi para Khulafa’ur Rasyidin. Selain itu, penulis juga merujuk kepada kitab-kitab tafsir, hadis dan syarahnya, kitab-kitab aqidah dan firaq, kitab-kitab Tarajum (biografi), Jarh wa At-Ta’dil, dan juga kitab-kitab fiqih. Dari kitab-kitab seperti inilah pelbagai bahan dan sumber-sumber riwayat, kisah, dan sejarah yang selama ini jarang diungkap akan dipilah, dibentang, dan dijabarkan melalui buku ini.
Melalui buku ini, giliran biografi, perjalanan hidup, sirah, dan peribadi ‘Utsman bin ‘Affan yang akan dibentang dan dijabarkan. Asy-Syahid ‘Utsman, seorang sahabat yang pemalu. Salah seorang yang mendapat janji Syurga, dan termasuk khulafa’ur Rasyidin.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah menegaskan kepada umat manusia agar tetap bersama ‘Utsman dan sahabat-sahabatnya ketika terjadi fitnah kelak.
Diriwayatkan dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata, “Aku pernah mendegar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
“Sesungguhnya kalian setelahku nanti akan bertemu dengan fitnah dan perpecahan (dalam satu riwayat dengan menggunakan redaksi “perpecahan dan fitnah.”). Sehingga seseorang bertanya kepada beliau, “Wahai Rasulullah, kepada siapa kami harus mendekat?” Beliau menjawab:
“Kalian harus bersama Al-Amin dan sahabat-sahabatnya.” Dan beliau memberikan isyarat ke arah ‘Utsman bin ‘Affan.” (Fadha’il Ash-Shahabah, 1/550 – dengan sanad yang sahih)
Pada zaman Nabi Shallallahu ‘laihi wa Sallam, para sahabat tidak hanya mengunggulkan Abu Bakar, kemudian ‘Umar dan kemudian ‘Utsman.
Diriwayatkan dari Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:
“Kami pada zaman Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak hanya mengunggulkan Abu Bakar, kemudian ‘Umar, dan kemudian ‘Utsman dengan meninggalkan sahabat-sahabat Nabi yang lain. Kami tidak membeza-bezakan dalam memberikan penghormatan di antara mereka.” (Shahih Al-Bukhari, no. 3698)
Kehidupan Dzunnurain ‘Utsman bin Affan radhiyallahu’anhu adalah penebar cahaya yang terang dalam sejarah umat ini. Penulis membahas dengan terperinci tentang khabar, kehidupan, dan masanya.
Dalam buku ini penulis berbicara tentang nama ‘Utsman, nasab, kun-yah, laqab, keluarga, dan kedudukannya pada masa jahiliyah dan islam. Juga tentang pernikahannya dengan Ruqayyah binti Rasulullah, ujian yang dihadapinya, hijrahnya ke Habsyah, kehidupannya bersama Al-Qur’an, kedekatannya dengan Rasulullah, kebersamaannya dalam peperangan-yang diikuti Rasulullah, kehidupan sosialnya di Madinah, serta peranannya di bidang ekonomi dalam membangun negara Islam.
Penulis sertakan beberapa hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang berhubungan dengan keutamaannya berbanding yang lain, tentang sabda Nabi yang menyatakan bahawa Dzunnurain (Pemilik dua cahaya, iaitu julukan untuk ‘Utsman bin ‘Affan) ini akan terkena fitnah yang membawa kepada pembunuhannya.
Penulis juga akan mengemukakan tentang posisi dan tempat ‘Utsman di masa Abu Bakar dan ‘Umar bin Al-Khaththab; Kisah pengangkatannya menjadi khalifah, dan penghormatan ‘Abdurrahman bin ‘Auf kepada menantu Nabi ini untuk menjawat sebagai anggota Majlis Syura.
Penulis juga turut menelusuri dan menyingkap pendapat-pendapat yang menyimpang dan sesat tentang diri ‘Utsman berdasarkan hujjah ilmiyah dan dalil-dalil yang valid serta bukti-bukti yang rasional.
Penulis juga menyebutkan tentang pendapat-pendapat para ulama bahawa ‘Utsman benar-benar berhak duduk menjadi khalifah dan munculnya Ijma’ (kesepakatan) pengangkatannya menjadi khalifah.
Turut dijabarkan juga adalah penjelasan tentang metode ‘Utsman dalam mengatur sekitar; Surat-menyuratnya, pengangkatan para penjawat (kaki tangannya) dan panglima-panglima perang serta sikapnya dalam menjalani kehidupan. Di samping juga tentang bagaimana beliau beramar makruf dan nahi mungkar dalam berkehidupan sosial.
Dalam buku ini juga menyebutkan tentang 19 sifat utama ‘Utsman tatkala menjadi pemimpin, bagaimana beliau juga telah berjaya mendirikan institusi kewangan, pengurusan ekonomi, mendirikan dana negara dan pembiayaan umum seperti pembayaran gaji pegawai, gaji tentera, memberikan pembiayaan kepada masyarakat yang ingin melaksanakan ibadah haji, membiayai perluasaan Masjid Al-Haram, mendirikan armada maritim, memindahkan Pantai Sya’biyah ke Jeddah, membiayai penggalian sumber-sumber mata air, dan menggaji para tukang adzan di masjid-masjid.
