Ilmu Fiqh memiliki kedudukan tersendiri dalam khazanah ilmu Islam. Dari generasi ke generasi, ilmu ini diwariskan untuk menjelaskan ajaran Islam tentang alif-ba-ta kehidupan. Bermula dari bagaimana seorang Muslim memelihara hubungannya dengan Allah dan Rasul-Nya, hingga bagaimana bermuamalah secara tepat terhadap sesama Muslim mahupun sesama manusia. Ilmu Fiqh menjadi bukti nyata betapa lengkap dan sempurnanya Islam sebagai manhaj hidup bagi manusia.
Tapi dalam perkembangannya, fiqh juga mengalami kemerosotan. Itu terjadi disebabkan fenomena taklid buta dan taksub kepada madzhab berkembang. Pendapat-pendapat tokoh lebih diutamakan berbanding nash-nash, manakala dalil-dalil dari al-Qur’an dan as-Sunnah dilupakan. Akhirnya, perbezaan pendapat pun berubah menjadi sengketa dan perpecahan. Ikhtilaf (perbezaan pendapat) tidak lagi menyuburkan khazanah intelektual umat ataupun menghiasi kepelbagaian pandangan, tetapi menjadi punca untuk saling berseteru, berselisih, hinggalah berpecah-belah.
Set buku yang berjudul Shahih Fiqh as-Sunnah wa Adillatuhu wa Taudhih Madzahib al-A'immah ini merupakan sebahagian juzuk dari usaha-usaha besar ini. Penulis berusaha mengumpulkan pelbagai dalil dari al-Qur’an, as-Sunnah, atsar para sahabat, tabi’in dan pendapat para ulama tentang pelbagai masalah hukum-hakam dalam Islam. Penulis juga turut merangkumkan serta mengemukakan pelbagai bentuk kesepakatan dan perbezaan pendapat di kalangan ulama. Selanjutnya, penulis memilih pendapat yang dipandang rajih (kuat), disertai ulasannya.
Langkah ini, bukan hanya sekadar dapat memperluaskan wawasan pembaca tentang kepelbagaian sudut pandang dalam fiqh, tetapi juga turut menenteramkan pembaca dalam mengamalkan ibadah dan muamalah dalam Islam. Penulis mengajak para pembaca sekalian sama-sama membuka mata agar berpegang kepada dalil berbanding semata-mata pendapat tokoh-tokoh tertentu yang ternyata lemah dan bertentangan dengan dalil.
Keistimewaan lain buku pada buku ini adalah di dalamnya turut dicamtumkan sumber-sumber rujukan yang lengkap dan terperinci, khususnya berkaitan dengan kutipan hadis dan nukilan kepelbagaian pandangan ulama, tokoh dan mazhab. Komentar dari tiga ulama besar kontemporari juga turut dibawa. Iaitu pandangan dan fatwa-fatwa milik Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, Syaikh 'Abdul 'Aziz bin 'Abdullah bin Baz dan Syaikh Muhammad bin Sholeh al-'Utsaimin. Ini sekaligus menjadikan buku ini lebih bermutu dan berkualiti. Tanpa dapat dinafikan , buku ini mampu memperkayakan pengetahuan anda.
Ia diadun dengan begitu sistematik, ringkas, padat, bermaklumat, dan mudah difahami. Walaupun bagi kalangan awam dan pemula, insyaAllah.
Berikut adalah skop dan bab perbahasan berdasarkan jilid.
Jilid 1 - 570 m/s,
(Thaharah & Solat)
Jilid 2 – 442 m/s,
(Solat Sunnah, Solat Berjemaah, Solat Jumaat, dan Kitab Jenazah)
Jilid 3 – 568 m/s,
(Zakat, Puasa, Haji & Umrah, Sumpah, Nadzar, Makanan & Minuman)
Jilid 4 – 634 m/s,
(Pakaian, Perhiasan, Nikah, Thalak, & Warisan)
Jilid 5 - 591 m/s,
(Hudud, Jinayat dan Diyat, Jual Beli)