Judul: Al-Mustadrak Jilid 5 (Kitab Tafsir) | Judul Asal: Al-Mustadrak ‘ala ash-Shahihain li al-Hakim | Penulis: al-Hafiz Abu ‘Abdillah Muhammad B. ‘Abdullah al-Hakim an-Naisaburi (Wafat: 405H) | Penerbit: Pustaka Azzam | Berat: 1.2kg | Muka Surat: 898 m/s.
Ini adalah sebuah kitab besar yang termasuk dalam deretan kitab-kitab hadis ahlus sunnah wal-jama’ah. Kitab yang berjudul Al-Mustadrak ‘ala ash-Shahihain li al-Hakim ini memuatkan hadis-hadis sahih berdasarkan penilaian Imam Al-Hakim yang tidak terdapat dalam Shahih Al-Bukhari dan Muslim.
Maksud kepada judul “Al-Mustadrak ‘ala ash-Shahihain li al-Hakim” itu sendiri adalah “Penyempurna atas dua kitab sahih (Shahih Al-Bukhari dan Muslim).”
Ia disusun oleh Al-Hafiz Imam Al-Hakim rahimahullah (Wafat: 405H) dengan maksud menyusun dan menghimpun hadis-hadis sahih yang tidak terdapat atau tidak dimasukkan oleh Imam Al-Bukhari dan Muslim dalam kitab Shahih mereka masing-masing.
Kata Imam Adz-Dzahabi rahimahullah (Wafat: 748H) tentang Imam Al-Hakim:
“Beliau adalah Muhammad bin ‘Abdillah bin Muhammad Al-Hakim An-Naisaburi, seorang Imam Al-Hafiz (dalam bidang hadis), peneliti hadis yang ‘alim (luas pengetahuannya), syaikh al-muhadditsin (syaikh para ahli hadis), bermazhab Asy-Syafi’i. Beliau lahir pada tahun 321H.
Beliau mula mempelajari hadis semenjak usia kecil di bawah bimbingan ayahnya. Dan beliau mula mendengar (mempelajari dan menghafal) hadis ketika usia tujuh (7) tahun pada tahun 330H. Beliau mendapatkan hadis secara imla’ dari Imam Abu Hatim Ibnu Hibban (Wafat: 342H).
Kemudian mula mengembara mencari ilmu bermula pada tahun 341H.
Imam Al-Hakim mendapakan sanad hadis yang ‘ali (tinggi) di Khurasan, ‘Iraq, dan daerah Ma Wara’an An-nahri. Beliau melakukan perjalanannya mencari ilmu ke ‘Iraq sewaktu berusia dua puluh tahun tidak lama setelah meninggalnya Ash-Shaffar.” (lihat: Adz-Dzahabi, Siyar A’lam An-Nubala’, 17/ 163 – Tahqiq Syu’aib Al-Arnauth)
Imam Muhammad bin Thahir Al-Hafiz berkata:
“Aku pernah bertanya kepada Mas’ad Az-Zanjani Al-Hafiz di Makkah, “Ada empat (4) ahli hadis yang hidup sezaman, lali siapakah di antara mereka yang paling hafidz (atau ahli)?”
Beliau kembali bertanya kepadaku, “Siapa yang engkau maksudkan?”
Aku jawab, “Ad-Daraquthni di Baghdad, ‘Abdul Ghani di Mesir, Abu ‘Abdillah bin Mandah di Asfahan (atau Asbahan), dan Abu ‘Abdillah Al-Hakim di Naisabur.” Beliau pun terdiam, lalu berkata:
“Ad-Daraquthni adalah orang yang paling mengetahui ‘ilal (ilmu tentang cacat-cacat atau permasalahan hadis), ‘Abdul Ghani adalah orang yang paling mengetahui tentang nasab, Ibnu Mandah adalah orang yang paling banyak hadisnya dengan ilmu yang sempurna, sementara Al-Hakim adalah orang yang paling baik karyanya.” (Thabaqat Asy-Syafi’iyyah, 4/159-160)
Kata Imam Adz-Dzahabi juga:
“Al-Hakim telah mula menuangkan ilmunya dalam bentuk karya tulis pada tahun 337H. Jumlah karya Abu ‘Abdillah Al-Hakim mencapai sekitar 1000 juzuk (jilid atau bab) yang terdiri dari Tahkrij Ash-Shahihain, Al-‘Ilal, At-Taraajum, Al-Abwab, dan Asy-Syuyukh. Kemudian Al-Majmu’aat semisal Ma’rifah ‘Ulum Al-Hadits, Mustadrak Al-Ash-Shahihain, Tarikh An-Naisaburi, Muzaki Al-Akhbar, Al-Madkhal ila ‘ilmi Ash-Shahiih, Al-Ikliil, Fadhail Asy-Syafi’i, dan selain itu...” (Siyar A’lam An-Nubala’, 17/170)
Imam As-Sam’ani rahimahullah (Wafat: 562H) berkata:
“Beliau (Imam Al-Hakim) adalah seorang yang memiliki kelebihan dan beilmu, berpengetahuan luas, dan seorang ahli hadis. Beliau banyak memiliki karya yang bagus dalam ilmu hadis dan ilmu-ilmu lainnya.” (An-Ansaab, 2/370)
Imam Tajudin As-Subki mengatakan bahawa Abu ‘Abdillah Al-Hakim adalah seorang imam yang mulia, hafiz yang banyak hafalannya di mana ulama telah mengakui kemampuannya yang dimilikinya. Ramai sekali ahli hadis datang untuk menemuinya dari pelbagai Negara kerana keluasan ilmunya dan banyaknya hadis-hadis yang diriwayatkannya.
