Beliaulah pahlawan, beliaulah ‘alim, beliaulah khalifah, beliau juga panglima! Beliau adalah Mu’awiyah B. Abu Sufyan B. Umayyah B. ‘Abdi Syams B. ‘Abdi Manaf, B. Qushay B. Kilab. Beliau Amirul Mukminin, raja bagi kerajaan Islam di zaman Sahabat.
Ketika beliau masih kecil pernah ketika berjalan-jalan bersama-sama ibunya, Hindun Binti ‘Uqbah; beliau tiba-tiba terjatuh. Maka ibunya berkata kepadanya:
“Berdirilah, semoga Allah tidak mengangkat engkau.”
Dalam waktu itu ada seorang lelaki Badwi melihat mereka, maka beliau pun mengatakan:
“Kenapa engkau berkata begitu kepada anakmu? Demi Allah, dalam pandanganku beliau ini akan menjadi pemimpin kaumnya.” Hindun pun berkata:
“Semoga Allah tidak mengangkatnya seandainya dia hanya memimpin kaumnya.” (Siyar A’lam an-Nubala’, 3/121)
Mu’awiyah masuk Islam lebih awal berbanding ayahnya secara rahsia (tanpa pengetahuan keluarganya). Sebaik beliau mengumumkan keislamannya secara terang-terangan, beliau pun menyertai Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam untuk mendalami Islam secara langsung. Beliau juga diangkat sebagai jurutulis Rasulullah yang menulis wahyu al-Qur’an dan hadis.
Beliau amat mencintai Rasulullah dan Rasulullah pun saling mencintainya. Lalu pada suatu ketika, Rasulullah pun berdoa untuknya:
“Ya Allah, jadikanlah dia (Mu’awiyah) pemberi petunjuk yang diberi petunjuk, bimbinglah dia, dan bimbinglah manusia dengannya.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 3842)
Inilah di antara kemuliaan sahabat bernama Mu’awiyah, beliau mendapat doa khusus daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri. Beliau juga turut dimuliakan sebagai penulis wahyu dan pembawa hadis-hadis Nabi.
Nabi pernah bersabda:
“Ya Allah, ajarkanlah Mu’awiyah menulis dan dan hisab serta lindungilah dia dari azab.” (Musnad Ahmad, no. 17152. Dinilai hasan oleh Syu’aib al-Arnauth)
Dan Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma mengatakan:
“Mu’awiyah adalah jurutulis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Siyar A’lam an-Nubala’, 3/123)
Banyak indikasi dan isyarat daripada Nabi sendiri yang menunjukkan bahawa beliau (Mu’awiyah) akan menjadi pemimpin umat Islam memimpin masyarakat. Akhirnya apa yang diisyaratkan Nabi tersebut pun menjadi kenyataan. Beliau mula diangkat sebagai gabernor (wakil khalifah) di Syam oleh ‘Umar al-Khaththab dan kemudian diteruskan oleh ‘Utsman. [Hak cipta Atsar Enterprise, www.atsar.ilmusunnah.com. Tidak dibenarkan membuat salinan tanpa kebenaran]
Imam adz-Dzahabi rahimahullah (Wafat: 748H) berkata:
“Cukuplah bagimu sebagai bukti (akan keutamaan Mu’awiyah). Seorang yang diangkat oleh ‘Umar sebagai gabernor di suatu wilayah, kemudian diteruskan pula oleh ‘Utsman. Wilayah yang dipimpinnya adalah wilayah sempadan. Lalu beliau mentadbirnya dengan baik dan menunaikan tugasannya dengan sangat baik. Beliau membuatkan rakyat redha dengan kemurahannya dan kebijaksanaannya, walaupun ada sebahagian dari mereka kadang-kadang sedikit kecewa.
Demikianlah sepatutnya seorang raja. Walaupun di antara sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam lainnya ada yang jauh lebih baik, lebih utama, dan lebih mulia, tetapi beliau (Mu’awiyah) telah memimpin, memegang dunia dengan akalnya yang sempurna, kebijaksanaan yang tinggi, jiwa yang lapang, kecerdikan yang hebat, dan strategi yang jitu. Beliau memiliki beberapa perkara yang mungkin menjadikannya dikritik, dan kepada Allah-lah tempat kembali segalanya.
