Senarai Penerbit
Categories
Maklumat Akaun

Dapatkan Sekarang

Mukhtashar Tafsir Ibnu Katsir Jilid 2 (Al-Ma'idah hingga al-An'aam)

Mukhtashar Tafsir Ibnu Katsir Jilid 2 (Al-Ma'idah hingga al-An'aam)
Terbitan: Pustaka Ibnu Katsir
Product Code: Pustaka Ibnu Katsir
Ukuran Buku: (Tinggi x Lebar x Tebal)(cm) 25 x 17 x 6

ISBN:
Availability: In Stock
Price: RM110.00
Qty:     - OR -   Add to Wish List
Add to Compare

Judul: Mukhtashar Tafsir Ibnu Katsir Jilid 2 (Al-Maidah hingga al-Anaam) | Judul Asal (Arab): Umdatut Tafsiir an Al-Haafiz Ibn Katsiir | Penulis asal: Al-Hafiz Ibn Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) | Tahqiq, Takhrij, dan Peringkas: Syaikh Ahmad Syakir rahimahullah (Wafat: 1377H) | Penerbit: Darus Sunnah | Berat: 1.8kg (Termasuk bungkusan) | Muka Surat: 1045m/s. (Hard cover)


Dalam memahami Al-Qur’an, seseorang wajib merujuk kepada kaedah-kaedah penafsiran Al-Qur’an yang benar dan selamat sebagaimana yang telah ditetapkan oleh para ulama generasi awal dari kalangan salaf yang terdiri dari para pembesar sahabat, tabi’in, tabi’ut tabi'in dan para ulama yang mengikuti mereka dengan baik. Al-Qur’an tidak boleh dan tidak akan dapat difahami hanya berbekalkan logika dan perasaan. Sebaliknya, Al-Qur'an wajib difahami dengan berpandukan hadis-hadis Nabi yang sahih dan fatwa-fatwa para sahabat yang mana mereka menyaksikan sendiri turunnya ayat-ayat Al-Qur’an di masa mereka.

Di antara sebab kenapa kita wajib berpedoman dengan pemahaman dan manhaj (prinsip-prinsip) para sahabat dalam memahami Al-Qur’an adalah kerana mereka merupakan golongan yang sentiasa bersama-sama Nabi dalam apa jua keadaan, sama ada senang atau sukar. Teguh beraqidah sebagaimana yang diperintahkan, hidup di dalam suasana yang mendapat perhatian Nabi, dan mati di atas jalan yang benar. Di masa hidupnya sentiasa bersama-sama Nabi mengutip kebenaran yang disampaikan. Mereka berguru kepada Nabi secara langsung. Mereka tahu apabila sesuatu ayat Al-Qur’an diturunkan, ia diturunkan atas dasar apa dan apa latar belakang ayat tersebut. Mereka bermusafir dan berperang bersama-sama Nabi. Berjuang dan berdakwah menegakkan agama yang dibawa oleh Nabi. Mereka mendapat pengiktirafan secara langsung dari langit oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Setelah kewafatan Nabi, merekalah kelompok manusia yang meneruskan perjuangan dan kesinambungan dakwah Rasulullah. Merekalah yang dipertanggungjawabkan oleh Allah memelihara al-Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah dari pelbagai bentuk penyelewengan, pendustaan dan penyembunyian. Mereka menyampaikan, mengajarkan, dan menyebarkannya kepada generasi manusia seterusnya.

Tidak ada lagi bentuk-bentuk agama selain dari apa yang difahami dan disampaikan oleh mereka. Kerana apa yang difahami dan diamalkan oleh mereka dari agama Islam, sudah sangat-sangat memadai dan itulah yang terbaik. Kerana apa yang diamalkan oleh mereka, itulah yang mendapat restu dan pembenaran secara langsung daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan bentuk-bentuk amalan (sandaran beragama) selain dari itu, maka ia adalah suatu yang asing lagi tertolak disebabkan agama ini telah pun sempurna dan mencukupi sebagaimana yang difahami oleh golongan terbaik bernama sahabat.

