Judul: Pelajaran Bahasa Arab Mengenal Kata Kerja (Siri 2) | Penulis: Abu ‘Umar Ibrohim | Penerbit: Hikmah Anak Sholih | Berat: 200g | Muka Surat: 84m/s (Soft Cover). [Disediakan oleh Atsar Ent., www.atsar.ilmusunnah.com]
Allah Subhanahu wa Ta’ala menurunkan Al-Qur’an dalam bahasa ‘Arab. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menyampaikan sunnahnya juga dengan bahasa ‘Arab. Maka, tidak mungkin bagi kita untuk mampu memahami dengan baik dua wahyu Allah ini berupa Al-Qur’an dan As-Sunnah melainkan dengan mempelajari bahasa ‘Arab. Bermakna, mempelajari bahasa ‘Arab adalah perkara yang amat penting.
Sungguh amat-amat disayangkan lagi menyedihkan apabila kebanyakan dari kaum muslimin sendiri berpaling dari mempelajari dan mengambil penting bahasa ‘Arab. Mereka lebih berbangga mempelajari bahasa asing (selain ‘Arab) dan dapat menuturkannya, sehingga anak-anak mereka juga dididik dengan bahasa asing tersebut supaya tidak dipandang ketinggalan zaman.
Tahukah kita, bahawa secara tidak langsung dari sini sahaja sudah menunjukkan kurangnya semangat dan kepedulian mereka dalam menguasai ilmu-ilmu agama dengan lebih baik.
Jadi, bagaimana akan tercetak generasi Islam yang benar-benar mencintai Allah dan Rasul-Nya? Bagaimana akan lahir generasi Islam yang benar-benar berilmu dengan asas-asas yang manpan? Bagaimana mereka akan mampu mendepani fitnah dan syubhat agama di masa-masa mendatang jika tunjang-tunjang dan kunci agama ini tidak dipahatkan ke dalam dada-dada mereka?
Maka dari itu, wahai ibu-ibu dan bapa-bapa sekalian,
1, Perhatikanlah pendidikan anak-anakmu, jangan kalian lepas tangan dan ambil mudah.
2, Ajarkanlah mereka Al-Qur’an seawal mungkin dan tanamkan-lah kecintaan terhadapnya baik-baik.
3, Perkenalkanlah bahasa ‘Arab kepada mereka, kerana itu adalah bahasa Al-Qur’an, bahasa Nabi dan para sahabat, dan itulah bahasa ilmu yang membimbing menunju keselamatan.
Ajarkanlah mereka.. ajarkan mereka dari kecil lagi. Kerana mendidik anak-anak di waktu kecil itu umapama mengukir di atas batu. Sedikit-sedikit demi sedikit, kesan dan hasilnya akan membekas kukuh.
Maka dari itu jugalah kami di sini turut terdorong untuk terlibat membantu sahabat-sahabat sekalian dengan megharap wajah Allah dan Syurga-Nya. Dengan kebaikan dan izin-Nya, kami berjaya menghasilkan sebuah sumbangan berupa buku asas-asas mempelajari bahasa ‘Arab untuk anak-anak kecil.
Setelah kejayaan kami menerbitkan buku siri pertama dengan judul “Pelajaran Bahasa Arab Mengenal Kosa Kata”, kini kami terbitkan pula buku siri dua ini dengan fokus dan judul, “Pelajaran Bahasa Arab Mengenal Kata Kerja”.
Buku ini berisi pelajaran tentang salah satu dari tiga kalimah (kata) dalam bahasa ‘Arab, iaitu Al-Fi’lu (kata kerja). Kerana dalam bahasa ‘Arab, Al-Kalimah (kata) terbahagi menjadi 3, iaitu Al-Ismu (kata nama), Al-Fi’lu (kata kerja), dan Al-Harfu Ja’a li Ma’na (huruf yang memiliki makna).
Untuk Al-Asma’, alhamdulillah telah kami terbitkan sebagaimana dalam Pelajaran Bahasa Arab untuk Anak-anak siri pertama, Mengenal Kosa Kata. Jadi kiranya, tidaklah lengkap apabila telah mempelajari Al-Asma’, tidak diteruskan dengan mempelajari Al-Af’al. Kerana dalam kehidupan kita seharian ini, pasti tidak akan lepas dari pelbagai pekerjaan dan perbuatan.
Dengan mempelajari buku ini, kami harapkan agar anak-anak mampu menuturkan kata kerja yang terkait dengan waktu yang lampau, yang sedang berlaku, mahupun yang akan datang. Demikian juga semoga anak-anak mampu memahami dan menggunakan kata kerja dalam bentuk fi’il amr (kata perintah).
Manakala pada bahagian atau siri ke-3, kami akan teruskan dengan “Percakapan Bahasa Arab Untuk Anak-anak” insyaAllah.
Semoga bermanfaat, dan mudah-mudahan dengan kehadiran buku siri kedua ini walaupun kami tahu pasti memiliki kekurangan, ia akan dapat membantu adik-adik dan anak-anak maju selangkah ke depan. Serta bagi para ibu dan bapa-bapa di luar sana, insyaAllah ia mampu menjadi sebagai bahan belajar atau pengajaran mereka dalam mengenal bahasa ‘Arab untuk anak-anak. [Disediakan oleh Atsar Ent., www.atsar.ilmusunnah.com]
Semoga Allah membimbing kita dengan baik sehingga mampu menguasai bahasa ‘Arab ini dengan cemerlang.