Judul: Rintangan Setelah Kematian (Hard Cover) | Penulis: Ustaz Zaenal Abidin Syamsudin | Penerbit: Pustaka Imam Abu Hanifah | Berat: 400g | Muka Surat: 262m/s.
Kematian..., inilah yang kita selalu lari darinya. Inilah juga yang seringkali kita lupakan. Hanya orang beriman akan sentiasa mengingatinya.
Begitu banyak keutamaan yang dapat diambil oleh seorang hamba dengan mengingati kematian - di antaranya;
Membersihkan hati yang telah kusut, tumbuhnya kesedaran untuk kembali ke akhirat, menghidupkan jiwa atau rohani yang telah berkarat, membangkitkan semangat ibadah yang sedang melemah, menumbuhkan keimanan dan ketaatan yang telah merapuh, menguatkan tekad dalam bertaubat dan membentuk peribadi syukur dan qona’ah (merasa cukup dengan nikmat), serta menyedari bahawa dunia ini tidak ada apa-apanya melainkan sebagai tempat persinggahan yang sementara.
Manakala orang yang terlena dengan buaian nikmat dunia, selalunya akan sentiasa tersilau dan terpukau dengan gemerlapan harta dan menjadi hamba syahwat yang melalaikan hati dari mengingat kematian. Dan di ketika kematian diingatkan, hatinya merasa sangat benci dan memberontak ingin lari darinya, bahkan tidak ingin berpisah dengan dunia. Ingin pula terus hidup seribu tahun lagi.
Allah ‘Azza wa Jalla berfirman:
قُلْ إِنْ كَانَتْ لَكُمُ الدَّارُ الْآخِرَةُ عِنْدَ اللَّهِ خَالِصَةً مِنْ دُونِ النَّاسِ فَتَمَنَّوُا الْمَوْتَ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ (94) وَلَنْ يَتَمَنَّوْهُ أَبَدًا بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِالظَّالِمِينَ (95) وَلَتَجِدَنَّهُمْ أَحْرَصَ النَّاسِ عَلَى حَيَاةٍ وَمِنَ الَّذِينَ أَشْرَكُوا يَوَدُّ أَحَدُهُمْ لَوْ يُعَمَّرُ أَلْفَ سَنَةٍ وَمَا هُوَ بِمُزَحْزِحِهِ مِنَ الْعَذَابِ أَنْ يُعَمَّرَ وَاللَّهُ بَصِيرٌ بِمَا يَعْمَلُونَ
“Katakanlah, “Jika kamu (menganggap bahawa) negeri akhirat (Syurga) itu khusus untukmu di sisi Allah, bukan untuk orang lain, maka mintalah kematian (agar disegerakan buatmu), jika kamu memang orang yang benar.” Dan sekali-kali mereka tidak akan menginginkan kematian itu selama-lamanya, kerana kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan oleh tangan mereka (sendiri), dan Allah Maha Mengetahui siapa orang-orang yang berbuat zalim. Dan benar-benar kamu dapati mereka, manusia yang paling tamak kepada kehidupan (di dunia), bahkan (lebih haloba) dari orang-orang musyrik. Masing-masing mereka ingin agar diberi umur seribu tahun, padahal umur panjang itu sekali-kali tidak akan menjauhkannya dari siksa. Allah Maha Mengetahui apa yang mereka usahakan.” (Surah Al-Baqarah, 2: 94-96)
‘Abdullah bin Mutharrif berkata:
“Sesungguhnya kematian menjadikan para pecinta nikmat dunia tidak berselera lagi untuk menikmati seluruh kenikmatan, maka carilah kenikmatan yang tidak tersentuh kematian.” (Mau’idzatul Mukminin oleh Muhammad Jamaluddin Al-Qasimi, m/s. 480)
Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
أَكْثِرُوا ذِكْرَ هَاذِمِ اللَّذَّاتِ يَعْنِي الْمَوْتَ
“Banyakanlah kamu mengingati penghancur kelazatan, iaitu kematian.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2307. Dinilai Sahih oleh Al-Albani)