‘Abdullah B. Mas’oud radhiyallahu ‘anhu berkata:

مَنْ كَانَ مِنْكُمْ مُسْتَنًّا فَلْيَسْتَنَّ بِمَنْ قَدْ مَاتَ فَإِنَّ الْحَيَّ لَا تُؤْمَنُ عَلَيْهِ الْفِتْنَةُ أُولَئِكَ أَصْحَابُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبَرُّ هَذِهِ الْأُمَّةِ قُلُوبًا وَأَعْمَقُهَا عِلْمًا وَأَقَلُّهَا تَكَلُّفًا قَوْمٌ اخْتَارَهُمْ اللَّهُ لِصُحْبَةِ نَبِيِّهِ وَإِقَامَةِ دِينِهِ فَاعْرِفُوا لَهُمْ حَقَّهُمْ وَتَمَسَّكُوا بِهَدْيِهِمْ؛ فَإِنَّهُمْ كَانُوا عَلَى الْهُدَى الْمُسْتَقِيمِ

“Sesiapa di antara kamu mengikuti sunnah (bimbingan), maka  ikutilah jejak bimbingan orang yang telah wafat kerana orang yang masih hidup tidak terlepas dari fitnah. Mereka adalah para sahabat Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Mereka adalah orang yang paling baik hatinya, paling dalam ilmunya, serta paling sedikit takallufnya (tidak merasa terbeban dengan syari’at). Mereka adalah kaum yang dipilih oleh Allah untuk berdampingan dengan Nabi-Nya dan menegakkan agama-Nya. Maka kenalilah kelebihan dan jasa-jasa mereka, ikutilah mereka, dan ambillah akhlak serta agama mereka kerana sesungguhnya mereka berada di atas landasan hidayah yang lurus.” (Ibnu ‘Abdil Bar, Jaami’ al-‘Ilm wa Fadhlihi, m/s. 368. Ibnu Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, 3/126, 4/138, 4/158, 11/368, 11/573. Ibn al-Qayyim, I’lam al-Muwaqqi’in, 2/202-203)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ يَجِيءُ أَقْوَامٌ تَسْبِقُ شَهَادَةُ أَحَدِهِمْ يَمِينَهُ وَيَمِينُهُ شَهَادَتَهُ

“Sebaik-baik manusia adalah pada kurunku, kemudian generasi setelah mereka, kemudian generasi setelah mereka. Kemudian akan muncul suatu kaum yang memberi persaksian mendahului sumpahnya, dan bersumpah mendahului persaksiannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 9/133, no. 2458)

Di dalam Al-Qur’an, Allah mengiktiraf dan menyeru kita semua agar mengikuti jejak-jejak mereka. Maksud firman Allah Ta'ala:

وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنْصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُمْ بِإِحْسَانٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

“Orang-orang yang terdahulu lagi yang paling awal masuk Islam (generasi sahabat) dari golongan muhajirin dan anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang ada sungai-sungai mengalir. Mereka kekal abadi di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar.” (Surah At-Taubah, 9: 100)

Oleh itu, di antara kitab tafsir agung dalam dunia Islam ahli sunnah wal-jama’ah adalah kitab Tafsir Ibnu Katsir ini. Ia adalah tafsir bil-matsur iaitu tafsir yang memuatkan methode penafsiran secara murni berpandukan manhaj para sahabat. Di dalamnya terpenuhi dengan hadis-hadis Nabi, kata-kata (fatwa-fatwa) para sahabat, pendapat-pendapat yang kuat dari kalangan tabi’in, serta hujah-hujah kesimpulan dari para pembesar mazhab ahli sunnah wal-jama’ah. Lebih menguatkan kedudukan Tafsir Ibnu Katsir ini, ia sentiasa mendapat dukungan dan rekomendasi para ulama dari zaman berzaman sehingga kini sebagai tafsir yang amat baik untuk para penuntut ilmu dan kalangan awam. Ia bukan tafsir yang ditegakkan dengan akal dan falsafah, tetapi adalah tafsir yang ditegakkan dengan ilmu riwayat dari kefahaman para penerima wahyu generasi awal yang menerima wahyu secara langsung dan mengetahui ilmu-ilmunya, iaitu Nabi dan para sahabatnya.

