Judul: Kisah-kisah Ghaib Dalam Hadis Shahih | Judul Asal (‘Arab): Qashash Al-Ghaib fii Shahih Al-Hadits An-Nabawi | Penulis: Dr. ‘Umar bin Sulaiman Al-Asyqar | Tahqiq dan Takhrij: - | Penerbit: Darul Falah | Berat: 1kg | Muka Surat: 421 m/s. (Hard Cover)
Iman kepada yang ghaib adalah dasar atau prinsip di antara sejumlah dari dasar-dasar keimanan. Iman tidak akan sempurna melainkan dengan mengimaninya. Allah, para malaikat, tanda-tanda kiamat, berita-berita alam barzakh, Syurga dan Neraka, sehingga kepada iman terhadap para Rasul dan kitab-kitab mereka adalah termasuk perkara ghaib.
Maka, yang dimaksudkan dengan beriman kepada keduanya adalah beriman bahawa para rasul diutus oleh Allah, kitab-kitab yang dibawa adalah diturunkan dari sisi-Nya, dan semua itu termasuk perkara ghaib. Sesiapa sahaja yang mendustakan perkara ghaib yang dikhabarkan Al-Qur’an dan As-Sunnah, maka dia telah mendustakan Allah, dan dalam masa sama mendustakan Rasul-Nya.
Allah Tabaraka wa Ta’ala Maha Mengetahui segala perkara ghaib dan segala yang nyata. Dalam pengetahuan-Nya tidak ada perbezaan antara dua alam tersebut. Semua yang ghaib telah tercatat di Lauhu Mahfuzd. Tidak satu pun di antaranya yang hilang dan tidak ada penambahan padanya. Juga tidak ada pengurangan. Di antaranya adalah kisah-kisah yang disampaikan dalam kitab-Nya, atau yang Dia ajarkan kepada Rasul-Nya. Semua itu tidak seperti kisah-kisah khayalan lagi mengada-ngada.
Manusia umumnya sangat suka kepada dongengan dan kisah-kisah yang diada-adakan, atau kisah-kisah fiktif yang dibuat-buat hasil dari imaginasi. Kadang-kadang memiliki asal, namun diubah-suai menurut akalnya sehingga tidak keruan jadinya. Dan ada yang sama sekali tidak memiliki asal dan tidak masuk akal sama sekali.
Sebahagian penulis memang menceburi bidang khusus menulis, menyusun, atau mereka-reka kisah-kisah imaginasi yang tidak dapat dibuktikan kewujudannya. Ditambah pula oleh mereka di dalamnya dengan agenda-agenda tersembunyi bagi mempengaruhi manusia lainnya agar jauh dari agama dan keimanan terhadap hakikat kebenaran. Maka, yang seperti ini disebut sebagai kedustaan dan menyesatkan. Cerita yang mengada-ngada lagi membuang masa serta melalaikan.
Adapun kisah-kisah yang datang dari Al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi yang sahih tentang perkara-perkara ghaib, maka itulah yang benar adanya, dan tidak ada padanya kedustaan sedikit pun. Ia benar-benar akan berlaku sebagaimana dikhabarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dengan tanpa penambahan mahupun pengurangan.
Rasulullah telah mengkhabarkan dari hal-hal yang ghaib baik sama ada dari kisah-kisah atau hal-hal yang berlaku dari masa lalu, atau yang sedang berlangsung, atau hal-hal ghaib yang langsung berlaku sebaik perkhabarannya, serta hal-hal ghaib yang bakal terjadi di akhir zaman, ketika menjelang kiamat, mahupun hal-hal ghaib sebaik datangnya kematian dan sebaik berakhirnya dunia.
Sebahagian dari hal-hal dan kisah-kisah dimaksudkan tersebut terhimpun dalam buku ini agar kita dapat mengetahuinya, mengimaninya, kemudian sebagai pendidikan, pengajaran, diambil faedah, dan agar dapat menambahkan keimanan kita kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan hari akhir. Agar menjadi motivasi menghadapi janji-janji Allah kelak.
Bagi setiap kisah yang dibentangkan penulis, beliau menyertakan sekali takhrij hadisnya, penjelasan kosa kata, syarah dan huraian hadis, faedah-faedah hadis, dan hukum-hukum yang dapat diambil darinya.
Semoga bermanfaat.