Judul: Zuhud karya Imam Ibnul Mubarak | Judul Asal ('Arab): Az-Zuhd | Tahqiq & Komentar: Dr. Ahmad Farid | Penulis: Imam 'Abdullah Ibnul Mubarak rahimahullah (Wafat: 181H) | Penerbit: Pustaka Azzam | Berat: 3.4kg | Muka Surat: 3 Jilid lengkap. [Hak cipta Atsar Enterprise, www.atsar.ilmusunnah.com]
Zuhud adalah menundukkan kecintaan hati terhadap dunia di bawah kecintaan terhadap akhirat. Seorang muslim yang zuhud tidak akan menjadikan dunia sebagai tujuan hidupnya, tetapi hanya mencukupkannya sekadar sebagai tempat persinggahan sementara.
Imam ‘Abdullah B. Al-Mubarak rahimahullah, salah seorang tokoh ulama dan pejuang di medan perang yang terkenal di zamannya, yang juga merupakan seorang tokoh zuhud terkemuka, beliau menyusun sebuah karya hebat dengan judul Az-Zuhd. Ia merupakan sebuah karya yang menjelaskan hakikat zuhud melalui bentangan dan penjabaran hadis-hadis nabawi dan atsar-atsar para sahabat.
Di antara tujuannya adalah memberi kesedaran terhadap masyarakat agar berhati-hati terhadap penyakit cintakan dunia sehingga terlena tidak bangun-bangun, yang akhirnya mengakibatkan terlupa terhadap tujuan sebuah kehidupan, iaitu akhirat.
Imam Sufyan ats-Tsauri rahimahullah mengatakan, “Zuhud terhadap dunia adalah tidak berangan-angan terlalu panjang, tidak memakan yang kasar, dan tidak pula memakai pakaian kemegahan.”
Allah Subhanahu wa Ta’ala ada berfirman yang maksudnya:
(Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu tidak berduka-cita terhadap apa yang luput dari kamu dan supaya kamu tidak terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepada kamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.” (Surah al-Hadid, 57: 23)
Maka, orang yang zuhud itu mereka tidak akan pernah bahagia dengan sesuatu yang ada di dunia ini melainkan jika digunakan untuk manfaat akhirat. Mereka menjadikan dunia ibarat tempat persinggahan. Setiap nikmat dan ujian yang mereka hadapi, semuanya demi mendapatkan bekalan dan kebaikan di akhirat sana. Oleh itu, dunia adalah tempat untuk beramal, manakala akhirat adalah tempat menuai hasilnya. Maka, mereka pun tidak tertipu dengan keindahan dunia sebagaimana manusia yang sering menjadikan dunia sebagai tujuannya.
Setiap orang mampu berlaku zuhud, baik yang kaya mahupun yang tidak kaya. Asalkan dia tahu bagaimana memanfaatkan apa yang ada di sisinya demi beramal dan meraih tempat di sisi Allah.
Imam al-Fudha’il rahimahullah pernah berkata, “Asal dasar zuhud adalah redha terhadap ketentuan Allah Subhanahu wa Ta’ala.”
Beliau juga turut mengatakan, “Orang yang sentiasa merasa cukup adalah orang yang zuhud dan dia merupakan orang yang kaya.”
Syaikh ul-Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah berkata, “Zuhud adalah meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat untuk kehidupan akhirat. Manakala wara’ pula adalah engkau meninggalkan apa yang engkau bimbangkan mudharatnya untuk kehidupan akhirat.”
Ibn ul-Qayyim rahimahullah berkata, “Yang disepakati oleh orang-orang yang arif (berilmu) bahawa zuhud itu adalah perjalanan hati dari negeri dunia dan menjadikannya di tempat-tempat akhirat. Berdasarkan keadaan inilah para ulama terdahulu menyusun beberapa karya berkaitan zuhud. Contohnya seperti kitab az-Zuhdu karya ‘Abdullah B. Al-Mubarak, az-Zuhdu karya Imam Ahmad B. Hanbal, az-Zuhdu karya Waki’, az-Zuhdu karya Hannad B. As-Sari, dan az-Zuhdu karya imam-imam lainnya. Muta’alliq-nya ada enam, seorang hamba tidak berhak menyandang nama zuhud sehinggalah dia zuhud di dalam enam perkara tersebut, iaitu harta, rupa paras, kepimpinan (kekuasaan), jiwa, dan semua hal selain Allah.”
Tetapi harus difahami baik-baik, zuhud bukanlah bermakna menolak kekuasaan (kuasa pemerintahan). Bukankah Nabi Sulaiman dan Nabi Daud ‘Alaihimusssalam adalah orang yang paling kaya, dan dalam masa yang sama juga mereka adalah tokoh paling zuhud dari kalangan manusia yang hidup di zamannya? Keduanya memiliki harta, kekuasaan, dan isteri-isteri.
