Judul Asli ('Arab): Ad-Daa’wa Ad-Dawaa’, Macam-maca Penyakit Hati dan Penawarnya | Judul Asal: Ad-Daa’wa Ad-Dawaa’ | Penulis: Al-Hafiz Ibnul Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H) | Tahqiq: Ali bin Hasan Al-Halabi | Penerbit: Pustaka Imam Asy-Syafi’i | Berat: 1.35kg | Muka Surat: 565 m/s. | ISBN: 9786028062244
Buku ini berbicara dengan bahasa yang menawan dan tuntas dalam pelbagai persoalan doa, aqidah, akhlak, kesan maksiat, penyakit hati dan penawarnya, tujuan penciptaan hamba, syirik dan sebahagian syubhat-syubhatnya, cinta (Al-Hubb), kesan cinta, tarbiyah dan tazkiyatun-nufus.
Perbahasan tulisan dimulakan dari persoalan pentingnya do’a bagi seseorang hamba serta hubungan do’a dengan takdir. Pada bab ini penulis mengupas doa adalah penawar, istiqomah dalam berdoa, jangan tergesa-gesa dalam berdoa, waktu-waktu terkabulnya doa, rahsia-rahsia doa, doa ibarat senjata, hubungan doa dengan taqdir, beberapa kesalahan dalam berdoa, berbaik sangka terhadap Allah, dan syarat-syarat memanjatkan pengharapan kepada Allah.
Perbahasan penulis diteruskan dengan kupasan berkaitan jenis-jenis maksiat dan bahayanya bagi para pelakunya, juga dosa-dosa dan kesan-kesan negatifnya secara langsung di dunia. Antara cakupan kupasan dalam bab ini adalah seperti bahasan tentang maksiat adalah penghalang ilmu, maksiat menghalang rezeki, maksiat penyebab kehampaan, maksiat menjadi sebab sulitnya urusan, maksiat menggelapkan hati, maksiat menghalangi keberkahan umur, maksiat penyebab kehinaan, maksiat merosakkan akal, maksiat menjadi sebab terhalangnya doa, maksiat menghilangkan rasa malu, maksiat menjadi sebab kusutnya hati, maksiat menjadi sebab seseorang dilupakan oleh Allah dan Allah menjadikan pula dengan sebab maksiat itu dia melupakan dirinya sendiri, maksiat memutuskan nikmat dunia dan terhalang dari nikmat akhirat. Serta beberapa lagi yang lain.
Kemudian beliau (Ibnul Qayyim) berbicara pula hubungan antara dosa dan hukuman, iaitu tentang hukuman Allah terhadap hamba-Nya sama ada hukuman yang bersifat syar’i atau pun qadari, qalbi atau pun badani, duniawi atau pun ukhrawi dengan sebab-sebab dosa yang dilakukan oleh para hamba.
Ibnul Qayyim berbicara pula mengenai tujuan diciptakannya makhluk. Berbicara tentang syirik dan jenis-jenisnya di dalam ibadah perbuatan, perkataan, kehendak, dan niat, kemudian diikuti letak duduk kesyirikan agama Nasrani sebagai contoh perbahasan, juga perbahasan tentang syirik dalam wasilah dan syafa’at yang banyak gagal difahami kebanyakan orang.
Beliau juga berbicara berkaitan sebahagian dosa-dosa besar yang banyak dianggap remeh oleh manusia dengan sebab kejahilan, diikuti pula perbahasan tentang pintu-pintu pembuka maksiat yang di antaranya melalui bisikan hati, pandangan mata, dan langkah kaki.
Kemudian turut dibahaskan mengenai liwat (homoseks) dan menyetubuhi binatang.
Terakhir dan sebagai penutup perbahasannya, Imam Ibnul Qayyim membahaskan tentang kaedah-kaedah menyucikan hati dan membersihkan diri dari maksiat serta dosa-dosa, penawar jiwa, perbahasan tentang hakikat cinta, peringkat dan jenis-jenis cinta, soal mabuk asmara dan beberapa permasalahan yang lain berkaitan cinta di dalam hati.
Anda akan menjadi terpesona dengan huraian-huraian yang disusun oleh penulis yang sangat berilmu dan faqih dari halaman demi halaman. Bentuk ayat dan susun perkataan yang digunakan penulis juga sangat memukau lagi menyentuh hati. Anda akan merasa puas dari dahaga ilmu yang bermanfaat. Orang-orang yang tidur dari igauan dunia mampu dikejutkan dan segera mencari amal-amal yang terlupakan.
Maka, telitilah buku ini dari lembaran pertama sehingga ke akhirnya...
Demikianlah, begitu banyak persoalan masalah yang disebutkan oleh Ibnul Qayyim (rahimahullah) secara panjang lebar berserta penyelesaiannya yang begitu meyakinkan. Beliau memaparkan pelbagai perkara, sama ada yang halus (tersirat) atau pun yang tampak (tersurat) dari sudut hakikat ilmu, disertai dengan penjelasan tentang pengawasan dan pembaikan terhadap jiwa.
Setiap perbahasan yang beliau utarakan menjadikan para penuntut ilmu wajib memiliki dan menala’ah kitab ini. Kitab aslinya berjudul Al-Jawaabul Kaafi li Man Sa-ala ‘anid Dawaa’isy Syaaft atau ada yang menyebutkannya dengan judul: Ad-Daa’ wad Dawaa’.
Selaku penulis, Imam Ibnul Qayyim (rahimahullah) sendiri tidak pernah memberi judul karya beliau ini dengan salah satu dari kedua judul tersebut, sebagaimana dijelaskan pada muqaddimah beliau. Kedua judul tersebut diberikan untuk sebuah karya yang sama, iaitu yang ditulis oleh Ibnul Qayyim, sebagai jawaban terhadap soalan yang diajukan kepada beliau. Pembetulan makna di antara kedua judul tersebut dengan isi kitab ini tampak jelas walaupun judul Ad-Daa’ wad Dawaa’ lebih dikenali. Sebab, judul tersebut diperkuatkan oleh para penyusun biografi beliau (rahimahullah), seperti antaranya Al-Hafizh Ibnu Rajab Al-Hambali (rahimahullah) dalam Dzail Thabaqaat Al-Hanaabilah (11/450), kemudian oleh Ibnul ‘Ammad (rahimahullah) dalam Asy-Syadzaraat (6/169), serta oleh Imam Asy-Syaukani (rahimahullah) dalam Al-Badruth Thaali’ (11/144). [Disediakan oleh Atsar Ent., www.atsar.ilmusunnah.com]