Judul: Shahih Tafsir Ibnu Katsir Juz 'Amma | Judul Asal ('Arab): Tafsir Juz 'Amma min al-Mishbahul Munir fii Tahdziib Tafsir Ibni Katsiir | Penulis: Syaikh Syafiyurrahman Al-Mubarakfuri rahimahullah | Penerbit: Pustaka Ibnu Katsir | Berat: 800g | Muka Surat: 344m/s. (Hard cover)
Surah-surah dalam Juz 'Amma atau Juz yang ke 30 dari al-Qur'an al-Karim adalah termasuk rangkaian surah-surah yang sering dan banyak sekali dibaca dan dihafal oleh umat Islam secara umum. Mereka menjadikannya sebagai dzikir dan bacaan dalam solat-solat mereka. Malah ia juga termasuk surah-surah yang mula-mula dan mudah dipelajari bagi anak-anak kecil.
Atas alasan ini, disebabkan keakraban dan kedekatan masyarakat terhadapnya (surah-surah dalam rangkaian Juz ke-30), maka buku ini pun diterbitkan. Ia dikeluarkan dari satu siri kitab tebal berjudul "al-Mishbahul Munir fii Tahdziib Tafsir Ibni Katsiir" yang merupakan antara siri Tafsir Ibnu Katsir yang menjadi rujukan para ilmuan dan penuntut ilmu. Ini antaranya adalah bagi tujuan supaya masyarakat tidak hanya sekadar menghafal dan membaca surah-surahnya, tetapi juga turut sama memahami makna-makna, keutamaan, kandungan, maksud, dan tafsiran bagi ayat-ayat yang terkandung dalam rangkaian surah-surah Juz 'Amma tersebut.
Juz 'Amma merupakan juz atau bahagian al-Qur'an yang mengandungi jumlah surah paling banyak berbanding juz-juz yang lainnya. Ia mengandungi sebanyak 37 surah. Dimulakan dengan Surah an-Naba' dan diakhiri dengan Surah an-Naas. Sebahagian besar darinya iaitu sejumlah 34 surah adalah termasuk surah Makkiyah, iaitu surah-surah yang diturunkan ketika dakwah fasa Makkah (sebelum Rasulullah berhijrah ke Madinah). Manakala tiga surah lainnya iaitu al-Bayyinah, az-Zalzalah, dan an-Nashr adalah termasuk Surah Madaniyah, iaitu surah-surah yang diturunkan selepas fasa hijrah Nabi.
Termasuk ciri istimewa dan kelebihan surah-surah dalam rangkaian Juz 'Amma ini adalah surahnya yang pendek-pendek, tidak panjang, kalimatnya yang indah dan menyentuh, gaya bahasa yang cukup unik, dan memiliki hujah argumentasi yang kuat khasnya terhadap orang-orang kafir. Kandungannya banyak mengingatkan tentang kebesaran Allah Subhanahu wa Ta'ala, kehidupan akhirat, berita-berita masa depan, azab neraka, pertemuan dengan Allah, peristiwa hari kiamat, hari pembalasan, dan tentang kehidupan akhirat.
Kata Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam: "Sesiapa yang mahu melihat hari Kiamat seolah-olah terbentang di hadapan matanya, maka bacalah Surah at-Takwiir, Surah al-Infithaar, dan Surah al-Insyiqaaq." (Musnad Ahmad, no. 4805. At-Tirmidzi, no. 3333)
Bahkan banyak sekali nama-nama surah-surahnya menggambarkan perkara tersebut seperti An-Naba' (berita gempar), An-Naazi'aat (Malaikat-malaikat yang Mencabut), Al-Ghaasyiyah (Hari Pembalasan), Az-Zalzalah (Kegoncangan), Al-Qari'ah (Hari Kiamat)...
Selain itu, surah-surah dalam rangkaian ini juga ada surah yang dijadikan sebagai dzikir yang begitu agung. Iaitulah surah al-Ikhlas, al-Falaq, dan an-Naas. Dan disebutkan dalam Shahih al-Bukhari bahawa surah al-Ikhlas itu seperti 1/3 al-Qur'an yang mana di dalamnya mencakupi aspek tauhid yang agung tentang Rububiyyah, Uluhiyah, dan al-Asma' wa Shifat. Selain itu, surah ini juga dijadikan sebagai dzikir perlindungan dari gangguan Syaitan yang mengganggu selain sebagai dzikir ruqyah merawat orang sakit. [Hak cipta Atsar Enterprise, www.atsar.ilmusunnah.com. Tidak dibenarkan membuat salinan tanpa kebenaran]
Kemudian, di dalamnya juga terdapat sebuah surah yang dinyatakan sebagai ayat-ayat awalnya termasuk ayat-ayat al-Qur'an yang mula-mula dan pertama-tama sekali diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wa Sallam. Kemudian di dalamnya mengandungi surah al-Qadr, iaitu suatu surah yang mengkhabarkan tentang keagungan sebuah malam yang memiliki kemuliaan lebih dari 1000 bulan.
Selain dari apa yang disebutkan ini, masih banyak lagi keutamaan-keutamaan dan maklumat-maklumat penting yang terkandung dalam barisan rangkaian surah-surah Juz 'Amma ini. Dan ini boleh dilihat sendiri antaranya sebagaimana dinyatakan dalam kitab-kitab tafsir. Dan di antaranya adalah tafsir Ibnu Katsir ini. Dari itu, tidak pernah terfikirkah kita untuk memahami dan mentadabburinya dengan lebih mendalam dan menggali lebih banyak manfaat lagi dari ayat-ayat Allah tersebut? Amat rugilah bagi sesiapa yang mengabaikannya begitu sahaja.
Oleh itu, tetapkanlah tekad, kuatkanlah semangat, dan berusahalah bersungguh-sungguh untuk memahami ayat-ayat Allah. Jika tidak mampu semua, maka mulakanlah dengan sedikit demi sedikit dan yang mudah, antaranya dari surah-surah yang pendek ini yang terdapat dalam rangkaian juz al-Qur'an yang ke-30 ini (Juz 'Amma). Memang ilmu itu diraih sedikit demi sedikit. Tidak akan ada yang banyak melainkan semuanya bermula dengan sedikit. Apatah lagi, usaha itu adalah usaha yang mulia, iaitu usaha memahami ilmu-ilmu Allah. Ilmu yang bakal membuka jalan kita menuju Allah, menuju kebahagian di akhir sana.
Lain-lain ciri Edisi Tafsir Ini:
1, Dilengkapi dengan Mukaddimah al-Hafiz Ibnu Katsir dalam Tafsir Ibnu Katsir. Yang di dalamnya terdapat penjelasan tentang methode pengambil riwayat-riwayat Isra'iliyat, hukum menafsirkan al-Qur'an dengan semata-mata akal dan meninggalkan kefahaman para sahabat nabi, penjelasan tentang bentuk-bentuk tafsir, penjelasan tentang surah Makkiyah dan Madaniyah, kedudukan tafsir salaf, asas-asas ushulut tafsir, pembahagian al-Qur'an, dan beberapa yang lainnya.
2, Setiap hadis, atsar, dan nukilan kata dari sumber-sumber salaf disebutkan rujukannya pada nota kaki.
3, Setiap huraian dan tafsiran ayat diberikan tajuk yang memudahkan kefahaman para pembaca.