Judul: Siapakah Yang Lebih Berilmu | Judul Asal ('Arab): Fadhlu 'Ilmu as-Salaf 'ala al-Kholaf | Penulis: Imam Al-Hafiz Ibnu Rejab al-Hanbali rahimahullah (Wafat: 795H) | Penerbit: Cahaya Tauhid Press | Berat: 150g | Muka Surat: 100m/s. [Hak cipta Atsar Enterprise, www.atsar.ilmusunnah.com]
Kata Imam adz-Dzahabi rahimahullah (Wafat: 748H):
العلم ليس هو بكثرة الرواية، ولكنه نور يقذفه الله في القلب، وشرطه الاتباع، والفرار من الهوى والابتداع
مَنْ تَعَلَّمَ عِلْمًا مِمَّا يُبْتَغَى بِهِ وَجْهُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ لَا يَتَعَلَّمُهُ إِلاَّ لِيُصِيبَ بِهِ عَرَضًا مِنَ الدُّنْيَا، لَمْ يَجِدْ عَرْفَ الْجَنَّةِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
“Sesiapa yang menuntut ilmu yang sepatutnya untuk mencari wajah Allah ‘Azza wa Jalla, tetapi dia tidak menuntutnya melainkan untuk mencari dunia dengannya, maka pada hari kiamat dia tidak akan dapat mencium aroma Syurga.” (Musnad Ahmad, no. 8457. Sunan Abu Daud, no. 3664. Ibnu Majah, no. 248. Dinilai sahih oleh an-Nawawi, al-Albani, dan Syu’aib al-Arnauth)
Maka atas sebab itulah setiap ilmu yang kita pelajari seharusnya menuju kepada jalan tersebut, iaitu jalan ‘ubudiyyah kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Apabila kita benar-benar faham bahawa prioriti ilmu yang syar’i lagi bermanfaat adalah ilmu-ilmu yang datang dari al-Qur’an, as-Sunnah, dan kefahaman terhadap keduanya berpandukan manhaj yang benar (iaitu manhaj generasi awal umat Islam khasnya dari kalangan sahabat nabi, tabi'in, dan tabi'ut tabi'an), maka sudah seharusnya kita meletakkan usaha dan keutamaan yang tinggi untuk menekuninya. Itulah yang merupakan tradisi para ulama dan ilmuan Islam dari kalangan salaf (generasi awal Islam) dan para ilmuan yang mengikuti generasi salaf dengan baik.
Mu’adz B. Jabal radhiyallahu ‘anhu berkata:
تعلموا العلم، فإن تعلمه لله خشية، وطلبه عبادة، ومدارسته تسبيح، والبحث عنه جهاده، وتعليمه لمن لا يعلمه صدقه، وبذله لأهله قربة، وهو الأنيس فى الوحدة، والصاحب فى الخلوة
“Pelajarilah ilmu, kerana dengan mempelajarinya kerana Allah merupakan tanda takut terhadap-Nya, mencarinya adalah ibadah, menuntutnya adalah tasbih, membahaskannya adalah jihad, mengajarkannya kepada yang belum mengetahui adalah sedekah, usaha memberikannya kepada yang berhak adalah ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah, ilmu adalah teman di saat sendirian dan rakan dalam kesepian.” (Ibnu Qudamah, Mukhtashar Minhajul Qashidin, m/s. 15 – Maktabah Daar al-Bayaan)
Imam adz-Dzahabi rahimahullah (Wafat: 748H) berpesan:
نَسْأَل اللهَ عِلْماً نَافِعاً، تَدْرِي مَا العِلْمُ النَّافِع؟هُوَ مَا نَزل بِهِ القُرْآنُ، وَفسَّره الرَّسُول - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - قَوْلاً وَفعلاً، وَلَمْ يَأْت نَهْي عَنْهُ، قَالَ عَلَيْهِ الصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ: (مَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي، فَلَيْسَ مِنِّي)، فَعَلَيْك يَا أَخِي بتدبُّر كِتَاب اللهِ، وَبإِدمَان النَّظَر فِي (الصَّحِيْحَيْنِ) و(سُنَن النَّسَائِيّ)، وَ(رِيَاض النَّوَاوِي) وَأَذكَاره، تُفْلِحْ وَتُنْجِحْ، وَإِيَّاكَ وَآرَاءَ عُبَّادِ الفَلاَسِفَة، وَوظَائِفِ أَهْلِ الرِّيَاضَات، وَجُوعَ الرُّهبَان، وَخِطَابَ طَيْشِ رُؤُوْسِ أَصْحَابِ الخلوَات، فُكُلُّ الخَيْر فِي مُتَابعَة الحنِيفِيَة السَّمحَة، فَواغوثَاهُ بِاللهِ، اللَّهُمَّ اهدِنَا إِلَى صرَاطك المُسْتقيم
“Kita memohon kepada Allah ilmu yang bermanfaat. Tahukah kamu apa ilmu yang bermanfaat tersebut? Iaitu ilmu yang turun bersama al-Qur’an dan ditafsirkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dengan ucapan, perbuatan, dan yang tiada larangan darinya. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Sesiapa yang membenci sunnahku, maka dia tidak termasuk golonganku.” Wahai saudaraku, kamu perlu mempelajari kitab Allah dan menekuni dua kitab Sahih (Shahih al-Bukhari dan Muslim), Sunan an-Nasaa’i, Riyadhus Shalihin, dan al-Adzkar karya Imam an-Nawawi, nescaya kamu akan beruntung dan selamat. Jauhilah syubhat pemikiran ahli falsafah, perbuatan ahli sufi, ajaran para pendeta, dan khayalan orang-orang yang suka menyendiri. Seluruh kebaikan itu adalah dengan mengikuti jalan yang lurus. Mintalah pertolongan kepada Allah. Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami jalan-Mu yang lurus.” (adz-Dzahabi, Siyar A’lam an-Nubala’, 19/339-340)
Adapun dalam buku ini, Al-Hafiz Ibnu Rejab menjelaskan tentang betapa pentingnya mendalami ilmu yang benar, iaitu ilmu yang bakal menyelamatkan kita di akhirat kelak. Kemudian beliau menjelaskan pula apa itu ilmu yang bermanfaat, keutamaan ilmu bahasa 'arab, bahaya ilmu-ilmu ahli bid'ah, ilmu berkaitan sifat-sifat Allah dan prinsip dalam memahaminya, bahaya berlebihan dalam mengikuti akal sehingga melampaui dalil, kesan buruk banyak berdebat dan bertengkar dalam urusan agama, adab dalam berbicara, ilmu yang paling utama, timbangan kebenaran, bahaya bid'ah-bid'ah kaum sufi, siapakah yang benar-benar dikatakan berilmu, ilmu demi mencari dunia, dan banyak lagi kupasan lainnya yang begitu menyentuh hati apabila kita menelusurinya secara cermat. [Hak cipta Atsar Enterprise, www.atsar.ilmusunnah.com. Tidak dibenarkan membuat salinan tanpa kebenaran]