Judul: Jadilah Salafi Sejati | Judul Asal (‘Arab): Kun Salafiyyan ‘Alal Jaaddah | Penulis: Syaikh Dr. ‘Abdussalam bin Salim As-Shuhaimi | Rekomendasi oleh: Syaikh Ubaid bin ‘Abdillah Al-Jabiri, Syaikh Dr. Soleh bin Fauzan Al-Fauzan, dan Syaikh Dr. ‘Ali bin Nashir Faqihi | Penterjemah: Heri Iman dan Abu Ihsan | Penerbit: Pustaka At-Tazkia | Berat: 180g | Muka Surat: 173 m/s. (Soft Cover). | ISBN: 978-979-24-2629-8 |
Kata Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah, “Tidak tercela orang yang menunjukkan mazhab salaf, menisbatkan, dan menyandarkan diri kepadanya. Bahkan wajib menerimanya, kerana mazhab salaf tidak lain adalah kebenaran.” (Majmu’ Al-Fatawa, 4/149)
Ini kerana kata nama salaf adalah salah satu nama lain bagi Ahlus Sunnah. Manakala kata salafi pula merujuk kepada mereka yang mengikuti salaf. Selain salaf, ahlus sunnah sunnah juga turut disebut sebagai Al-Firqatun Najiyah dan Tha’ifah Al-Mantsurah. InsyaAllah ini akan dibicarakan oleh buku ini.
Dan benar-benar para ulama dari kalangan ahlus sunnah wal jama’ah memiliki pengaruh besar dalam menyeru kepada sunnah, kembali ke jalan dan manhaj salaf, serta mencontohi mereka. Di antara para ulama tersebut adalah Imam Al-Auza’i, Malik, Sufyan Ats-Tsauri, Al-Laits, Asy-Syafi’i, Ahmad, Abu Hatim Ar-Razi, Abu Zur’ah Ar-Razi, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Abi ‘Ashim, Al-Ashbahani, Al-Barbahari, Al-Ajurri, dan ramai lagi selainnya.
Kemudian diikuti dan dipertegaskan pula oleh ulama terkemudian seperti Imam Ibnu Taimiyah dan murid-murid beliau seperti Ibnul Qayyim, Ibnu Katsir, dan Adz-Dzahabi rahimahumullaah.
Demikian jugalah para ulama mujaddid semisal Syaikh Muhammad bin ‘Abdil Wahhab, Syaikh Ibrahim Alu Asy-Syaikh, Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bin Bazz, Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin, dan Syaikh Al-Albani rahimahumullaah.
Mereka ini bersama para ulama lainnya baik dari zaman dahulu atau yang ada di masa ini, mereka termasuk tokoh-tokoh yang giat menghidupkan dan mendakwahkan manhaj salaf. Iaitu mazhab Ahlus sunnah wal-Jama’ah sebagaimana yang dipegang oleh para salaf yang terdiri dari para sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, para tabi’in, dan para pengikut mereka yang lainnya yang teguh atas jalan mereka.
Allah berfirman dalam Al-Qur’an tentang para sahabat Nabi yang merupakan salaf yang paling utama, maksudnya:
“Orang-orang yang terdahulu lagi yang paling awal masuk Islam (generasi sahabat) dari golongan Muhajirin dan Anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka Syurga yang ada sungai-sungai mengalir. Mereka kekal abadi di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar.” (Surah at-Taubah, 9: 100)
Dan banyak lagi di ayat-ayat yang lainnya yang menyebutkan keutamaan dan kewajiban mengikuti jalan salaf ini. InsyaAllah akan dijabarkan melalui buku ini.
Kemudian dalam sebuah hadis, Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
“Sesungguhnya bani Israel telah berpecah-belah menjadi 72 golongan, dan umatku akan berpecah-belah menjadi 73 golongan. Mereka semua di Neraka kecuali satu golongan.”
