Judul: Meneladani Akhlak Nabi | Judul Asal: Akhlaaq an-Nabi wa Aadaabuhu | Penulis: Imam Abu Syaikh rahimahullah (Wafat: 369H) | Tahqiq: Ishamuddin Sayyid Ash-Shababithi |Penerbit: Qisthi Press | Berat: 600g | Muka Surat: 338 m/s (Hard cover).
Terdapat banyak sekali dalil-dalil yang membuktikan bahawa akhlak yang mulia merupakan ciri-ciri seorang yang beriman, dicintai Allah, dan cemerlang. Di antaranya adalah firman Allah Subhanahu wa Ta’ala berkenaan ciri-ciri Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
وَإِنَّكَ لَعَلَى خُلُقٍ عَظِيمٍ
“Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia.” (Surah al-Qalam, 68: 04)
Seterusnya Allah menyuruh pula agar kita meneladani akhlak Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tersebut:
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kebaikan di) hari akhir (kiamat), dan dia banyak mengingat Allah.” (Surah al-Ahzaab, 33: 21)
Di antara tujuan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam diutuskan adalah bagi menyempurnakan akhlak yang soleh, dan ini adalah sebagaimana sabdanya:
إِنَّمَا بُعِثْتُ لأُتَمِّمَ صَالِحَ الأَخْلاَقِ
“Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang soleh.” (Al-Bukhari, al-Aadabul Mufrad, no. 208. Syu’abul Iman, no. 7609)
Dalam hadis yang lain, Rasulullah mengkhabarkan bahawa akhlak yang mulia menandakan kesempurnaan iman:
أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا، وَخَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِنِسَائِهِمْ
“Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya. Dan yang paling terbaik di kalangan kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 1162)
Selain itu, Rasulullah turut mengkhabarkan bahawa mukmin (orang beriman) yang paling afdhal (utama) adalah mukmin yang paling baik akhlaknya.
Ini adalah sebagaimana dikemukakan dalam sebuah hadis bahawa seorang sahabat Anshar datang kepada Nabi dan memberi salam, kemudian beliau bertanya:
يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الْمُؤْمِنِينَ أَفْضَلُ قَالَ أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا قَالَ فَأَيُّ الْمُؤْمِنِينَ أَكْيَسُ قَالَ أَكْثَرُهُمْ لِلْمَوْتِ ذِكْرًا وَأَحْسَنُهُمْ لِمَا بَعْدَهُ اسْتِعْدَادًا أُولَئِكَ الْأَكْيَاسُ
“Wahai Rasulullah, siapakah mukmin yang paling utama?” Rasulullah menjawab, “Yang paling baik akhlaknya.” Beliau bertanya lagi, “Lalu siapakah pula mukmin yang bijak?” Rasulullah jawab, “Yang paling banyak mengingati mati dan paling baik dalam membuat persiapan untuk alam berikutnya, maka itulah orang yang bijak.” (Sunan Ibnu Majah, no. 4249)
Seterusnya, Rasulullah mengkhabarkan bahawa orang yang paling dicintai Allah adalah orang yang paling baik akhlaknya. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّ اللهَ يُحِبُّ الرِّفْقَ فِي الْأَمْرِ كُلِّهِ
“Sesungguhnya Allah mencintai sikap lemah-lembut dalam segala urusan.” (Shahih Muslim, no. 2165)
Sahabat Nabi radhiyallahu ‘anhum pernah bertanya:
فمن أحب عبادالله إلى الله قال أحسنهم خلقا
“Maka siapakah orang yang paling dicintai oleh Allah?”
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun menjawab:
أحسنهم خلقا
“Orang yang paling baik akhlaknya.” (Ath-Thabrani, al-Mu’jam al-Awsath, no. 6380)
Demikianlah beberapa dalil yang menjelaskan tentang kedudukan, keutamaan, dan kepentingan akhlak yang mulia. Berdasarkan dalil-dalil ini, ketahuilah bahawa kesahihan, keimanan, dan kematangan ilmu seseorang diukur berdasarkan akhlak dirinya. Kesahihan dan kematangan ilmu tidak diukur dengan jumlah sijil yang dipegang, jumlah jawatan yang disandang, gelaran yang dimiliki, mahupun jumlah hadis yang dihafal, tetapi sebaliknya diukur dengan akhlak yang dimiliki.
Semakin mulia akhlak yang menghiasi, semakin sahih dan matanglah ilmu yang dimiliki.
Atas alasan ini juga, tidaklah dapat kita memahami maksud dan perincian akhlak-akhlak yang mulia melainkan dengan meneliti bagaimana Nabi kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berakhlak dalam segala keadaannya baik dalam hal bertauhid (terhadap Allah), sesama manusia (baik yang kafir atau yang muslim), terhadap haiwan, akhlak dalam bermu'amalah, akhlak terhadap para isteri-isterinya, terhadap anak-anak, akhlak terhadap al-Qur'an, dan yang selainnya.
Akhlak yang sahih tidaklah boleh dibina hanya sekadar dengan andaian, prasangka, ataupun anggapan baik dan asal disukai oleh manusia. Tetapi sebaliknya mestilah ditetapkan di atas prinsip agama yang benar sebagaimana yang ditunjukkan dan dicontohkan oleh Nabi.
Maka buku ini adalah antara karya yang sangat baik dalam membukukan dan membentangkan hadis-hadis berkaitan dengan akhlak-akhlak Nabi. Di dalamnya terkandung himpunan lebih dari 800 hadis dan riwayat tentang akhlak Nabi di pelbagai keadaan atau situasi. Buku ini disusun oleh Imam Abu Syaikh (atau Abu Muhammad ‘Abdullah B. Muhammad B. Ja’far B. Hayyan al-Anshari) rahimahullah (Wafat: 369H) salah seorang tokoh ulama hadis terkenal di zamannya, iaitu era 300 hijriyah.
Dengan siapnya terjemahan kitab ini (antara edisi yang baik dengan tahqiq dan takhrij Ishamuddin Sayyid ash-Shababithi), maka bertambahlah lagi khazanah ilmu buat kita. Sama-samalah kita saksikan pesona sebenar akhlak Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam agar dapat kita ambil ia sebagai motivasi, teladan, contoh, tolok-ukur, dan muhasabah.