Sebuah buku berupa ensiklopedi yang menghimpunkan larangan-larangan dalam Islam. Ini bertepatan dengan kandungan perbahasannya yang mengumpulkan perbahasan berkaitan larangan-larangan di dalam agama menurut skopnya bermula dari skop Aqidah, akhlak, fiqh, ibadah, mu’amalah, jual beli, puasa, korban, aqiqah, warisan, wasiat, solat, azan, haji, umrah, dan banyak lagi seterusnya.
Sesungguhnya larangan di dalam islam wajib dijauhi (ditinggalkan) oleh setiap muslim yang belum mengamalkan larangan itu atau meninggalkannya dan segera bertaubat. Bagi yang telah meninggalkan larangan-larangan tersebut sebagai amal ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya, semoga Allah merahmatinya serta agar beroleh keistiqamahan.
Dan sesungguhnya, lebih sukar meninggalkan larangan berbanding melaksanakan perintah, ini adalah kerana meninggalkan larangan bertentangan dengan hawa nafsu manusia. Kerana itulah Allah ‘Azza wa Jalla memberikan pahala yang besar dan pujian bagi hamba-Nya yang mampu menahan hawa nafsunya. Allah berfirman (maksudnya):
“Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Rabb-Nya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya Syurgalah tempat tinggalnya.” [Surah an Naziat, 79: 40-41]
Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda (maksudnya):
“Apa yang aku larang ke atas kamu, maka tinggalkanlah, dan apa-apa yang aku perintahkan kepada kamu maka laksanakanlah sedaya-upaya kamu. Sesungguhnya yang menjadikan binasa orang-orang sebelum kamu adalah kerana mereka banyak bertanya dan mereka menyelisihi nabi-nabi mereka.” [Shahih Muslim, no 1337]
Pada hadis tersebut dijelaskan bahawa larangan di dalam agama diperintahkan secara mutlak supaya ditinggalkan, sehingga meninggalkan larangan itu menyamai dengan usaha melaksanakan sesuatu perintah.
Maka, inilah kitab yang membahas secara terperinci bentuk-bentuk larangan di dalam Islam dengan harapan supaya setiap muslim dapat menjauhi dan meninggalkannya, khususnya di zaman penuh fitnah seperti zaman ini yang begitu banyak larangan Allah dan Rasul-Nya yang dilanggar sama ada dengan secara sedar atau pun tidak, sama ada disebabkan kerana kebodohan (jahil) atau pun kerana mengikuti hawa nafsu. Telitilah kitab ini dari lembaran demi lembarannya, semoga kita beroleh ilmu yang bermanfaat.