Judul: Tazkiyatun Nufus Para Nabi ‘Alaihis Salaam | Judul Asal (‘Arab): Manhajul Anbiyaa’ fii Tazkiyatin Nufuus | Penulis: Syaikh Salim B. ‘Ied Al-Hilali | Penerbit: Pustaka Imam Asy-Syafi’i | Berat: 400g | Muka Surat: 235m/s. [Hak cipta Atsar Enterprise, www.atsar.ilmusunnah.com]
Tidak banyak buku yang ditulis oleh para penulis Muslim yang berkaitan dengan tazkiyatun nufus (penyucian jiwa) sebanyak buku-buku yang ditulis mengenai persoalan ‘aqidah, fiqih, hadis, sejarah/sirah dan lain-lain.
Ironisnya, dari yang sedikit itu hanya beberapa buah buku yang ditulis secara ilmiyah berdasarkan dalil-dalil dari al-Qur’an dan as-Sunnah yang sahih. Sebahagian besar buku-buku berkaitan itu ditulis oleh pengarang-pengarang dari golongan berfahaman sufi tasawuf yang sarat dengan cerita-cerita takhayyul dan khurafat tasawuf yang menyesatkan. Seperti cerita-cerita yang diambil dari mimpi-mimpi, kisah-kisah mistik yang entah datang dari mana, kisah-kisah wali yang tidak dikenal, kisah-kisah kasyaf, berita-berita ghaib yang tidak diketahui asal usulnya, berdasarkan perasaan dan zouq, dan seumpamanya.
Manakala buku ini yang ditulis oleh Syaikh Salim B. ‘Ied al-Hilali, termasuk salah seorang tokoh hadis masa kini, beliau berusaha mengingatkan masyarakat Islam berkenaan kekeliruan sebahagian besar mereka dan masyarakat awam khasnya dengan kaedah tazkiyatun nufus yang benar. Iaitu melalui sebuah karya ilmiyah berupa sebuah buku yang beliau berikan judul: Manhajul Anbiyaa’ fii Tazkiyatin Nufuus (Tazkiyatun Nufus Para Nabi).
Buku ini selain memberi kritikan atau analisa terhadap metode tazkiyatun nufus yang banyak berlegar di dalam masyarakat, ia sangat berusaha mengedepankan dan mendahulukan pendekatan ilmiah berdasarkan sumber-sumber dari al-Qur’an dan as-Sunnah yang sahih. Di dalam buku ini penulis berbicara tentang tujuan tazkiyatun nufus (penyucian jiwa), motivasi dan hasil ketaqwaan, tazkiyatun nufus sebagai aspek kekuatan umat, prinsip dakwah para nabi, Tazkiyatun nufus adalah salah satu rukun kenabian, definisi taqwa dan rukun-rukunnya, taqwa dalam al-Qur’an dan as-Sunnah, prinsip tazkiyatun nufus yang benar dan selainnya yang berkaitan.
Di akhir perbahasan, beliau membongkar beberapa bentuk kesalahan-kesalahan manhaj tasawuf dalam tazkiyatun nufus yang hanya berlandaskan kepada perasaan dan pengalaman peribadi tokoh-tokoh sufi yang tidak dikenal peribadi dan keabsahan, malah kewujudannya.
Semoga buku ini membantu para pembaca semua mendapatkan asas-asas kefahaman yang baru lagi segar dan benar serta berupaya mengajak umat Islam ke jalan yang lurus dalam tazkiyatun nufus atau menyucikan jiwa. [Disediakan oleh krew Atsar Ent., www.atsar.ilmusunnah.com]