Bahkan Imam ‘Abdullah B. Al-Mubarak rahimahullah yang mengarang kitab az-Zuhd ini sendiri adalah adalah salah seorang tokoh ulama yang zuhud sekalipun hartanya banyak. [Hak cipta Atsar Enterprise, www.atsar.ilmusunnah.com. Tidak dibenarkan membuat salinan tanpa kebenaran]
Demikian pula, Imam Al-Laits B. Sa’ad rahimahullah, beliau adalah salah seorang dari kalangan imam-imam yang zuhud dan menguasai kekayaan.
Oleh itu, zuhud itu hakikatnya bukanlah apa yang diambil dari kisah-kisah khurafat dan takhayul para Sufi dan tokoh-tokoh tasawuf sesat. Mereka bukanlah teladan yang baik dan benar dalam hal ini mahupun hal-hal yang lainnya. Cukuplah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam sebagai contoh terbaik dalam hal zuhud ini, kerana memang kepada beliaulah seharusnya kita berpedoman dalam segala hal.
Maka, ambillah contoh-contoh zuhud daripada beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersama-sama sahabat beliau ridhwanullah ‘alaihim ajma’in. Ini sebagaimana riwayat-riwayat sahih yang terdapat dalam karya-karya yang dibukukan oleh tokoh-tokoh ulama hadis yang kompenten lagi terpercaya.
Di antara kitab-kitab yang sudah dicetak dan merupakan karya hebat yang tidak asing lagi berkaitan hal ini adalah karya Syaikh ul-Islam ‘Abdullah B. Al-Mubarak Al-Marwazi (Wafat: 181H) ini.
Kitab Az-Zuhdu karya Ibn ul-Mubarak ini ada dua riwayat iaitu dari riwayat al-Marwazi dan dari Nu’aim B. Hammad. Syaikh Habiburrahman al-A’zhami mentahqiq teks/manuskrip riwayat al-Marwazi dan di dalamnya terdapat tambahan-tambahan Yahya B. Sha’id dan al-Marwazi bukan dari jalan Ibnul Mubarak. Jumlah hadis-hadis marfu’, mauquf, dan atsar-atsar sahabat di dalamnya mencapai jumlah 1627.
Kemudian beliau menyebutkan beberapa hadis dan atsar lagi dari riwayat Nua’im B. Hammad, sehingga jumlah hadis-hadis marfu’ dan atsar-atsarnya ada 436 lagi.
Maka, inilah edisi terjemahan dari kitab Zuhud karya Imam Abdullah B. Al-Mubarak (Wafat: 181 H) tersebut. Ia adalah hasil tahqiq dan ta’liq oleh Syaikh Dr Ahmad farid. InsyaAllah semoga karya ini mampu memberikan ilmu dan manfaat yang besar kepada kaum muslimin. Semoga kaum muslimin mampu memahami hakikat zuhud yang benar dan sahih, iaitu sebagaiamana Zuhudnya yang diajarkan dan diamalkan Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam dan para Sahabat beliau Radhiyallahu ‘anhum, kemudian para Tabi’in, kemudian para tabiut Tabi’in, serta para Imam dan ulama Ahli Sunnah rahimahumullah yang mengikuti jejak-jejak mereka dengan baik.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya): “Sesiapa yang menghendaki (mengejar) kehidupan dunia dan perhiasan-nya, nescaya Kami berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna dan mereka di dunia itu tidak akan dirugikan. Itulah orang-orang yang tidak memperolehi akhirat, kecuali neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yang telah mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang telah mereka usahakan.” (Surah Huud, 11: 15)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
“Sesiapa yang akhirat menjadi tujuan utamanya maka Allah akan memberikan kekayaan di hatinya, menyatukan urusannya, dan dunia datang kepadanya dalam keadaan tunduk kepadanya. Sesiapa yang dunia menjadi tujuan serta fokus utamanya, maka Allah akan memberikan kefaqiran di antara kedua matanya (di hadapannya), memecah-belahkan urusannya, dan dunia tidak datang kepadanya kecuali apa yang telah ditentukan untuknya.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 5283)
Maka dengan itu, semaklah bagaimana seharusnya kita bersikap terhadap dunia dan segala bentuk keindahan yang terdapat di dalamnya. Bagaimana dan apa sebenarnya yang dimaksudkan sebagai zuhud itu. Bagaimana pula para salaf, iaitu ulama generasi awal mengamalkan sikap zuhud ini. Sama-sama kita ikuti dan telusuri erti hakikat zuhud tersebut melalui karya besar susunan Imam Ibn ul-Mubarak rahimahullah (Wafat: 181H) ini. Semoga kita beroleh manfaat.