Perjalanan hidup Rasulullah Shallallahu Alaihi wa Sallam (Sirah Nabawiyah) umpama samudera luas yang penuh dengan jutaan hikmah, pelajaran, dan nasihat tentang nilai-nilai kehidupan sama ada berkaitan persoalan akidah, ibadah, akhlak, mahu pun muamalah. Biografi dan sejarah kehidupan Rasulullah begitu penting untuk diketahui malah untuk diselami dan dihayati oleh setiap muslim, kerana keteladanan yang utuh dari sumber wahyu. Dan ini semua tidak dapat tidak, hanya dapat dipelajari dan diketahui dengan cara meneliti sejarah kehidupan beliau secara utuh juga yang terangkum melalui “Sirah Nabawiyah”.
Buku Sirah Nabawiyah yang ditulis oleh Prof. Dr. Zaid Abdul Karim Az-Zaid ini membentangkan sebuah rentetan perjalanan hidup Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dari mula belum diangkat sebagai Nabi sehinggalah kepada detik-detik kewafatan beliau. Dan terdapat satu keunggulan, keistimewaan serta sistematika pembentangan buku ini, iaitu penulis sentiasa menutup setiap perbahasan tajuk-tajuknya dengan intisari, pelajaran, dan hikmah, faedah, dan nilai-nilai fiqh sehingga para pembaca dengan mudah mampu mengambil ibrah (pelajaran) sebagai kesimpulan dari apa yang telah dibaca. Apabila ini semua dipaparkan hasil dari analisa yang dalam, maka tampak jelaslah hikmah dan kebaikan hasil sebuah perjalanan Rasul yang agung. Maka, sama-samalah kita mendulang banyaknya hikmah sirah Nabi kita, Muhammad Shallalalhu ‘alaihi wa Sallam melalui buku ini.
Pentingnya Sirah Nabi di Dalam Islam
Ali B. al-Husain rahimahullah (cicit Rasulullah) berkata:
“Kami diajar tentang sejarah peperangan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sebagaimana kami diajarkan tentang surah-surah dalam al-Qur’an.” (Al-Jami’ li ar-Rawi wa Aadabi as-Sami’, 2/252)
Imam Ibnu Hazm rahimahullah menegaskan:
“Sesungguhnya sirah Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bagi yang merenunginya pasti akan ter-arah kepada kewajiban beriman dan percaya kepadanya, mengakui bahawa beliau adalah benar-benar Rasulullah (utusan Allah), bahkan seandainya beliau tidak memiliki mukjizat melainkan sejarah perjalanannya, nescaya itu sudah cukup baginya.” (Ibn Hazm, Al-Milal wa al-Ahwa’ wa Al-Nihal, 2/92)
Kata penulis, Syaikh Dr. Zaid:
“Sirah perjalanan Nabi adalah aplikasi nyata dari al-Qur’an, kerana al-Qur’an adalah prinsip kehidupan yang agung, landasan hidup yang sempurna, manakala kehidupan Rasulullah sehari-hari pula adalah aplikasi nyata dari prinsip-prinsip dasar yang terkandung di dalam al-Qur’an. Oleh kerana itulah, di antara kelebihan agama ini adalah kehebatan prinsip aturan dalam kehidupan dan kemantapan contoh dalam aplikasi yang dimainkan oleh salafus soleh radhiyallahu ‘anhum (para sahabat Nabi). Setelah itu, tiada celah lagi yang boleh dijadikan alasan kerana manusia telah menyaksikan bagaimana al-Qur’an dibaca setiap hari dan pada waktu yang sama terdapat sirah Nabi yang menjadi penjelas bagi umat manusia, bagaimana dapat menjadi petunjuk dalam kehidupan yang maksima untuk kebahagiaan dunia dan akhirat.” (Mukaddimah Fiqhus Sirah oleh Prof. Dr. Zaid B. ‘Abdul Karim Zaid)