Judul: Fikih Ekonomi Kewangan Islam | Judul Asal ('Arab): Ma laa Yasa' at-Taajira Jahluhu | Penulis: Prof. Dr. Abdullah Mushlih dan Prof Dr. Shalah ash-Shawi | Penerbit: Darul Haq | Berat: 650g | Muka Surat: 472m/s. [Hak cipta Atsar Enterprise, www.atsar.ilmusunnah.com]
Judul asal buku ini adalah Ma laa Yasa' at-Taajira Jahluhu. Ia ibarat setitik air di tengah-tengah kehausan umat Islam. Kehausan atau kedahagaan umat Islam terhadap ilmu per-ekonomian yang syar'i benar-benar memuncak tatkala dunia dilanda dengan perniagaan dan perbankan riba, insurans, jual beli 'inah, dan seumpamanya.
Dari itu, pada hari ini muncullah nama-nama per-ekonomian dengan nama seperti bank Islam, konsep mudharabah, kewangan patuh syari'ah, insurans takaful, perniagaan Islam, dan sebagainya. Namun, sejauh manakah tema-tema yang digunakan tersebut benar-benar berada di atas landasan Islam yang sahih? Itulah yang mengundang pelbagai pertanyaan terhadap masyarakat. Apakah ia benar-benar syar'i, atau hanya sekadar slogan-slogan dan istilah-istilah hiasan mengambil kesempatan sempena kejahilan masyarakat.
Perlu kita fahami bahawa ayat-ayat al-Qur'an dan hadis-hadis Nabi memang tidak akan pernah berubah sampai ke akhir zaman, sedangkan masalah per-ekonomian akan dan sentiasa berubah-ubah dari masa ke masa. Itulah sebabnya kita sebagai masyarakat awam dan umat Islam hari ini, perlu kepada satu bentuk panduan khas berkaitan dengannya. Iaitu sebuah kupasan dan satu bentuk analisa fiqh per-ekonomian semasa yang tuntas dan jelas buat membantu masyarakat yang ikhlas mahukan urusan mu'amalah mereka sentiasa berada di atas redha Allah sekaligus beroleh keberkatan.
Kalau dalam kalangan mahasiswa dan penuntut ilmu di universiti, mungkin terdapat banyak sumber rujukan di perpustakaan-perpustakaan mereka berupa kitab-kitab klasik dan seumpamanya. Namun itupun sudah tentu amat memberatkan mereka untuk membuat telahan dan semakkan kerana luasnya perbahasan dan cakupan. Bahkan sehingga tidak diketahui kitab manakah yang terbaik untuk menjelaskan satu-satu permasalahan ekonomi dan mu'amalah semasa. Apatah lagi untuk kalangan awam yang masih meraba-raba.
Maka dari itulah perlunya kita kepada sebuah buku yang tuntas dan mudah dalam menjelaskan ini semua. Agar mereka yang inginkan mu'amalah yang syar'i dapat mengambil ilmu dan manfaat darinya. Sekaligus membuka beberapa laluan dan jalan ke arah ekonomi Islam yang benar dan syar'i. Menjelaskan apa yang sebelumnya kelam. Memberi alternatif kepada masyarakat di tengah-tengah badai riba', insurans, dan sistem kapitalis.
InsyaAllah ada banyak hal-hal menarik yang dibentangkan melalui buku ini. Antaranya merangkumi topik-topik seperti Akhlak Usahawan Muslim, Hukum-hakam akad (transaksi), jual-beli yang syar'i, hal-ehwal pelaburan, pinjaman, kad kredit, undang-undang hak cipta, perbahasan riba, bentuk-bentuk penipuan dalam perniagaan, perniagaan yang halal dan haram, hukum-hakam perbankan, zakat, dan banyak lagi lainnya.