Melihat kepada kitab-kitab tafsir yang sedia ada, kitab Tafsir ath-Thabari adalah di antara kitab tafsir yang cukup istimewa, di mana ia dikenali sebagai kitab yang cukup lengkap dan agung dalam menafsirkan al-Qur’an berpandukan himpunan riwayat-riwayat dari perkataan para salaf (Sahabat, Tabi’in, dan Tabi'ut Tabi’in).
Imam ath-Thabari rahaimahullah (Wafat: 310H) telah mengatakan ketika menulis kitab ini, “Ketika aku berusaha menjelaskan Tafsir al-Qur’an dan menerangkan makna-makna yang Insya-Allah menjadi kitab yang mencakupi setiap perkara yang perlu diketahui oleh manusia melebihi kitab-kitab lain yang ada sebelumnya. Aku berusaha menyebutkan dalil-dalil yang disepakati oleh seluruh ummat dan yang diperselisihkannya, menjelaskan alasan setiap mazhab yang ada dan menerangkan alasan yang benar berdasarkan pendapatku dalam setiap permasalahan yang berkaitan secara ringkas.” (Tafsir ath-Thabari 1/51)
Di antara unsur-unsur istimewa dan terpenting dalam methodologi Tafsir ath-Thabari ini adalah ketika meneliti setiap tema perbahasannya yang bertumpu kepada pendapat-pendapat (atau methode tafsiran) yang dikuatkan dengan sanad-sanad dari ayat, hadis dan atsar-atsar para salaf pada setiap ayat al-Qur’an, sehingga buku ini mencakupi seluruh pendapat yang ada dari kalangan salaf (para sahabat, tabi’in, dan tabi’ut tabi’in). Sekaligus menjadi penjelas bahawa Tafsir beliau ini adalah Tafsir bil matsur yang mengemukakan methode tafsiran ayat berdasarkan hadis-hadis Nabi dan kefahaman para salaf dari kalangan sahabat, tabi’in, dan tabi’ut tabi’in.
Dalam muqadimah kitab ini beliau (Imam ath-Thabari) meminta kepada Allah ‘Azza wa Jalla agar menunjukkannya pendapat yang benar dalam menafsirkan ayat-ayat al-Qur’an, mengenai ayat yang Muhkam, Mutasyabih, halal dan haram, umum dan khusus, global dan terperinci, nasikh dan mansukh, jelas dan samar, dan yang hanya menerima penta’wilan atau penafsiran.
Imam ath-Thabari rahimahullah begitu bersungguh-sungguh dalam menjelaskan setiap perkara tersebut. Perkara ini dapat dilihat dari setiap bahagian kitabnya, di mana beliau meneliti dengan sangat sabar setiap hadis-hadis dan atsar yang menyentuh penafsiran ayat al-Qur’an tanpa pernah lalai menjelaskan asbabun nuzul-nya (sebab turunnya), hukum-hukum, qira’at, dan beberapa kalimat yang maknanya perlu kepada penjelasan terperinci. Semua ini beliau lakukan dalam rangka menghasilkan kitab tafsir yang sempurna. Tidak menghairankanlah apabila hasil tafsir ini cukup besar dengan cetakan yang berjilid-jilid.
Dalam edisi tahqiq ini, ia dibukukan dari manuskrip yang disemak dan diteliti oleh Syaikh al-Muhaddis Ahmad Muhammad Syakir dan Syaikh Mahmud Muhammad Syakir rahimahumallah.
Pujian Para Ulama Terhadap Tafsir ath-Thabari
Imam as-Suyuthi rahimahullah setelah mendalami perkembangan kitab-kitab tafsir dan tingkatan-tingkatan para Ahli tafsir semenjak disiplin ilmu ini ditulis maka ketika beliau sampai kepada satu peringkat kesimpulan, beliau pun meletakkan tafsir ath-Thabari pada tingkatannya yang tersendiri.
Beliau berkata, “Jika anda bertanya, kitab tafsir mana yang dapat dijadikan sebagai rujukan?” Maka aku jawab, “Iaitu tafsir Ibnu Jarir ath-Thabari, di mana para Imam yang amat kompeten bersepakat bahawa belum ada kitab tafsir yang menyerupainya.” (lihat: Al-Itqan fi ulum Al-Qur’an, karya Jalaluddin As-Suyuthi)
Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah mengatakan, “Adapun kitab-kitab tafsir yang beredar di tangan orang yang paling benar adalah karya Ibnu Jarir ath-Thabari. Beliau menyebutkan perkataan-perkatan para salaf dengan sanad-sanad yang kuat, tidak ada bid’ah di dalamnya dan tidak meriwayatkan hadis dari orang-orang yang diragukan seperti Mukatil bin Sulaiman dan Al-Kalbi.” (Majmu al-Fatawa Ibnu Taimiyah, 2/227-228)
Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) yang merupakan anak murid kepada Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah adalah tokoh dalam bidang tafsir yang telah mengambil banyak manfaat dari Tafsir ath-Thabari ini sekaligus menghasilkan ringkasan dan menambahkan banyak manfaat berkaitan dangan hadis, fiqh, ushul, sejarah, dan beberapa yang lainnya yang bermanfaat yang kemudian dikenali sebagai Tafsir Ibnu Katsir (Tafsir Al-Qur’an Al-Adzim).
Imam Adz-Dzahabi rahimahullah berkata, “Inilah tafsir seorang Imam dalam ayat-ayat yang berbicara tentang sifat-sifat Allah yang dipenuhi dengan perkataan para Salaf yang menetapkannya bukan yang menafikannya, dan tidak mentakwilkannya dan Dia (Allah) tidak menyerupai makhluk selama-lamanya.” (Siyar A’lam An-Nubala’, 14/280)