Judul: Al-Masail Tanya Jawab Agama Bersama Syaikh Muqbil bin Hadi Al-Wadi’i | Judul Asal (‘Arab): Ijaabatus Sail ‘ala Ahammil Masaa’il | Penulis: Asy-Syaikh Muqbil bin Hadi Al-Wadi’i rahimahullah | Penerbit: Griya Ilmu | Berat: 2.6kg | Muka Surat: 2 jilid lengkap (Hard cover)
Beliau adalah Asy-Syaikh Al-‘Allamah Ahli hadis negeri Yaman, Abu ‘Abdirrahman Muqbil bin Hadi Al-Wadi’i rahimahullah. Tokoh penerus generasi ahlus sunnah sebelumnya semisal Imam Ash-Shan’ani dan Asy-Syaukani rahimahumullaah. Kehidupan dan hati-hati mereka dipenuhi dengan ehwal haddatsana dan akhbarana, sampai-sampai gemerlapnya dunia pun tidak menyilaukan mereka.
Dari sebuah negeri yang sebelumnya gelap dengan pekatnya bid’ah, khurafat, dan hizbiyah (kefanatikan), di negeri yang dahulunya As-Sunnah hampir dilupakan oleh penduduknya... beliau, Asy-Syaikh Muqbil dihadirkan Allah membawa pelita mujaddid menerangi gelapnya kejahilan dan kesesatan. Di lembah Dammaj beliau memulai dakwah beliau, jihad dengan lisan dan amal. Tidak sedikit aral yang melintang dan gangguan yang menghadang dalam perjalanan dakwah beliau.
Kaum Rafidhah, Quburiyyun, kelompok hizbiyyin, serta pencinta dunia dan kekuasaan silih-berganti menghalangi dakwah beliau, dakwah ahlus sunnah wal-jama’ah. Namun, Asy-Syaikh Muqbil rahimahullah tidak sedikitpun berpaling dari dakwah yang penuh berkah ini. Inilah buah dari kemantapan hati akan pertolongan dan bantuan Allah.
Sesungguhnya setelah setiap kesulitan akan muncul kelapangan. Kegelapan akan berganti dengan cahaya As-Sunnah.
Setelah beberapa belas tahun berlalu, kota Dammaj menjadi wilayah utama tunjang dakwah tauhid di atas As-Sunnah di negeri Yaman. Para penuntut ilmu dari seantero dunia berdatangan ke bumi Dammaj, belajar di majlis-majlis ilmu Syaikh Muqbil rahimahullah. Penuntut ilmu dan Saudi, Mesir, Kuwait, Algeria, Libya, Sudan, Palestin, Pakistan, Indonesia, Sweeden, Francis, amerika, dan bahkan negeri-negeri lainnya. Berbekalkan kecintaan terhadap dakwah dan manhaj Ahlus Sunnah wal-Jama’ah, mereka datang menuntut ilmu dan belajar dari Syaikh Muqbil rahimahullah.
Bertebarannya murid-murid beliau di seantero dunia saat ini adalah bukti ketokohan dan keilmuan beliau dalam As-Sunnah. Murid-murid beliau adalah saksi indahnya keperibadian akhlak dan kesantunan beliau.
Kecintaan beliau terhadap para penuntut ilmu tiada terkira, sehingga menjelang akhir usianya pun beliau masih mengingat para pelajar beliau dari kalangan penuntut ilmu yang teguh.
Kezuhudan beliau tidak diingkari oleh siapapun. Keberanian beliau rahimahullah teguh di atas jalan Allah, di atas al-haq. Diakui oleh teman-teman ulama, para guru beliau, dab bahkan musuh-musuh dakwah beliau, musuh-musuh ahlus sunnah.
Beliau rahimahullah hanya mewariskan ilmu dan dakwah kepada keluarga, sahabat handai, dan murid-murid yang datang belajar kepada beliau. Beliau rahimahullah hanya mewasiatkan ketaatan, taqwa, ilmu bermanfaat, dan amal-amal soleh kepada seluruh ahlus sunnah wal-jama’ah. Beliau menjalani hidup beliau sebagai seorang ‘alim (ilmuan) yang sangat bersahaja, dunia telah jauh dari jangkauan hati beliau rahimahullah.