Amat sedih dan miskin, sekiranya rumah-rumah kita tidak memilikinya dan tidak pernah memiliki impian untuk memilikinya sekaligus menelaahnya. Amat sayanglah sekiranya manfaat besar yang terkandung di dalamnya tidak di-endahkan oleh umat Islam sendiri. Lalu dengan apakah kita memahami dan mentadabbur Al-Qur’an?

Alhamdulillah, pada hari ini sekali lagi Allah memudahkan kita semua untuk memahami ayat-ayat Al-Qur’an melalui tafsir ini di mana apabila kitab Tafsir Ibnu Katsir ini telah pun diterjemahkan bahkan edisi ini telah diteliti dengan baik oleh seorang ulama ahli hadis terkenal abad ini. Ini adalah edisi tahqiq (penelitian dan semakkan), takhrij (penjelasan status hadis), dan sedikit peringkasan oleh Syaikh Ahmad Muhammad Syakir rahimahullah (Wafat: 1377H) pada bahagian yang perlu sebagaimana dijelaskan pada mukaddimah beliau, iaitu seperti mencakup hadis-hadis yang tidak sahih dan kisah-kisah israiliyyat yang boleh membuat para pembaca awam keliru.

Para ulama menyatakan bahawa tahqiq dan mukhtashar Syaikh Ahmad Syakir rahimahullah ke atas Tafsir Ibnu Katsir ini sebagai antara tahqiq dan mukhtashar terbaik setakat ini berbanding edisi-edisi lainnya. Lebih-lebih lagi; tahqiq, semakkan dan penyalinan manuskrip Tafsir Ibnu Katsir yang paling awal dibuat pada zaman kita ini adalah oleh Syaikh Ahmad Muhammad Syakir lalu dicetak oleh team Syaikh Anwar Al-Bazz. Dan kebanyakan cetakkan serta penerbitan Tafsir Ibnu Katsir setelahnya banyak merujuk kepada edisi tahqiq Syaikh Ahmad Syakir ini.

Pada edisi tahqiq Syaikh Ahmad Syakir ini, beliau memastikan hanya hadis-hadis atau riwayat-riwayat yang sahih dan hasan sahaja yang dipersembahkan oleh edisi ini. Walaupun demikian tidak setiap hadis yang dha’if (lemah) dikeluarkan apabila di sana ada keperluan bagi menjelaskan tarjih asal milik Al-Hafiz Ibnu Katsir dan bagi menghilangkan syubhat.

Beliau juga berusaha memperbaiki beberapa bentuk kekeliruan atau kesilapan teknikal yang terdapat dalam edisi asal oleh Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah. Selain itu, beliau turut menjelaskan secara panjang lebar sebahagian hadis-hadis yang mendapat kritikan dan pertikaian. Syaikh Ahmad Syakir juga menyatakan yang beliau turut mengeluarkan riwayat-riwayat Israiliyyat dan yang seumpamanya dalam edisi ini kerana berdasarkan methode Al-Hafiz Ibnu Katsir sendiri pun, beliau memang mencela khabar-khabar Israiliyyat tersebut di beberapa tempat dalam tafsirnya. Syaikh Ahmad Syakir turut menjelaskan secara panjang lebar sekitar 6 muka surat pada bahagian mukaddimah kitab ini tentang manhaj dan prinsip Al-Hafiz Ibnu Katsir terhadap riwayat-riwayat Israiliyyat yang dimaksudkan.

Kemudiannya, teks-teks Al-Qur’an yang disebutkan di dalam edisi ini umumnya adalah berdasarkan resm ‘Utsmani sebagaimana ditegaskan oleh pemerintah Mesir (negara Syaikh Ahmad Syakir).