Dalam buku ini kami juga ingin menyampaikan tentang hubungan antara ‘Utsman dengan para keluarganya dan pengurusan badan Baitul Mal yang diberikan ‘Utsman kepada mereka ini.
Penulis juga menyebutkan tentang institusi-itsitusi kehakiman yang didirikan ‘Utsman, ijtihad-ijtihad fiqihnya dan pengaruhnya terhadap aliran-aliran fiqih setelah beliau wafat.
Dalam buku ini penulis menyebutkan seluruh futuhat (penaklukan-penaklukan atau pengembangan wilayah) yang telah dilakukan ‘Utsman sebagaimana disebutkan oleh banyak buku-buku sejarah. Namun bezanya adalah melalui buku ini, penulis akan mengurutkannya sesuai dengan pergerakan pasukan muslim saat itu dimulakan dari Al-Masyriq, negara-negara Syam, di daerah Mesir dan Afrika Utara.
Dari beberapa futuhat tersebut, penulis akan mengemukakan kesimpulan dan pelajaran yang dapat dipetik darinya, seperti; Benarnya janji Allah terhadap orang-orang mukmin, perkembangan seni peperangan dan kepolitikan, keseriusan dalam mempertahankan batas-batas teritorial Negara dan persatuan dalam menghadapi musuh serta mengumpulkan data dan mengenali mereka.
Selain itu, penulis juga turut menyebutkan tentang biografi para pemimpin futuhat pada zaman ‘Utsman seperti Al-Ahnaf bin Qais, ‘Abdurrrahman bin Rabi’ah Al-Bahili, Salman bin Rabi’ah dan Hubaib bin Maslamah Al-Fihri.
Turut dibahaskan adalah usaha paling menjadi fenomena, di mana ramakan ‘Utsman dalam mempersatukan umat islam dengan menyatukan bacaan Al-Qur’an dalam Mushaf ‘Utsmani, tahapan-tahapan penulisan Al-Qur’an, faktor pendorong pengumpulan atau kodifikasi Al-Qur’an pada masanya, usahanya meminta masukan dari para sahabat lain dalam masalah ini, jumlah mushaf yang dikirimkannya ke pelbagai wilayah, pemahaman para sahabat tentang ayat-ayat yang melarang perbezaan pendapat, iklim negara pada masa kekuasaanya, politiknya terhadap para gabernornya; hak dan kewajiban-kewajiban mereka, interaksi dan metodnya dalam mengawasi dan mengetahui gerak-geri para gabernornya, hakikat hubungan antara ‘Utsman bin Abu Dzar, Ibnu Mas’oud dan Ammar bin Yasir.
Penulis juga turut menjelaskan tentang sebab munculnya fitnah yang membawa kepada peristiwa terbunuhnya ‘Utsman dan pelajaran yang dapat kita petik dari kejadian tersebut.
Kita akan melihat bagaimana ‘Utsman menanggapi fitnah yang muncul yang terangkum dalam “fiqih ‘Utsman” yang meliputi; Ketegaran ‘Utsman, keadilan dan ketidak-berpihakannya, sikap rendah diri, berusaha sekuat tenaga mempersatukan kaum muslimin dan menghilangkan hal-hal yang dapat memecah-belah umat, diam dan tidak banyak bicara, meminta petunjuk para ulama, menjadikan hadits-hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sebagai pedoman dalam memberikan solusi munculnya fitnah.
Tidak ketinggalan buku ini juga mengisahkan tentang kemenagan para pemberontak, pengepungan mereka terhadap ‘Utsman, dukungan yang diberikan para sahabat terhadap ‘Utsman dan usaha mereka dalam melawan para pemberontak dan juga posisi para sahabat dalam kejadian pembunuhan ‘Utsman dan komentar-komentar mereka dalam menghadapi fitnah.
Buku ini menjelaskan tentang kehebatan ‘Utsman Dzunnurain dan mengkhabarkan kepada para pembaca tentang kekuatan keimanan ‘Utsman, ketinggian ilmu dan akhlaknya. Semua ini disebabkan kedalamannya dalam memahami dan mempraktikkan ajaran islam, serta hubungan eratnya dengan Allah serta kepatuhannya terhadap petunjuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
‘Utsman radhiyallahu ‘anhu adalah seorang pemimpin panutan bagi setiap orang dalam kehidupan; sama ada dalam berbicara ataupun dalam bertindak. Biografinya merupakan pancaran keimanan, sumber keislaman yang valid dan pemahaman yang benar terhadap agama ini. Oleh kerana itu, penulis berusaha untuk menyingkap biografinya dan masanya sesuai dengan kemampuan, dengan tidak ada kepentingan apapun.
Selamat menela’ah, mengkaji, memahami, dan mengambil manfaat yang melimpah.