Mu’awiyah adalah seorang raja yang dicintai oleh rakyatnya. Beliau menjadi gabernor Syam selama 20 tahun dan manjadi khalifah juga selama 20 tahun. Tidak seorang pun yang menggugat kekuasaan beliau, sebaliknya seluruh umat Islam tunduk kepadanya. Beliau berkuasa ke atas orang-orang ‘Arab dan orang-orang ‘ajam (non-‘arab). Beliau menguasai dua tanah haram (Makkah dan Madinah), Mesir, Syam, ‘Iraq, Khurasan, Parsi, jazirah ‘Arab, Yaman, Maghribi, dan selainnya.” (Siyar A’lam an-Nubala’, 3/133)
Tidaklah yang mengetahui kehebatan dan tingginya kedudukan seorang yang mulia melainkan orang yang mulia juga. Abu ad-Darda’ radhiyallahu ‘anhu mengatakan:
“Aku tidak melihat seorang yang solatnya paling mirip dengan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berbanding pemimpin kalian ini (iaitu Mu’awiyah).” (Siyar A’lam an-Nubala’, 3/135)
‘Ali B. Abi Thalib radhiyallahu ‘anhu mengatakan:
“Janganlah membenci kepimpinan Mu’awiyah kerana sekiranya kalian kehilangan beliau, nescaya kalian akan melihat kepala-kepala manusia berguguran dari lehernya.” (Taariikh al-Islaam, 2/378)
Seorang tokoh ulama generasi tabi’in terkenal; iaitu Imam ‘Abdullah B. Al-Mubarak rahimahullah (Wafat: 181H). Beiau pernah ditanya:
“Apa pendapat engkau tentang Mu’awiyah dan ‘Umar B. ‘Abdul ‘Aziz, siapakah di antara mereka yang lebih utama?”
Mendengar soalan tersebut, ‘Abdullah B. al-Mubarak pun naik marah lalu berkata:
“Engkau bertanyakan beza keutamaan di antara mereka berdua? Demi Allah! Debu yang masuk ke dalam lubang hidung Mu’awiyah kerana berjihad bersama-sama Rasulullah (Shallallahu ‘alaihi wa Sallam) itu sahaja pun jauh lebih mulia dari ‘Umar B. ‘Abdul Aziz.” (Ibnu Katsir, al-Bidayah Wa an-Nihayah, 11/449)
Kemudian Ibnu Katsir turut mengemukakan bahawa ‘Umar B. ‘Abdul ‘Aziz rahimahullah ketika beliau memerintah, beliau akan mengenakan hukum sebat ke atas sesiapa yang mencaci Mu’wiyah!
Bahkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah bersabda:
“Pasukan pertama dari kalangan umatku yang berperang mengharungi lautan, maka wajib baginya (keampunan).” (Shahih al-Bukhari, no. 2924)
Dan pasukan pertama yang berperang di lautan dengan segala kelengkapannya adalah pasukan milik Mu’awiyah dengan dipanglimakan oleh anak beliau, Yazid B. Mu’awiyah!
‘Abdullah B. ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma pernah berkata:
“Belum pernah aku menemui orang yang paling ahli dalam mengurus pemerintahan selain Mu’awiyah radhiyallahu ‘anhu.” (Al-Bukhari, Taariikh al-Kabiir, 7/327. ‘Abddurrazzaq, al-Mushannaf, no. 20985)
Demikian sebahagian keutamaan sahabat Nabi bernama Mu’awiyah B. Abu Sufyan radhiyallahu ‘anhuma. Keutamaan dan kemuliaannya diakui oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, para sahabat lainnya, dan para ulama ahli sunnah wal-jama’ah sepanjang zaman.
Namun sangat disayangkan, apa yang sampai kepada kita pada hari ini banyak khabar-khabar dan cerita-cerita dusta tentang beliau. Banyak khabar-khabar yang memburuk-burukkan beliau. Ada yang menggelarkan beliau sebagai diktator, perampas, pemberontak, bughah, zalim, kronisme, musuh Allah, pengkhianat, dan seumpamanya.
Ini antaranya sebagaimana yang diungkapkan sendiri oleh tokoh Syi’ah zaman ini iaitu Khomeini (semoga Allah membalasnya dengan seburuk-buruk balasan):
“Dan demikianlah kerajaan Islam yang adil, maka ia tidak sama dengan kerajaan-kerajaan yang mencabut keamanan rakyat dan menjadikan mereka takut berada dalam rumah mereka sendiri dari serangan pegawai-pegawai kerajaan seperti kerajaan Mu’awiyah dan yang seumpamanya dari kerajaan-kerajaan yang menghilangkan keamanan rakyat.” (Khomeini, al-Hukumah al-Islamiyah, m/s. 60)
Walhal hakikatnya, ahli sunnah wal-jama’ah berlepas diri dari semua tohmahan-tohmahan tersebut. Sebaliknya kisah-kisah yang memburuk-burukkan Mu’awiyah tersebut kebanyakannya datang dari kelompok khawarij dan Syi’ah. Akibat kejahilan dan jauh dari ilmu yang benar, banyak dari kalangan masyarakat hari ini pun termakan tipu daya dan fitnah-fitnah yang dilemparkan ke atas Mu’awiyah tersebut secara khusus serta ke atas para sahabat Nabi yang lainnya secara umumnya juga.