Setiap apa yang diusahakan oleh Syaikh Ahmad Syakir rahimahullah ini dalam usahanya mentahqiq, mentakhtij, dan meringkas tafsir Ibnu Katsir ini antaranya adalah dalam rangka memudahkan golongan awam dan penuntut ilmu agar mampu mengambil manfaat secara optima.

Kata Syaikh Ahmad Muhammad Syakir rahimahullah:

“Saya sendiri bersesuaian dengan fitrah keilmuan dan pengetahuan saya berkaitan kitab-kitab dan khazanah peninggalan sejarah Islam yang agung, sebenarnya tidak gemar meringkaskan kitab-kitab atau melakukan perubahan di dalamnya. Akan tetapi saya dihadapkan dengan keperluan dan kepentingan yang mendesak untuk mendekatkan corak pemahaman tafsir kepada para pembaca di peringkat menengah yang memiliki wawasan ilmu, yang mana mereka masih tidak mampu menela’ah dan menyerap ilmu-ilmu pengetahuan yang bermanfaat secara benar lagi mendalam, dan mereka yang belum benar-benar mengerti tentang istilah-istilah yang diguna-pakai oleh para ulama dalam disiplin ilmu. Demikian juga untuk para penuntut ilmu Islam di pelbagai penjuru alam Islami. Untuk itu, saya pun merasa amat perlu melakukannya.” (lihat: Mukaddimah ‘Umdatut Tasir ‘an Al-Hafiz Ibn Katsir)

Mungkin sebagai suatu maklumat yang menarik untuk sama-sama kita ketahui di sini, Syaikh Ahmad Syakir rahimahullah menjelaskan:

“Al-Hafiz Ibnu Katsir memulakan penulisan tafsirnya ini bermula dari Surah Al-An’am, ayat 100 sehingga akhir surah, iaitu An-Naas. Kemudian barulah beliau memulakan semula tulisannya dari Surah Al-Baqarah hingga Surah Al-An’am, ayat 99. Al-Hafiz Ibnu Katsir menyelesaikan karya tafsirnya ini selama sekitar 4 tahun lamanya. Ia diselesaikan pada tarikh 24 Dzulqa’dah tahun 741H, hari Juma’at.”

Tafsir Ibnu Katsir Menurut Syaikh Ahmad Muhammad Syakir rahimahullah (Wafat: 1377H)

“Menurut kami, Tafsir al-Hafiz Ibnu Katsir adalah kitab Tafsir yang paling bagus, indah, dan lengkap setelah Tafsir Imam para ahli Tafsir, iaitu Abu Ja’far ath-Thabari. Kami tidak bertujuan membandingkan antara keduanya, atau antaranya dengan yang lainnya, kerana menurut kami, tidak ada tafsir yang dapat menyamai keduanya, atau bahkan menghampirinya.

Al-Hafiz Ibnu Katsir telah berusaha dengan gigih untuk menafsirkan Al-Qur’an dengan Al-Qur’an, kemudian dengan as-Sunnah yang sahih yang merupakan keterangan dan penjelas al-Qur’an. Selanjutnya beliau menyebutkan perkataan para ulama salaf tentang tafsir ayat-ayat yang ada.

Beliau juga membawakan banyak hadis (pada banyak tempat di dalam tafsirnya) berserta sanad-sanadnya dari kitab-kitab as-Sunnah dan sumbernya. Beliau banyak mengemukakan alasan kedha’ifan hadis, akan tetapi beliau sangat bersungguh-sungguh untuk menyebutkan hadis-hadis yang sahih walaupun dalam masa yang sama turut menyertakan hadis-hadis yang dha’if bersama. Maka kitab beliau tersebut (di samping merupakan kitab Tafsir al-Qur’an), ia juga sekaligus sebagai ilmu dan petunjuk bagi para penuntut ilmu hadis. Darinya dapat diketahui kaedah menganalisa dan meneliti sanad-sanad dan matan-matan hadis, serta mengetahui perbezaan hadis-hadis sahih dan selainnya. Jadi, dilihat dari makna ini, maka ia adalah kitab yang memberi pelajaran yang agung dan manfaatnya besar sekali.” (lihat: Mukaddimah ‘Umdatut Tafsir ‘an Al-Hafiz Ibn Katsir)

