Judul: Dunia, Kesenangan Yang Semu | Judul Asal (‘Arab): Ad-Dunyaa Zhillun Zaa’il | Penulis: Syaikh ‘Abdul Malik bin Muhammad Al-Qasim | Penerbit: Pustaka Inabah (Pustaka Ibnu Katsir) | Berat: 300g | Muka Surat: 280m/s. [Disediakan oleh Atsar Enterprise, www.atsar.ilmusunnah.com]
Kebanyakan dari kita ketika memejamkan mata untuk mengakhiri aktiviti di malam hari, seakan telah mendapatkan jaminan bahawa keesokan harinya masih berkesempatan untuk membuka mata kembali. Ada yang membayangkan esok hari akan membeli rumah baru, kereta baru, atau akan melangsungkan pernikahan, atau akan pergi melancung, atau akan menuai keuntungan besar dalam kerjaya.
Tanpa disedari dia sebenarnya sedang berharap agar dirinya hidup selamanya tidak akan mati. Dia tidak memikirkan apakah persiapan seandainya esok dia menghadapi kematian yang seandainya malam tersebut adalah malam terakhirnya di dunia.
Maka kerananya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengajarkan doa:
بِاسْمِكَ رَبِّ وَضَعْتُ جَنْبِي وَبِكَ أَرْفَعُهُ، إِنْ أَمْسَكْتَ نَفْسِي فَارْحَمْهَا، وَإِنْ أَرْسَلْتَهَا فَاحْفَظْهَا بِمَا تَحْفَظُ بِهِ عِبَادَكَ الصَّالِحِينَ
“Dengan menyebut nama Engkau ya Rabb, aku baringkan sisi tubuhku, dan dengan (nama) Engkau aku mengangkatnya. Jika Engkau ambil nyawaku, rahmatilah ia, dan jika Engkau lepaskannya, maka peliharalah ia dengan pemeliharaan sebagai Engkau memelihara hamba-hamba Engkau yang soleh.” (Shahih Al-Bukhari, no. 6302, 7393)
Kita semua tentu tahu bahawa dunia ini hanyalah sebentar, bahkan ibarat sekerlipan mata jika mahu dibandingkan dengan kehidupan akhirat yang kekal selamanya.
Semua yang hidup di maka bumi tidak ada yang kekal, bahkan orang berusia paling panjang sekalipun pasti akan mati. Andaikata orang tersebut berusia seribu tahun, dia akan memulakan hidupnya dari tahun yang pertama dan akan mengakhirinya pada tahun yang ke seribu, lalu selesai setakat itu.
Namun sungguh sangat menghairankan fenomena yang kita saksikan dalam kehidupan ini, kebanyakan orang berlumba-lumba mengumpulkan harta dengan pelbagai macam cara. Dunia dan segala bentuk kemegahannya pun menjadi dambaan. Bahkan tidak sedikit dari kalangan mereka yang berusia senja pun masih turut mengambil bahagian dalam perlumbaan mengaut dunia seakan-akan ia akan kekal bersamanya. Padahal, harta yang direbutkan tersebut hanya sekadar dapat mengisi perutnya untuk seketika, dan untuk menutupi tubuhnya buat sementara.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
يَقُولُ ابْنُ آدَمَ: مَالِي، مَالِي، قَالَ: وَهَلْ لَكَ، يَا ابْنَ آدَمَ مِنْ مَالِكَ إِلَّا مَا أَكَلْتَ فَأَفْنَيْتَ، أَوْ لَبِسْتَ فَأَبْلَيْتَ، أَوْ تَصَدَّقْتَ فَأَمْضَيْتَ؟
“Berkata Anak Adam: “Hartaku, hartaku...” Wahai anak Adam, bukankah hartamu hanyalah sekadar yang engkau makan lalu ia pun lenyap? Atau engkau kenakan lalu ia pun usang? Atau yang engkau sedekahkan? (Shahih Muslim, no. 2958)
Dalam riwayat yang lain, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
يَقُولُ الْعَبْدُ: مَالِي، مَالِي، إِنَّمَا لَهُ مِنْ مَالِهِ ثَلَاثٌ: مَا أَكَلَ فَأَفْنَى، أَوْ لَبِسَ فَأَبْلَى، أَوْ أَعْطَى فَاقْتَنَى، وَمَا سِوَى ذَلِكَ فَهُوَ ذَاهِبٌ، وَتَارِكُهُ لِلنَّاسِ