Para sahabat bertanya, “Siapakah dia (yang selamat) wahai Rasulullah?” Beliau menjawab, “Apa yang aku dan para sahabatku berada di atasnya.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 2641. Dinilai hasan oleh Al-Albani)
Selain itu, hal ini dipertegaskan pula oleh para ulama terdahulu. Ini antaranya semisal tokoh besar dalam bidang hadis sezaman Imam Al-Bukhari, iaitu Imam Abu Hatim Ar-Razi rahimahullah (Wafat: 277H). Kata beliau:
“Pendapat dan Mazhab yang kami pilih adalah mengikuti sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, para sahabat dan tabi’ien serta orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik. Dan meninggalkan bid’ah-bid’ah yang mereka (Ahli Kalam) lakukan. Iaitu dengan mengikuti mazhab ahli atsar seperti Abu ‘Abdillah Ahmad bin Hanbal, Ishaq bin Ibrahim, Abu ‘Ubaid Al-Qasim bin Salam, dan Asy-Syafi’i. Berpegang teguh dengan Al-Qur’an dan As-Sunnah serta membela para imam yang mengikuti atsar (jejak dan jalan) salaf. Memilih apa yang dipilih oleh imam-imam Ahlus Sunnah (wal-Jama’ah) di pelbagai negeri atau wilayah, seperti (imam) Malik din Anas di Madinah, Al-Auza’i di Syaam, Al-Laits bin Sa’ad di Mesir, Sufyan Ats-Tsauri dan Hammad bin Zaid di ‘Iraq. Kami memilih pendapat para imam tersebut dalam menyelesaikan isu-isu semasa yang tidak diriwayatkan dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, para sahabat dan tabi’in. Kami meninggalkan sejauh mungkin pemikiran (ra’yi) si pengacau, penebar syubhat, yang hanya pandai bercakap dan mengelabui.” (Al-Laalikaa’i, Syarah Ushul I’tiqad Ahli Sunnah wal-Jama’ah, no. 323)
Demikian juga kata Imam Al-Auza’i rahimahullah (Wafat: 157H):
“Wajib atas kalian untuk menempuh atsar (jejak dan jalan) generasi salaf (dalam beragama), walaupun manusia menolakmu dan berhati-hatilah kalian terhadap pemikiran manusia, walaupun mereka menghiasinya untukmu dengan perkataan-perkataan yang indah.” (Siyar A’lam An-Nubala’, 7/120)
Namun agak disayangkan apabila ada yang menjadikan dan mengatakan bahawa seruan dakwah kembali kepada manhaj salaf ini sebagai dakwah yang menyeru kepada hizbiyyah, kepuakan, atau ketaksuban. Mereka mengatakan dakwah As-Salafiyyah ini sama saja dengan seruan yang dilaung-laungkan oleh jama’ah-jama’ah “dakwah” lainnya, iaitu mereka yang menyeru kepada hizbiyyah (kepuakan) atau kepada tokoh-tokoh mereka masing-masing seperti jama’ah Al-Ikhwan Al-Muslimin, Hizbut Tahrir, Tabligh, dan yang semisal mereka. [Disediakan oleh krew Atsar Ent., www.atsar.ilmusunnah.com]
Hakikatnya tidaklah demikian. Manhaj dan dakwah salaf itu jelas di mana para tokoh-tokoh mereka tidaklah menyeru melainkan kepada Al-Qur’an dan As-Sunnah di atas manhaj kefahaman para sahabat, tabi’in dan para ulama yang mengikuti mereka dengan baik. Mereka tidak menyeru kepada kepuakan, nama-nama jama’ah tertentu, dan tidak pula membina walaa’ (kesetiaan, kecintaan) dan baraa’ (sikap berlepas diri) dalam agama atas nama (undang-undang) jama’ah (kumpulan) atau tokoh individu tertentu.
Sebaliknya mereka komited di atas satu jalan yang sama, aqidah yang sama, manhaj yang sama, dan prinsip beragama yang sama, baik dari kalangan tokoh-tokoh mereka yang terdahulu dari kalangan sahabat, tabi’in, para imam mazhab dan hadis, mahupun yang ada pada masa ini.
Kemudian dalam masa yang sama pada hari ini, ada pula kelompok-kelompok menyimpang tertentu yang menisbatkan diri-diri mereka dan kumpulan-kumpulan mereka sebagai salafi (pengikut salaf). Sehingga ada yang menggelarkan diri mereka sebagai salafi haraki, salafi ikhwani, salafi jihadi, salafi moderate, dan seumpamanya. Namun hakikatnya tidaklah demikian. Bukanlah mereka dari kalangan salafi sedikitpun.
Nilai salafi (pengikut salaf) bukanlah dinilai berdasarkan penisbatan semata-mata, tetapi hakikat di balik nama itu yang lebih didahulukan. Sama ada mereka berada di atas jalan salaf yang hakikat atau hanya sekadar dakwa-dakwi sahaja.
Bahkan tidak dapat dinafikan, sebahagian mereka ada yang menisbatkan diri mereka kepada mazhab atau manhaj salaf dan menamakan diri mereka sebagai salafi, namun hakikatnya mereka adalah penyeru kepada hizbiyyah, kepartian, kebid’ahan, dan pelbagai penyimpangan lainnya sehingga menimbulkan salah faham, fitnah, dan celaan atas nama salaf dan salafi itu sendiri. Mereka membina bai’at, kesetiaan, dan sikap lepas diri mereka atas nama tokoh-tokoh dan jama’ah-jama’ah mereka.
InsyaAllah, ini semua akan diperjelas dan dirincikan melalui buku ini. Semoga bermanfaat dan jadilah salafi yang sejati. Teguh atas jalan Nabi dan para sahabat.