Imam al-Hakim berusaha menyusun kitabnya Al-Mustadrak ini berdasarkan kriteria Shahih Al-Bukhari dan Muslim, atau salah satu dari keduanya, atau berdasarkan ijtihadnya. Walau bagaimanapun, peniaian sahih hadis-hadis dalam kitab Al-Mustadrak Al-Hakim ini sebenarnya masih memerlukan penelitian semula kerana di dalamnya terdapat banyak hadis-hadis yang disangka sahih tetapi sebaliknya amat bertentangan sekali. Oleh sebab itulah antaranya Imam Adz-Dzahabi rahimahullah (Wafat: 748H) dan beberapa kalangan ulama hadis lainnya tampil memberi penilaian atau menyemak dan meneliti semula terhadap hadis-hadis yang disahihkan oleh Al-Hakim ini.
Kata Imam Adz-Dzahabi rahimahullah (Wafat: 748H):
“Bahkan dalam kitab Al-Mustadrak (karya Al-Hakim ini), terdapat banyak hadis yang menepati kriteria hadis sahih di atas syarat Imam Al-Bukhari dan Muslim, dan banyak pula menepati kriteria sahih salah satu dari keduanya (iaitu sama ada menepati syarat sahih Imam Al-Bukhari sahaja, atau Imam Muslim sahaja). Mungkin keseluruhannya mencapai sepertiga kitab ini, atau mungkin juga kurang sedikit dari itu. Kerana banyak juga padanya terdapat hadis-hadis yang secara zahirnya menepati syarat salah satu dari syarat sahih Al-Bukhari atau Muslim, tetapi pada bathinnya (hakikat yang tersembunyi) padanya terdapat ‘ilal (kecatatan) yang tersembunyi yang mengesankan.
Bahagian lainnya dari kitab ini sanadnya soleh (baik), hasan, dan jayyid, dan itu semua sekitar satu per empat darinya. Selebihnya berisi hadis-hadis yang mungkar dan hadis-hadis yang ajaib (menghairankan).
Di samping itu, terdapat hadis-hadis sekitar seratus yang diakui oleh hati sebagai hadis-hadis yang bathil. Aku telah mengasingkannya menjadi satu jilid (atau bab) tersendiri. Dan hadis-hadis Ath-Thayrr (bersifat khabar burung) dalam kitab ini adalah hadis-hadis yang dinisbahkan kepada khabar langit.
Apa pun keadaannya, kitab Al-Mustadrak ini adalah kitab yang bermanfaat. Aku telah meringkasnya, bersusah-payah melakukan penulisan, dan penelitian.” (Siyar A’lam An-Nubala’, 17/175-176 – Tahqiq Syu’aib Al-Arnauth)
Kitab yang diterjemahkan ini adalah kitab Al-Mustadrak karya Al-Hakim yang di dalamnya turut disertakan sekali komentar dan tahqiq hadis oleh Imam Al-Hafiz Adz-Dzahabi, Al Hafiz Al-‘Iraqi, Al-Munawi, dan beberapa ulama hadis lainnya. Ini adalah bagi memastikan setiap hadis yang cuba disampaikan melalui kitab ini menjadi lebih jelas status dan kedudukannya sama ada sahih, hasan, dha’if, atau maudhu’.
Semoga dengan hadirnya hasil terjemahan kitab Al-Mustadrak Al-Hakim ini akan memperkayakan lagi khazanah ilmu pengetahuan masyarakat dalam bidang hadis. Semoga ia membantu perkembangan yang posistif ilmu-ilmu Islam (terutamanya dalam soal hadis) di tanah air kita ini.
Di samping itu, kitab ini juga tampil sebagai alternatif dan penjelasan terhadap banyak hadis-hadis yang sebelum ini tidak diketahui atau diragui status kesahihan atau kelemahannya. Atau bahkan yang disalah fahami yang dianggap sama ada sahih atau dhaif, tetapi rupanya adalah sebaliknya. Maka, penjelasan status hadis yang dibawa melalui buku ini mampu menjadi sebagai sebuah pencerahan yang positif, insyaAllah. Agar kita lebih yakin dan terbuka dalam menerima sesebuah hadis.
Tuduhan Syi’ah Atas Imam Al-Hakim
Perbahasan dan pencerahan atas tuduhan sebahagian ulama bahawa Imam Al-Hakim terpengaruh dengan pemikiran Syi’ah (namun bukan Rafidhah) dibentangkan oleh pentahqiq, iaitu Dr. Musthafa ‘Abdul Qadir ‘Athaa di mukaddimah tahqiq Al-Mustadrak ini (iaitu pada jilid pertamanya).
Edisi Terjemahan
Edisi ini turut dilengkapi bersama dengan catatan-catatan Imam Adz-Dzahabi atas Al-Mustadrak dari Talkhish-nya, catatan dari Imam Al-Munawi, Al-‘Iraqi, dan selainnya. [Disediakan oleh krew Atsar Ent., www.atsar.ilmusunnah.com]