“Berkata para hamba, “Harta, hartaku...” Bukankah apa yang dari hartanya itu hanya tiga: (Iaitu) apa yang ia makan, maka ia akan lenyap. Atau apa yang ia pakai dari pakaiannya, maka ia akan usang. Atau yang ia beri (sedekahkan), maka itulah sebenarnya harta yang ia kumpulkan. Dan apa-apa jua harta selain dari itu akan pergi lalu diberikan untuk orang-orang yang ia tinggalkan.” (Shahih Muslim, no. 2959)
Dunia ini tidak bernilai sedikitpun di sisi Allah, bahkan tidak lebih bernilai dari sehelai sayap nyamuk pun di sisi Allah. Dari itu, tidaklah sepatutnya dunia ini kita jadikan ia sebagai tujuan dan cita-cita tertinggi kita. Dunia adalah tempat persinggahan sementara. Tempat yang padanya kita bercucuk-tanam menabur benih-benih pahala mencari rahmat dan kasih-sayang Allah. Sesiapa yang menanam kebaikan maka dia pun akan menuai kebaikannya, dan sesiapa yang menabur benih-benih keburukan, maka dia pun akan menuai hasil yang buruk.
Adat singgah di suatu tempat, tentu kita tidak mahu berlama-lama di situ, sebaliknya berharap agar dapat segera meneruskan perjalanan ke destinasi sebenar agar cepat sampai. Kita hanya membeli bekal secukupnya di tempat persinghan untuk bekalan di tempat tujuan.
Demikianlah halnya dengan dunia, ia adalah tempat persinggahan sebelum sampai ke destinasi sebenar yang kekal. Kita mungkin saja sampai bila-bila dari sekarang sesuai dengan ketentuan dari-Nya. Dan ketika ketentuan dari-Nya sampai, pasti kita tidak akan dapat kembali lagi. Kerana itu, sudah seharusnya kita lebih memikirkan dan lebih bercita-cita untuk membangun rumah yang sebaik-baiknya yang akan kita huni selamanya di akhirat sana berbanding rumah-rumah yang ada di dunia sementara ini.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berwasiat kepada ‘Abdullah bin ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma:
كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ
“Jadikanlah keberadaan engkau di dunia sebagaimana orang asing atau orang yang sedang melintasi suatu negeri.” (Shahih Al-Bukhari, no. 6416)
Dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَا لِي وَلِلدُّنْيَا، مَا أَنَا فِي الدُّنْيَا إِلَّا كَرَاكِبٍ اسْتَظَلَّ تَحْتَ شَجَرَةٍ ثُمَّ رَاحَ وَتَرَكَهَا
“Apalah urusanku dengan dunia ini, tidaklah keberadaan aku di dunia ini melainkan seperti seorang yang menempuh suatu perjalanan lalu berteduh (barang sebentar) di bawah sebatang pohon, lalu kemudian pergi meninggalkannya.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2377)
Maka demikianlah kita. Mengingati kematian dan janji-janji setelah kematian itu harus lebih diutamakan dan menjadi tujuan yang paling tinggi.
Kata sebahagian salaf, “Jaga-jagalah diri kalian dari dunia, kerana sihirnya lebih hebat dari Harut dan Marut, yang mereka berdua ini mampu memisahkan antara suami dan isteri, sedangkan dunia pula berupaya memisahkan seorang hamba dari (mengingati) Rabb-nya.”
Buku dengan judul (edisi terjemahan), “Dunia, Kesenangan Yang Semu” ini akan membuka mata kita lebar-lebar betapa tidak berharganya dunia ini sehingga kita pun akan terbimbing untuk lebih memilih kehidupan akhirat yang mulia berbanding kehidupan dunia yang hina dan sekelumit cuma ini. Sehingga kita pun mampu menjadikan akhirat sebagai cita-cita dan harapan besar kita sementara waktu masih ada.