Judul: Misteri Alam Barzakh | Judul Asal (‘Arab): - | Penulis/Penyusun: Abu Fatiah Al-Adnani | Tahqiq/Takhrij: Penyusun | Penterjemah: Penyusun | Penerbit: Granada Mediatama (GMT) | Berat: 233g | Muka Surat: 274m/s. (Soft cover) | Ukuran buku: 20.3cm (tinggi) x 14cm (lebar) x 1.7cm (tebal) | ISBN: 978-979-3693-24-8 |
Di dalam Al-Qur’an Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
حَتَّى إِذَا جَاءَ أَحَدَهُمُ الْمَوْتُ قَالَ رَبِّ ارْجِعُونِ (99) لَعَلِّي أَعْمَلُ صَالِحًا فِيمَا تَرَكْتُ كَلَّا إِنَّهَا كَلِمَةٌ هُوَ قَائِلُهَا وَمِنْ وَرَائِهِمْ بَرْزَخٌ إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ
“(Demikianlah keadaan orang-orang kafir itu), hingga apabila datang kematian kepada salah seorang dari mereka, dia berkata: “Wahai Rabb-ku kembalikanlah aku (ke dunia), agar aku dapat berbuat amal yang soleh yang telah aku tinggalkan.” Sekali-kali tidak, sesungguhnya itu hanyalah cakap-cakap saja. Dan di hadapan mereka ada barzakh (dinding) sampai ke hari mereka akan dibangkitkan.” (Surah Al-Mukminuun, 23: 99-100)
Barzakh adalah sebuah keadaan atau suatu alam yang membatasi dan memisahkan seseorang di antara kehidupan dunianya dengan kehidupan akhiratnya. Orang-orang yang memasuki barzakh akan mengalami sebuah kehidupan yang baru, kehidupan yang telah keluar dari kehidupan alam dunia, namun belum memasuki kehidupan berikutnya, yakni alam akhirat.
Disebutkan dalam sebuah hadis,
Haani’ maula ‘Utsman (bin ‘Affan) radhiyallaahu ‘anhu pernah berkata:
كَانَ عُثْمَانُ، إِذَا وَقَفَ عَلَى قَبْرٍ بَكَى حَتَّى يَبُلَّ لِحْيَتَهُ، فَقِيلَ لَهُ: تُذْكَرُ الجَنَّةُ وَالنَّارُ فَلَا تَبْكِي وَتَبْكِي مِنْ هَذَا؟ فَقَالَ: إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «إِنَّ القَبْرَ أَوَّلُ مَنْزِلٍ مِنْ مَنَازِلِ الآخِرَةِ، فَإِنْ نَجَا مِنْهُ فَمَا بَعْدَهُ أَيْسَرُ مِنْهُ، وَإِنْ لَمْ يَنْجُ مِنْهُ فَمَا بَعْدَهُ أَشَدُّ مِنْهُ
“Bahawasanya ‘Utsman apabila berdiri di kubur, beliau selalunya akan menangis sampai basah janggutnya. Maka ditanyakan kepada beliau:
“Ketika disebut-sebut tentang Syurga dan Neraka engkau tidak menangis, tetapi kenapa engkau menangis kerana kubur ini?”
Maka beliau (‘Utsman) pun menjawab, “Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
“Sesungguhnya kubur adalah tempat (rumah persinggahan) terawal dari tempat-tempat (persinggahan) di akhirat. Bila seorang selamat darinya, maka setelahnya akan lebih mudah. Jika tidak selamat darinya, maka setelahnya akan lebih sukar.”
‘Utsman berkata, “Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَا رَأَيْتُ مَنْظَرًا قَطُّ إِلَّا وَالقَبْرُ أَفْظَعُ مِنْهُ
“Tidaklah aku pernah melihat suatu yang sangat mengerikan berbanding dari kubur.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2308. Dinilai hasan oleh At-Tirmidzi dan Al-Albani)
Dalam kehidupan barzakh tersebut, orang-orang yang kafir akan menemui siksaan atas amal-amal keburukan mereka, sehingga mereka pun menyesal dan memohon agar dikembalikan ke dunia. Mereka berjanji akan melaksanakan amal-amal yang soleh jika diperkenankan untuk kembali ke dunia. Namun permintaan mereka ditolak oleh Allah, dan mereka tetap menjalani siksaan sampailah datangnya hari kebangkitan, yang menjadi gerbang menuju kehidupan alam akhirat pula.
Masih banyak hal-hal yang lain terkait kehidupan di alam barzakh yang harus kita ketahui, yang akan dialami oleh setiap yang meninggal dunia bersesuaian dengan kadar amalan masing-masing ketika di dunia. Dengan mengetahui dan mengimaninya, pasti akan menambah keimanan dan motivasi kepada setiap dari kita untuk segera bersiap dan berbekal. Dan sudah tentu semua itu bersesuaian dengan kadar ilmu dan iman yang kita capai. Dan untuk menambahkan keimanan dan motivasi tersebut, mestilah dengan ilmu-ilmu yang sahih bersesuaian dengan kadar usaha kita pula.
Al-Imam Al-Qurthubi rahimahullah (Wafat: 671H) menyebutkan perkataan Al-Jauhari:
قال الجوهري: البرزخ الحاجز بين الشيئين. والبرزخ ما بين الدنيا والآخرة من وقت الموت إلى البعث؛ فمن مات فقد دخل في البرز
“Al-Barzakh adalah pemisah antara dua hal. Dengan demikian, barzakh adalah kehidupan antara dunia dan akhirat, sejak datangnya kematian hingga ke waktu dibangkitkan. Sesiapa yang mati saja, bermakna dia telah memasuki barzakh.” (Tafsir Al-Qurthubi, 12/150)
Al-Imam Ibn Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) menyebutkan perkataan Abu Shakhr:
البرزخ: المقابر، لا هم في الدنيا، ولا هم في الآخرة، فهم مقيمون إلى يوم يبعثون
“Al-Barzakh adalah alam kubur. Mereka tidak berada di dunia, dan tidak pula di akhirat. Mereka mendiami barzakh sehinggalah ke waktu mereka akan dibangkitkan.” (Tafsir Ibn Katsir, 5/494-495)
Maka dari sini menjelaskan bahawa barzakh adalah sebuah alam ghaib, yang hanya diketahui ilmu dan maklumatnya oleh Allah. Manusia sama sekali tidak memiliki pengetahuan tentangnya kecuali sekadar apa yang dikhabarkan melalui wahyu berupa Al-Qur’an dan hadis-hadis yang sahih. Maka, inilah yang akan dipaparkan oleh buku ini. Menyingkap rahsia di balik alam barzakh!
Semoga bermanfaat buat kita semua seraya menjadi sebab bertambahnya iman dan semangat untuk mempersiapkan amal dengan sebaik-baiknya.