Sedangkan tentang keadilan dan sikap amanah para sahabat terhadap agama ini telah diperakui oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Bahkan Allah telah menjamin tempat mereka di Syurga. Ini jelas dapat dilihat sebagaimana terpahat kukuh dalam al-Qur’an, Allah Ta’ala berfirman (maksudnya):
“Orang-orang yang terdahulu lagi yang paling awal masuk Islam (generasi sahabat) dari golongan Muhajirin dan Anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka Syurga yang ada sungai-sungai mengalir. Mereka kekal abadi di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar.” (Surah at-Taubah, 9: 100)
Bahkan seluruh ulama ahli sunnah wal-jama’ah sepakat tentang keutamaan dan wajibnya mencintai para sahabat Nabi ridhwanullah ‘alaihim ajma’in. Merekalah sahabat Nabi, murid Nabi, yang belajar langsung kepada Nabi, beriman seperti Nabi, berjuang dan berjihad bersama-sama Nabi, mendapat pengiktirafan Nabi, dan yang telah menyebarkan agama Islam ini sehingga sampai kepada kita hari ini.
Maka dari itulah, para ulama ahli sunnah wal-jama’ah yang antaranya Imam Abu Bakr al-Humaidi rahimahullah (Wafat: 219H), beliau menegaskan prinsip dalam hal ini dengan katanya:
“Termasuk prinsip ‘aqidah ahli sunnah wal-jama’ah adalah mendoakan rahmat ke atas seluruh sahabat Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kerana sesungguhnya Allah berfirman:
“Dan orang-orang yang datang setelah mereka (Muhajirin dan Anshar) mereka berdoa, “Wahai Tuhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami. Dan janganlah Engkau jadikan ada dengki dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Maha Lemah-lembut lagi maha Penyayang.” (Surah al-Hasyr, 59: 10)
Kita tidaklah diperintahkan melainkan dengan memintakan ampun untuk mereka. Dengan itu, sesiapa yang mencela dan menghina mereka atau salah seorang daripada mereka, maka dia sebenarnya tidak berada di atas sunnah...” (al-Humaidi, Ushulus Sunnah, no. 3. Fawwaz Ahmad Zamarli, ‘Aqaa’id A’immatis Salaf, m/s. 153-154 – Daar al-Kitab al-‘Arabi, Cet. 1, Beirut)
Demikian juga yang diikrarkan oleh para imam yang lain termasuk imam Abu Ja’far ath-Thahawi rahimahullah (Wafat: 321H):
“Ahli Sunnah wal-Jama’ah membenci orang-orang yang membenci para sahabat Nabi dan orang-orang yang memanggil para sahabat Nabi dengan perkataan yang buruk, dan kita tidak memanggil para sahabat Nabi melainkan dengan perkataan yang baik. Mencintai mereka adalah sebahagian dari agama, keimanan, dan ihsan. Manakala membenci mereka adalah sebahagian dari kekufuran, kemunafikan, dan kezaliman.” (Ibnu Abil ‘Izz, Syarah al-‘Aqidah ath-Thahawiyah, m/s. 689 – Mu’assasah ar-Risalah)
Ini bersesuaian sekali dengan peringatan yang disampaikan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
“Janganlah kamu mencela seorang pun dari kalangan sahabatku. Kerana sesungguhnya sekiranya salah seorang di antara kamu menginfaqkan emas sebesar Gunung Uhud sekalipun nescaya ia tidak akan dapat menyamai dengan satu mud yang diinfaqkan oleh para sahabatku, bahkan setengahnya pun tidak akan sama.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 3673. Muslim, Bab: Larangan Mencela Para Sahabat, no. 2541)
Seandainya berlaku beberapa perkara buruk di antara mereka, maka menjadi kewajiban kita untuk mendoakan keampunan buat mereka, dan urusan tersebut kita serahkan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Imam adz-Dzahabi rahimahullah ketika mengulas fitnah yang berlaku di antara ‘Ali dengan Mu’awiyah radhiyallahu ‘anhuma sehingga tercetusnya perang Shiffin, beliau berkata:
“Jalan kami adalah menahan diri dan memohonkan keampunan untuk mereka (para sahabat) kepada Allah. Kami tidak menyukai perselisihan di antara mereka dan kami berlindung kepada Allah darinya serta kami mencintai Amiirul Mukminiin ‘Ali.” (Siyar A’lam an-Nubala’, 3/29)
Adapun tentang Mu’awiyah dalam isu pertelingkahan dengan ‘Ali, maka adz-Dzahabi mengatakan:
“Beliau termasuk raja terbaik di mana keadilan di masa beliau mendominasi kezaliman di masa tersebut sekalipun beliau tidak selamat dari hal-hal yang mengundang kritikan dan semoga Allah mengampuninya.” (Siyar A’lam an-Nubala’, 3/159)
Maka, inilah yang dibahaskan oleh buku ini. Penulis berusaha menjelaskan situasi dan keadaan sebenar yang berlaku di zaman pentadbiran Mu’awiyah radhiyallahu ‘anhu bermula dari fasa-fasa beliau sebagai gabernor di zaman ‘Umar, ‘Utsman dan sehinggalah menjawat jawatan khalifah Islam yang merupakan pemerintahan beraja setelah kewafatan Rasulullah.
