Kitab Fathul Bari ini adalah sebuah kitab yang sangat terkenal dalam dunia Islam umumnya, dan khasnya dalam mazhab Ahli Sunnah wal-Jama'ah. Pengarangnya, seorang al-Hafiz yang bermazhab asy-Syafi'i. Iaitu al-Hafiz Ahmad B. 'Ali Ibnu Hajar al-Asqalani. Kitab ini membentangkan khazanah ilmu yang merungkai perbahasan berkaitan hadis-hadis yang terhimpun dalam Shahih al-Bukhari.
Kitab Fathul Bari ini merupakan sebuah kitab besar yang mensyarahkan (menghuraikan) hadis-hadis dalam kitab Shahih al-Bukhari. Kini kitab ini telah pun mula diterjemahkan di bawah seliaan Pustaka Imam asy-Syafi'i jilid demi jilid dan bab demi bab secara berperingkat. Kitab ini adalah di antara deretan kitab-kitab besar yang memiliki keutamaannya tersendiri yang menjadi rujukan para ulama, penuntut ilmu, dan para umat Islam secara umum sehingga ke hari ini. Ia menghuraikan pelbagai ushul-ushul penting dalam Islam sehingga ke cabang-cabangnya dengan mengikuti tema-tema perbahasan hadis yang dibukukan oleh Imam Al-Bukhari rahimahullah (Wafat: 256H). Perbahasannya mencakupi aspek aqidah, iman, wahyu, ilmu, thaharah, wudhu', tayamum, solat, adzan, waktu-waktu solat, solat, solat-solat sunnah, solat jama'ah, masjid, pengurusan jenazah, haji, umrah, zakat, puasa, jihad, jual beli, wasiat, mu'amalah, jihad, adab, tazkiyatun nufus, perbezaan pendapat, perpecahan umat, peperangan, musafir, fitnah-fitnah akhir zaman, politik, pemerintahan, keutamaan para sahabat, ahkam, pakaian, makanan dan minuman, sembelihan, korban, 'aqiqah, dan banyak lagi. Malah dijangkakan siap diterjemahkan menjadi 60 jilid lengkap semuanya secara utuh. [Hak cipta Atsar Enterprise, www.atsar.ilmusunnah.com. Tidak dibenarkan membuat salinan tanpa kebenaran]
Ciri istimewa terjemahan Pustaka Imam asy-Syafi'i ini adalah ia menterjemahkan keseluruhan kandungan dari kitab asal-nya satu persatu.
Semoga dengan terbitnya terjemahan kitab ini, ia akan membantu kita semua untuk memahami hadis-hadis Nabi yang mulia dengan lebih baik lagi terutamanya yang terdapat di dalam Kitab Shahih al-Bukhari, selaku kitab penting lagi utama dalam Islam. Apatah lagi bila ia menyandang gelaran kitab paling sahih di muka bumi ini setelah Al-Qur'an al-Kariim. Perbahasan, huraian, dan tafsiran-tafsiran hadis di dalamnya dibentangkan dengan methode ahli sunnah wal-jama'ah, fatwa-fatwa para sahabat, tabi'in, dan para salaf lainnya termasuk para pembesar mazhab secara umum dan khusus. Amatlah rugi apabila kita sendiri tidak mengambil inisiatif untuk menela'ah dan memahaminya. Di dalamnyalah terkandung pelbagai perbahasan aspek-aspek utama agama Islam ini. (InsyaAllah).
Bagi terjemahan jilid 13 ini, ia memuatkan perbahasan dan huraian penting hadis-hadis bagi bab sedekah dan zakat.