Judul: Sebab Hadis Diucapkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam | Judul Asal (‘Arab): Al-Luma’ fi Asbabi Al-Hadits | Penulis/Penyusun: Al-Imam As-Suyuti rahimahullah (Wafat: 911H) | Tahqiq/Takhrij: Team Penterjemah | Penterjemah: Ustaz Syihabuddin Ahmad dan Team Kemilau Publika | Penerbit: Kemilau Publika | Berat: 255g | Muka Surat: 182 m/s (Soft cover) | Ukuran buku: 22.7cm (tinggi) x 15.2cm (lebar) x 1.0cm (tebal) | ISBN: 978-967-3611-67-6 |
Allah telah menurunkan ayat-ayat Al-Qur’an yang mulia ke dunia ini secara beransur-ansur bersesuaian dengan keperluan dan peristiwa yang berlaku. Maka, setiap ayat itu ada sebab penurunannya yang membantu dalam kefahaman.
Para sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengingati sebab-sebab ini dengan teliti. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pula bertindak selaku penerang, pemberi ulasan serta individu yang bertanggungjawab memperincikan maksud ayat Al-Qur’an dengan panduan wahyu sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,
....وَأَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ.... (44)
“Dan Kami turunkan Az-Zikr (Al-Qur’an) agar engkau menjelaskan kepada mereka apa yang telah diturunkan kepada mereka…” (Surah Al-Nahl, 16: 44)
Panduan yang diberikan oleh Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah panduan berdasarkan petunjuk Al-Qur’an. Oleh sebab itu, jika ayat-ayat Al-Qur’an turun berdasarkan hajat keperluan, begitu juga hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam datang ketika manusia memerlukannya. Ia juga datang ketika timbul sebarang persoalan, hukum atau untuk mensyari’atkan hukum yang baharu.
Orang ramai telah banyak didedahkan dengan ilmu sebab penurunan ayat-ayat Al-Qur’an, tetapi mereka masih lagi baharu di dalam mengenali ilmu-ilmu sebab sesuatu hadis disebutkan atau diucapkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
Faedah Mengetahui Sebab-Sebab Sesuatu Hadis Dituturkan Oleh Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam
Pengetahuan tentang sebab-sebab datangnya hadis memainkan peranan yang sangat besar di dalam pengajian sesebuah hadis dan memahami konteksnya.
Berikut dinyatakan sebahagian daripada faedahnya:
1, Bagi setiap peristiwa yang berlaku itu ada hadisnya dan setiap hadis ada kaitan dengan masa, tempat atau individu-individu tertentu. Oleh itu, pengetahuan tentang sebab-sebab penuturan hadis secara sempurna akan membantu dalam menafsirkan, memahami, menerangkan dan menghuraikanya.
2, Merujuk kembali peristiwa dan waktunya, begitu juga terhadap individu yang terlibat dalam peristiwa tersebut, memberikan gambaran yang jelas terhadap pandangan syarak di dalam sesuatu peristiwa serta perbahasan terhadapnya.
3, Seterusnya ia memberi gambaran terhadap kehendak Allah dan hikmah pensyari’atan di sebalik hukum-hakam, dengan berpandukan sebab-sebab sebenar yang datang bersama pensyari’atan hukum dan sebab-sebab yang mewajibkannya.
Bernilainya Kitab Al-Luma’ Fi Asbab Al-Hadis
Kitab Al-Luma’ fi Asbab Al-Hadits karangan Imam As-Suyuthi menjadi sesuatu yang bernilai tinggi dengan beberapa sebab:
1, Ia menerangkan sebab datangnya hadis yang berperanan menafsirkan nash-nash hadis berpandukan masa berlakunya peristiwa tersebut, serta tempatnya dan individu yang terlibat.
2, Kitab yang ditulis dengan tulisan tangan untuk buku ini dipelihara oleh beberapa maktabah Islam di Halab, Damsyiq, Kaherah dan Andalus (Madrid, Sepanyol). Adapun beberapa kitab yang lain seumpama ini hanya kita ketahui nama penulis-penulisnya sahaja tetapi buku tersebut tidak sampai kepada kita. Kemungkinan besar ia hilang.
3, Merupakan kitab yang ringkas dan padat, bab-bab yang tersusun berdasarkan susunan bab di dalam ilmu feqah.
Penekanan Para Ulama Terhadap Kitab Al-Luma’ Fi Asbab Al-Hadis
Topik perbahasan berkaitan sebab pengucapan hadis belum tersebar pengetahuannya secara meluas dalam kalangan masyarakat ketika itu berbanding sebab penurunan Al-Qur’an.
Kata-kata para ulama terhadap sebab datangnya hadis sangat sedikit, demikian juga karya-karya di dalam bidang ini juga sangat sedikit berbanding ilmu sebab penurunan Al-Qur’an, walaupun penekanan mereka terhadap ilmu ini berkemungkinan dicetuskan dengan pengumpulan dan penulisan.
Al-Imam As-Suyuthi rahimahullah mengatakan pada muqaddimah bukunya ini:
“Antara jenis ilmu dari ilmu-ilmu hadis adalah mengetahui sebab-sebab datangnya hadis seperti sebab-sebab penurunan ayat-ayat Al-Qur’an. Beberapa orang ahli ilmu telah menghasilkan beberapa karya penulisan di dalam perkara berkaitan penurunan ayat-ayat Al-Qur’an.
Antara yang termasyhur adalah karya tulisan Al-Wahidi. Aku mempunyai sebuah tulisan yang terkumpul di dalam bidang ini yang dinamakan (Lubab An-Nuqul fi Asbab An-Nuzul).
Adapun sebab-sebab (datangnya) hadis, sebahagian daripada ulama terdahulu ada menulis tentangnya akan tetapi kita tidak mendapatkanya secara jelas. Mereka ada menyebutkannya di dalam biografi ulama berkenaan.
Al-Hafiz Abu Al-Fadhl Ibnu Hajar juga pernah menyebutkan di dalam Syarh An-Nukhbah. Aku suka untuk mengumpulkannya di dalam satu penulisan, maka aku selidik seluruh kitab-kitab hadis dan aku kutip sebahagian kecil daripadanya. Kemudian aku kumpulkan di dalam kitab ini. Hanya Allah pemberi taufiq dan pemberi petunjuk kepada kebenaran.”
Semoga bermanfaat.