Judul: Nasehatku Untuk Kaum Wanita | Judul Asal ('Arab): Nashihati lin Nisaa' | Penulis: Ummu 'Abdillah Al-Wadi'iyyah | Penerbit: Pustaka Ar-Rayyan | Berat: 550g | Muka Surat: 400m/s. [Hak cipta Atsar Enterprise, www.atsar.ilmusunnah.com]
مَا تَرَكْتُ بَعْدِي فِتْنَةً أَضَرَّ عَلَى الرِّجَالِ مِنْ النِّسَاءِ
“Aku tidak meninggalkan fitnah sepeninggalanku yang lebih bahaya bagi lelaki melebihi fitnah wanita.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim – Muttafaq ‘alaih)
Beliau juga bersabda:
فَاتَّقُوا الدُّنْيَا وَاتَّقُوا النِّسَاءَ فَإِنَّ أَوَّلَ فِتْنَةِ بَنِي إِسْرَائِيلَ كَانَتْ فِي النِّسَاءِ
“Takutlah kamu dengan dunia dan takutlah kamu dengan fitnah wanita, kerana sesungguhnya fitnah yang mula-mula menimpa bani Israil adalah berkaitan urusan wanita.” (Shahih Muslim, no. 2472)
Maka atas alasan tersebut dan atas dasar nasihat-menasihati di atas kebaikan, maka kehadiran buku ini amatlah tepat pada masanya. Buku ini termasuk sarana usaha (dengan se-izin Allah) bagi memperbaiki keadaan yang sedang berlangsung yang wanita memainkan peranan di dalamnya.
Buku ini adalah terjemahan dari sebuah kitab berjudul Nashihati lin Nisaa' karya Ummu 'Abdillah puteri Syaikh Muqbil B. Hadi al-Wadi'iy rahimahullah. Buku ini memuatkan perbahasan-perbahasan yang bermanfaat buat kaum wanita secara khusus dan masyarakat Islam umumnya sekitar persoalan asas-asas akhlak dan adab, aqidah, fiqh, pendidikan anak-anak, kekeluargaan, hak-hak suami dan isteri, mu'amalah, keutamaan mempelajari ilmu, dan banyak lagi lainnya.
Semoga dengan mutiara-mutiara nasihat yang tersisip di dalam buku ini mampu dimanfaatkan sebaiknya. Ketahuilah bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ، وَالمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ زَوْجِهَا وَوَلَدِهِ، فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ
“Seseorang lelaki adalah pemimpin yang bertanggungjawab ke atas keluarganya, manakala seseorang isteri menjadi pemimpin yang bertanggungjawab menguruskan rumah suaminya dan anak-anaknya. Maka setiap kalian adalah pemimpin dan kalian akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang kalian pimpin.” (Shahih al-Bukhari, no. 5200. Bab: Wanita Adalah Pemimpin di Rumah Suaminya)
Maka wahai wanita, jadilah kalian pemimpin yang baik di rumah suamimu. Demi untuk putera-puterimu, kemuliaanmu, menjaga harta suamimu, dan agar rumah-tanggamu ter-urus sempurna. Demikianlah hendaknya akhlak seorang wanita solehah.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللَّهُ
“Maka, wanita yang solehah adalah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tiada dengan apa yang Allah telah pelihara mereka.” (Surah an-Nisaa’, 4: 34)
Rasulullah Shallalalhu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خَمْسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَفِظَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ زَوْجَهَا قِيلَ لَهَا: ادْخُلِي الْجَنَّةَ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شِئْتِ
“Apabila seorang wanita telah mendirikan solat 5 waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, menjaga kehormatannya (atau kemaluannya), serta mentaati suaminya, maka akan dikatakan kepadanya, “Masuklah engkau ke dalam Syurga dari pintu mana pun yang engkau mahu.”” (Musnad Ahmad, no. 1661. Ath-Thabrani, al-Mu’jam al-Ausath, no. 4598, 8805. Shahih Ibnu Hibban, no. 4163. Hadis hasan lighairihi)
Namun yang menakutkan lagi membimbangkan, sebegitu mudah tugas yang Allah berikan untuk kaum wanita menggapai Syurga, tetap juga kaum wanita-lah yang kelak paling ramai di Neraka sebagaimana dikhabarkan oleh Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam dalam beberapa hadis-hadisnya. Antara puncanya kerana mereka tidak merasa redha dengan kedudukan yang telah Allah kurniakan untuk mereka, suka meminta-minta, hilangnya rasa qona'ah, suka mengeluh dan tidak sabar, tidak bersyukur, suka mengumpat, suka mencela suaminya, tidak menjaga auratnya, hilangnya sifat malu, dan beberapa sebab lainnya lagi.
Maka, semoga buku yang dipenuhi dengan untaian-untaian nasihat berharga dan penuh hikmah ini mampu menyelamatkan kita semua sekaligus meraih Syurga-Nya, dan khasnya tentu buat para wanita di luar sana. Berbuat baiklah kepada mereka dan jangan berbuat kasar terhadap mereka. Sebagaimana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah bersabda:
وَاسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ خَيْرًا، فَإِنَّهُنَّ خُلِقْنَ مِنْ ضِلَعٍ، وَإِنَّ أَعْوَجَ شَيْءٍ فِي الضِّلَعِ أَعْلاَهُ، فَإِنْ ذَهَبْتَ تُقِيمُهُ كَسَرْتَهُ، وَإِنْ تَرَكْتَهُ لَمْ يَزَلْ أَعْوَجَ، فَاسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ خَيْرًا
“Berbuat baiklah kepada kaum wanita, kerana sesungguhnya mereka diciptakan dari tulang rusuk, dan sesungguhnya tulang rusuk yang paling bengkok adalah yang paling atas. Jika engkau berusaha meluruskannya mungkin engkau akan mematahkannya, namun jika engkau biarkan ia akan terus bengkok. Maka aku wasiatkan padamu agar kalian tanggapilah para wanita dengan baik.” (Shahih al-Bukhari, no 5186)