Sepintas lalu tentang Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah

Beliau adalah Imam Al-Hafiz Abu al-Fida’ Imaduddin Isma’il B. ‘Umar B. Katsir Al-Qurasyi Al-Bushrawi Ad-Dimasyqi, yang lebih dikenal dengan nama Ibnu Katsir. Beliau lahir pada tahun 701H (1302H) di Mijdal, sebuah tempat di Kota Bashrah. Beliau kemudian menetap, belajar, dan mengajar di Damaskus.

Pada usia 4 tahun, ayah beliau meninggal sehingga kemudian beliau diasuh oleh pak ciknya, Syaikh ‘Abdul Wahhab. Pada tahun 706H, beliau pindah dan menetap di kota Damaskus. [Disediakan oleh Atsar Enterprise, www.atsar.ilmusunnah.com]

Riwayat Pendidikan

Ibn Katsir tumbuh membesar di kota Damaskus. Di sana, beliau banyak menimba ilmu dari para ulama di kota tersebut, salah satunya adalah Syaikh Burhanuddin Ibrahim Al-Fazari yang lebih dikenal dengan nama Ibnul Farkah (Wafat: 729H).

Beliau juga menimba ilmu dari ‘Isa B. Muth’im, Ibn Asyakir, Ibn Syairazi, Ishaq B. Yahya bin Al-Amidi, Ibn Zarrad, Al-Hafiz Adz-Dzahabi (Wafat: 748H) serta Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyah (Wafat: 728H). Selain itu, beliau juga belajar kepada Syaikh Jamaluddin Yusuf B. Zaki Al-Mizzi (Wafat: 742H), salah seorang ahli hadis di Syam. Syaikh Al-Mizzi ini kemudian menikahkan Ibn Katsir dengan putrinya.

Selain Damaskus, beliau juga belajar di Mesir dan mendapat ijazah dari para ulama di sana. Antara guru beliau di Mesir adalah Abu Musa Al-Qarafi, Abu Al-Fath Ad-Dabbusi, dan ‘Ali B. ‘Umar As-Sawani.

Tahap Keilmuan Beliau

Berkat kegigihan belajarnya, akhirnya beliau menjadi ahli tafsir ternama, ahli hadis, penulis sejarah ulung, serta ahli fiqih besar di abad ke-8H. Kitab beliau dalam bidang tafsir adalah Tafsir Al-Qur’an Al-‘Azdim yang menjadi kitab tafsir terbesar dan tersahih hingga saat ini, di samping kitab tafsir Muhammad B. Jarir Ath-Thabari. Bahkan sebahagian ulama mengatakan bahawa tafsir beliau adalah ringkasan kepada karya besar Tafsir Ath-Thabari tersebut.

Para ulama mengatakan bahawa tafsir Ibnu Katsir adalah sebaik-baik tafsir yang ada di zaman ini, kerana pelbagai keistimewaan dan khazanah ilmu yang terkandung di dalamnya. [Disediakan oleh krew Atsar Ent., www.atsar.ilmusunnah.com]

Keistimewaan yang paling utama terkandung di dalamnya adalah beliau menafsirkan Al-Qur’an dengan Al-Qur’an (di satu ayat dengan ayat-ayat yang lain), menafsirkan Al-Qur’an dengan As-Sunnah (hadis-hadis Nabi), kemudian dengan perkataan para salaf ash-sholeh (pendahulu kita yang soleh, yakni para sahabat, tabi’in, dan tabi’ut tabi’in), kemudian dengan kaedah-kaedah bahasa Arab yang fasih.

