Judul: Tafsir Surah Al-Kahfi | Judul Asal (‘Arab): Tafsiir Al-Qur’aan Al-Kariim Suurah Al-Kahf | Penulis: Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin | Penerbit: Pustaka As-Sunnah | Berat: 800g | Muka Surat: 320m/s. [Hak cipta Atsar Enterprise, www.atsar.ilmusunnah.com]
Surah Al-Kahfi adalah salah satu surah Al-Qur’an yang memiliki kedudukan dan keutamaan yang istimewa. Terdapat beberapa hadis yang menyentuhnya secara khusus. Para ulama ahlus Sunnah juga sering mengingatkan supaya mengambil berat dan memahami Surah Al-Kahfi ini.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْكَهْفِ فِي يَوْمِ الْجُمُعَةِ أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّورِ مَا بَيْنَ الْجُمُعَتَيْنِ
“Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Juma’at, maka dia akan diterangi cahaya (oleh Allah) di antara dua Juma’at.” (Sunan Al-Kubra Al-Baihaqi, no. 5996. Dinilai sahih oleh Al-Albani)
Berdasarkan hadis ini, maka antaranya Imam Asy-Syafi’i rahimahullah (Wafat: 204H) pun berkata:
وَبَلَغَنَا أَنَّ من قَرَأَ سُورَةَ الْكَهْفِ وُقِيَ فِتْنَةُ الدَّجَّالِ + ( قال الشَّافِعِيُّ ) وَأُحِبُّ كَثْرَةَ الصَّلَاةِ على النبي صلى اللَّهُ عليه وسلم في كل حَالٍ وأنا في يَوْمِ الْجُمُعَةِ وَلَيْلَتِهَا أَشَدُّ اسْتِحْبَابًا وَأُحِبُّ قِرَاءَةَ الْكَهْفِ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ وَيَوْمَهَا لِمَا جاء فيها
“Dan telah sampai kepada kami bahawa sesiapa yang membaca Surah Al-Kahfi, maka ia akan terpelihara dari fitnah Dajjal.
Maka aku menyukai agar orang-orang supaya memperbanyakkan selawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam segala perkara, dan aku menyukai lagi jika ia turut dilakukan pada hari Juma’at. Dan pada hari Juma’at tersebut, serta pada malamnya, aku turut menyukai agar orang-orang membaca Surah Al-Kahfi berdasarkan keterangan hadis Rasulullah.” (Imam Asy-Syafi’i, Al-Umm, 1/208)
Sebagaimana yang diisyaratkan Imam Asy-Syafi’i rahimahullah, terdapat hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْفِ عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ
“Sesiapa yang hafal 10 ayat yang awal Surah Al-Kahfi, maka dia akan dilindungi dari fitnah Dajjal.” (Shahih Muslim, no. 809)
Manakala dalam riwayat Syu’bah, “dari ayat-ayat yang akhir di Surah Al-Kahfi...”
Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata:
قوله صلى الله عليه و سلم من حفظ عشر آيات من أول سورة الكهف عصم من الدجال وفي رواية من آخر الكهف قيل سبب ذلك ما في أولها من العجائب والايات فمن تدبرها لم يفتتن بالدجال وكذا في آخرها قوله تعالى:
أَفَحَسِبَ الَّذِينَ كَفَرُوا أَنْ يَتَّخِذُوا (عِبَادِي مِنْ دُونِي أَوْلِيَاءَ إِنَّا أَعْتَدْنَا جَهَنَّمَ لِلْكَافِرِينَ نُزُلًا).
“Telah bersabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Sesiapa yang hafal 10 ayat yang awal Surah Al-Kahfi, maka dia akan dilindungi dari terkena fitnah Dajjal.” Dalam riwayat lain, “Dari ayat yang akhir Surah Al-Kahfi...”
Sebahagian ulama mengatakan bahawa sebabnya adalah kerana pada awal surah tersebut terdapat beberapa ayat tentang keajaiban-keajaiban (kekuasaan Allah), maka sesiapa yang men-tadabburi-nya (menghayati dan memahaminya), maka dia tidak akan terkena fitnah Dajjal dan demikian juga pada ayat-ayatnya yang akhir, Allah Ta’ala berfirman:
أَفَحَسِبَ الَّذِينَ كَفَرُوا أَنْ يَتَّخِذُوا عِبَادِي مِنْ دُونِي أَوْلِيَاءَ إِنَّا أَعْتَدْنَا جَهَنَّمَ لِلْكَافِرِينَ نُزُلًا
“Maka adakah orang-orang kafir menyangka bahawa mereka (dapat) mengambil hamba-hamba-Ku menjadi penolong selain Aku? Sesungguhnya Kami telah menyediakan neraka Jahannam sebagai tempat penginapan (tempat tinggal) bagi orang-orang yang kafir.” (Surah Al-Kahfi, 18: 102) (Syarah Shahih Muslim, 6/92-93)
Maka, demikianlah sebahagian dari keutamaan Surah Al-Kahfi. Untuk menelusuri rahsia-rahsia dan tafsirnya yang lebih lengkap, para pembaca boleh merujuk terus kepada penerangan dan penjelasan yang disusun oleh Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin rahimahullah ini.