Sebagaimana kata Imam Ibnu Abi al-‘Izz al-Hanafi rahimahullah dalam Syarah ath-Thahawiyah:
“Mu’awiyah adalah raja kaum Muslimin yang pertama dan beliau adalah raja kaum Muslimin yang terbaik!”
Buku ini membentangkan betapa berkembang suburnya Islam di bawah pemerintahan beliau. Buku ini turut mengemukakan analisa yang mengangumkan tentang sikap Mu’awiyah dalam menghadapi badai fitnah di zaman sahabat serta ketika beliau menjawat jawatan khalifah Islam. Penulis mengupas analisa tentang fitnah-fitnah yang melibatkan beliau secara langsung dan tidak langsung. Antaranya berkaitan fitnah yang berlaku antara beliau dengan ‘Ali radhiyallahu ‘anhu, fitnah beliau dengan al-Hasan B. ‘Ali, fitnah tentang isu tahkim, fitnah perang Shiffin, dan beberapa yang lain. Kenapa dan bagaimana ia boleh berlaku, apa puncanya, siapa batu apinya, kesannya, dan bagaimana kesudahannya. Dan apa pula sikap ahli sunnah wal-jama’ah terhadap peristiwa tersebut.
Antara lain, buku ini turut mengemukakan corak pemerintahan dan kebijaksanaan pentadbiran yang dilaksanakan oleh beliau, strategi peperangan yang disusun beliau, wilayah dan jajahan takluk yang berjaya dikuasai oleh kaum Muslimin di bawah pentadbiran beliau, dan banyak lagi.
Buku ini juga turut menjelaskan banyaknya pujian ulama ke atas beliau dan pemerintahannya, sehingga menjadikan harumnya nama beliau di mata ahli sunnah wal-jama’ah serta orang-orang yang cintakan kebenaran.
Penulis juga turut menjelaskan kisah yang menjadi sejarah besar yang menyatukan umat Islam di zaman tersebut. Iaitu peristiwa perpaduan umat Islam ketika al-Hasan B. ‘Ali radhiyallahu ‘anhuma menyerahkan tampuk kuasa kepada Mu’awiyah sehingga umat Islam seluruhnya bersatu di bawah satu pemerintahan yang kuat.
Penulis juga turut menjelaskan karektor peribadi Mu’awiyah, faqihnya beliau, sikap pemaaf beliau, kebijaksanaan beliau, dan seumpamanya. Kemudian penulis jelaskan pula sikap beliau dalam berpolitik dan menguruskan negara serta para kaki tangan di bawahnya.
Kemudian penulis jelaskan pula tentang peluasan kuasa di zaman Mu’awiyah, peperangan dan jihad di zaman beliau, serta pembangunan ilmu dan material di zaman beliau. [Disediakan oleh Atsar Enterprise, www.atsar.ilmusunnah.com. Tidak dibenarkan membuat salinan tanpa kebenaran]
Selain itu, antara yang menjadi perbahasan penting dalam buku ini juga adalah sekitar isu fitnah al-Harrah iaitu pertembungan yang berlaku di zaman pemerintahan setelah Mu’awiyah. Iaitu pertembungan yang berlaku di antara ‘Abdullah B. Az-Zubair dengan anak Mu’awiyah, Yazid B. Mu’awiyah.
Selain itu, penulis bentangkan sama kisah yang penuh tragis tentang pembunuhan al-Husain yang terjadi di zaman pemerintahan Yazid B. Mu’awiyah. Apa kisah yang sebenarnya. Benarkah Yazid dalang utama pembunuhan cucu kesayangan Rasulullah tersebut? Atau siapa sebenarnya.
Maka, buku ini mengupas secara tuntas tentang keutamaan salah seorang sahabat Nabi bernama Mu’awiyah B. Abu Sufyan, dari latar kehidupan beliau di zaman Nabi, kemudian ketika beliau menjawat jawatan sebagai gabernor, kemudian sebagai khalifah dalam sistem beraja pertama dalam dunia Islam, sehinggalah ke zaman-zaman awal pemerintahan bani Umayyah di era pemerintahan putera beliau, Yazid.
Yang pastinya, ia sudah tentu sebuah kisah sejarah yang tidak harus dipandang remeh. Terutamanya untuk mereka yang cintakan kebenaran dan tokoh-tokohnya.