Karya-karya Ibnu Katsir

Selain Tafsir Al-Qur’an Al-‘Adzim atau dikenal sebagai Tafsir Ibnu Katsir ini, beliau juga turut menulis banyak kitab-kitab lain yang sangat bermanfaat, berkualiti, dan menjadi rujukan bagi generasi setelah beliau sehinggalah saat ini, di antaranya adalah Al-Bidayah wa An-Nihayah yang memuatkan kisah awal permulaan penciptaan dan awal dunia, kisah-kisah para nabi dan umat-umat terdahulu, kisah-kisah kekhalifahan atau sejarah pemerintahan Islam, sehinggalah kisah-kisah yang akan datang ketika saat menjelangnya kiamat dan fitnah-fitnahnya.

Kemudian, kitab Jami’ Al-Masaanid yang berisi himpunan hadis-hadis merangkumi Musnad Imam Ahmad, al-Bazzar, Abu Ya’la, Mushannaf, berserta Kutubus Sittah.

Seterusnya, Ikhtishar ‘Ulum Al-Hadits tentang ilmu hadis yang merupakan ringkasan dari karya Imam Ibnu Ash-Sholah. Kemudian kitab Thabaqaat Asy-Syafi’iyyah. Takhrij kitab At-Tanbih fii fiqh asy-Syafi’iyyah[Hak susunan Atsar Enterprise, www.atsar.ilmusunnah.com]

Yang lainnya lagi, kitab At-Takmiil fii Ma’rifatits Tsiqaat wa adh-Dhu’afaa wal Majaahil dalam bidang ilmu jarh wat-Ta’dil, Risalah Fi al-Jihad tentang jihad dan masih banyak lagi lainnya.

Pujian Para Ulama Ke Atas Beliau

Keilmuan dan kesolehan Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah telah pun diakui para ulama sejak di zamannya serta begitu ramai lagi para ulama setelahnya. Antaranya, Imam adz-Dzahabi rahimahullah (Wafat: 748H) berkata:

“Beliau adalah seorang imam dan seorang mufti (pemberi fatwa), ulama hadis yang pakar, faqih yang luas pandangannya, ahli tafsir, dan beliau memiliki banyak sekali tulisan yang bermanfaat.”

Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) berkata:

“Beliau sentiasa menyibukkan diri dengan hadis, menela’ah matan dan rijal hadis. Beliau adalah orang yang memiliki hafalan yang banyak, kecerdasannya bagus, memiliki banyak karya tulis semasa hayatnya, dan telah memberikan manfaat yang sangat banyak kepada orang-orang setelah beliau.”

Salah seorang muridnya, Abu Al-Mahasin Jamaluddin Yusuf Ibn Syihabuddin berkata:

“Beliau adalah Syaikh, Al-Imam, Al-‘Allamah Imaduddin Abu Al-Fida’. Seorang ulama yang banyak menulis (berkarya), sentiasa bekerja, meraih ilmu dan menulis, pakar dalam bidang fiqh, tafsir, dan hadis. Beliau mengumpulkan, mengarang, mengajar, dan menyampaikan hadis serta menulis. Beliau memiliki telahan yang sangat luas dalam ilmu hadis, tafsir, fiqh, bahasa ‘Arab, dan ilmu-ilmu lainnya. Beliau mengeluarkan fatwa dan mengajar sehingga wafat. Semoga Allah merahmati beliau. Beliau dikenal sebagai ulama yang memiliki hafalan yang kuat dan tulisan yang bagus. Beliau telah mencapai puncak dalam ilmu sejarah, hadis, dan tafsir.”

Kewafatan Beliau

Beliau hilang penglihatan di akhir hayatnya, dan beliau (Al-Hafiz Ibnu Katsir) meninggal dunia pada tahun 774H (1373M) di Damaskus, Syam dan dikuburkan bersebelahan dengan makam gurunya, Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyah rahimahumallaah.

 

Write a review

Your Name:


Your Review: Note: HTML is not translated!

Rating: Bad           Good

Enter the code in the box below:



© 2014 ATSAR Enterprise | Galeri Ilmu Ahli Sunnah. All Rights Reserved.

Website tuned by fidodesign.net