Abu ‘Ali Ad-Daqqaq rahimahullah berkata, “Siapa yang banyak mengingati kematian maka dia akan mendapat tiga kemuliaan (iaitu):
1, bersegera untuk bertaubat,
2, hatinya qona’ah (merasa cukup), dan
3, sentiasa bersemangat dalam ibadah.” (At-Tadzkirah oleh Al-Imam Al-Qurthubi, m/s. 15)
Daripada Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhu bahawasannya beliau berkata, “Kami duduk-duduk bersama Rasulullah, lalu seorang sahabat Anshar datang kepada Nabi dan memberi salam, kemudian beliau bertanya:
يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الْمُؤْمِنِينَ أَفْضَلُ قَالَ أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا قَالَ فَأَيُّ الْمُؤْمِنِينَ أَكْيَسُ قَالَ أَكْثَرُهُمْ لِلْمَوْتِ ذِكْرًا وَأَحْسَنُهُمْ لِمَا بَعْدَهُ اسْتِعْدَادًا أُولَئِكَ الْأَكْيَاسُ
“Wahai Rasulullah, siapakah mukmin yang paling afdhal?” Rasulullah menjawab, “Yang paling baik akhlaknya.” Beliau bertanya lagi, “Lalu siapakah pula mukmin yang bijak?” Rasulullah jawab, “Yang paling banyak mengingati mati dan paling baik dalam membuat persiapan untuk alam berikutnya, maka itulah orang yang bijak.” (Sunan Ibnu Majah, no. 4249. Dinilai hasan oleh Al-Albani)
Sahl bin ‘Abdullah At-Tustari rahimahullah berkata:
“Tidak ada orang yang paling berkeinginan mati melainkan tiga orang (iaitu):
1, orang yang bodoh tentang kehidupan setelah kematian,
2, orang yang ingin melarikan diri dari taqdir Allah atas dirinya,
3, dan orang yang rindu ingin bertemu dengan Allah.” (At-Tazdkirah oleh Al-Qurthubi, m/s. 9. Syarhush Shudur oleh As-Suyuthi, m/s. 16)
Mengingati kematian memiliki keutamaan yang sangat banyak, kerana mengingat kematian mengajak seorang hamba terlatih meninggalkan tempat persinggahan penuh penipuan dan bersiap-siap untuk menuju kampung akhirat. Lalai dari mengingat kematian menjadikan manusia terlena dalam lembah syahwat dunia sehingga akan membuatnya sengsara dan tersiksa.
Maka melalui buku ini, penulis berusaha mengajak kita mengenali dan menyelami beberapa skop penting. Di antara perbahasannya adalah berkaitan:
1, dunia adalah tempat tinggal yang fana (sementara), sebentar dan sekejap Cuma.
2, mengapa harus mengingat kematian,
3, misteri alam kubur antara nikmat dan siksa, hubungan jasad dengan ruh, pedihnya sakaratul maut, mengenal siksa-siksa kubur dan jenis-jenisnya,
4, tentang kedatangan kiamat dan sifat-sifatnya,
5, hari amal dihisab dan kengerian keadaan di padang mahsyar,
6, keindahan Syurga dan kengerian Neraka, serta sifat-sifatnya, penghuninya, dan keadaan di dalamnya,
7, Antara yang bahagia dan sengsara.
Ini sekaligus membantu kita untuk mengingati dan merenung kematian seraya bersiap-siap untuk menentukan tempat dan nasib kita di sana nanti.
Buku ini boleh dikatakan termasuk dalam siri buku yang penuh mendebarkan, menginsafkan, dan mampu mengalirkan air mata keinsafan. Di dalamnya memuatkan banyak sekali nasihat dan peringatan yang membekas, sama ada dari ayat-ayat Al-Qur’an dan kitab-kitab Tafsir, dari hadis-hadis Nabi, mahupun dari perkataan para sahabat dan ulama terdahulu.
Semoga bermanfaat.