Sebagai tanggungjawab terhadap dakwah dan ilmu, beliau titipkan pelbagai karya berharga buat generasi sesudahnya berupa karya-karya ilmiyah sama ada dalam bentuk risalah, manuskrip ringkas, mahupun sehingga kitab yang berjilid-jilid tebal. Dalam himpunan karya-karya beliau, kitab-kitab hadis mendominasi karya-karya beliau; seperti Al-Jami’ Ash-Shahih mimma laisa fish-Shahihain, Al-Musnad Ash-Shahih mimma laisa fish-Shahihain, Dirasah wat-Ta’liq ila Al-Mustadrak Al-Hakim, Shahih Al-Musnad min Asbabun Nuzul, Shahih Al-Musnad min Dalaa’ilun Nubuwwah, dan lainnya..., kemudian tentang fiqh Islam, akhlak dan adab, nasihat-nasihat, dan ushul atau manhaj dakwah ahlus sunnah.
Guru-guru beliau yang paling masyhur adalah seperti:
1, Syaikh ‘Abdul ‘Aziz As-Subail
2, Syaikh ‘Abdullah bin Muhammad bin Humaid
3, Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bin Rasyid An-Najdi
4, Syaikh Muhammad Al-Amin Al-Mishri
5, Syaikh Hammad Al-Anshari
6, Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bin Baz
7, Syaikh Al-Muhaddits Badi’uddin Ar-Rasyidi, dan
8, Syaikh Al-Muhaddits Muhammad Nashiruddin Al-Albani rahimahumullah.
Kemudian murid-murid beliau antara yang terkenal adalah seperti:
1, Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bin Yahya Al-Bura’i
2, Al-Faqih Muhammad bin ‘Abdil Wahhab Al-Wushabi Abdali
3, Syaikh Muhammad bin ‘Abdillah Al-Imam, Syaikh di Ma’bar.
4, dan anak beliau, Ummu ‘Abdillah binti Muqbil bin Hadi Al-Wadi’i, penulis kitab Ash-Shahihul Musnad min Asy-Syama’ili Al-Muhammadiyyah dan lainnya.
Demikian sepintas lalu tentang Asy-Syaikh Muqbil rahimahullah.
Adapun kitab yang saat ini berada di hadapan pembaca adalah salah satu dari rangkuman fatwa-fatwa beliau, yang bermula dari tanya jawab para penuntut ilmu di Darul Hadits (Dammaj) dan selainnya. Ia disalin atau disadurkan dari pelbagai rakaman dan catatan-catatan muhadharah bersama Syaikh di pelbagai sela-sela waktu tertentu. Lalu kemudian disemak dan diberikan pentashihan oleh Syaikh.
Buku ini disusun dalam beberapa bab perbahasan. Dari perbahasan asas-asas ibadah seperti thaharah, solat, puasa, kemudian mu’amalah, sampailah kepada perbahasan hadis dan ilmu-ilmunya, kemudian kepada pelbagai permasalahan isu-isu semasa kontemporari.
Para pembaca akan menemui jawaban dan huraian beliau yang mengesankan, sentiasa dipenuhi dalil-dalil Al-Qur’an dan As-Sunnah bersesuaian dengan pemahaman generasi ulama salaf. Jawaban beliau yang akan menjadikan pembaca semakin yakin akan keunikan dan keautentikan mazhab ahli hadis, sama ada dalam tela’ah bidang hadis itu sendiri mahupun fiqh secara umum.
Selain itu, para pembaca akan melihat pola fikir beliau rahimahullah dalam mengkaji setiap permasalahan, yang selalu mengacu kepada dalil-dalil syara’ dan berlepas diri dari kekangan taqlid dan fanatiq terhadap mazhab tertentu. Inilah mazhab ahli hadits yang sesungguhnya, yang diwariskan turun-temurun dari generasi salaf. Sehingga tidak berlebihan kiranya jika beliau rahimahullah adalah penerus Imam Asy-Syaukani di masa ini.