Judul: Cara Mudah & Cepat Menghafal Al-Qur'an | Judul Asal ('Arab): Kaifa Tahfazhul Qur'an Al-Karim | Penulis: Dr. Yahya bin 'Abdurrazzaq Al-Ghautsani | Penerbit: Pustaka Imam Asy-Syafi'i | Berat: 400g | Muka Surat: 238m/s. (Soft cover)
Buku ini memiliki keistimewaannya yang tersendiri. Di mana penjelasannya yang menjelaskan kaedah hafalan berdasarkan keadaan dan kedudukan seseorang, sama ada seorang pelajar, pekerja, suri rumah, mahupun mereka yang sibuk. Buku ini dimulakan dengan penjelasan penjagaan Al-Qur’an oleh Allah ‘Azza wa Jalla semenjak di Lauh Al-Mahfuzh, kemudian disampaikan (diwahyukan) kepada Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dijaga oleh Nabi, disampaikan pula kepada manusia (para sahabat), yang kemudiannya terus terpelihara sehingga ke hari kiamat tanpa sebarang perubahan dan pengubah-suaian.
Seterusnya, penulis menjelaskan keutamaan menghafal Al-Qur’an bagi umat Islam, kewajiban mentadabbur Al-Qur’an, dan langkah-langkah para salaf dalam menuntut ilmu.
Kemudian diteruskan dengan kaedah hafalan yang pertama, iaitu ikhlas, dan sebaiknya bermula sejak kanak-kanak. Seterusnya, diikuti pula teknik-teknik hafalan mengikut keadaan dan situasi seseorang. Maka, oleh sebab itulah buku ini antara panduan yang baik dalam membantu kita untuk mendidik anak-anak dekat dengan Al-Qur’an. Maka, manfaatkanlah buku ini bersesuaian dengan masa anda untuk menghafal dan menghayati ayat-ayat suci al-Qur'an.
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَنْ قَرَأَ الْقُرْآنَ وَتَعَلَّمَهُ وَعَمِلَ بِهِ أُلْبِسَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ تَاجًا مِنْ نُورٍ ضَوْءُهُ مِثْلُ ضَوْءِ الشَّمْسِ، وَيُكْسَى وَالِدَيْهِ حُلَّتَانِ لاَ يَقُومُ بِهِمَا الدُّنْيَا فَيَقُولاَنِ: بِمَا كُسِينَا؟ فَيُقَالُ: بِأَخْذِ وَلَدِكُمَا الْقُرْآنَ
“Sesiapa yang membaca Al-Qur’an, mempelajarinya, dan mengamalkannya, dia akan dipakaikan pada hari Kiamat dengan mahkota yang gemerlap cahayanya seperti terangnya matahari, dan disarungkan untuk kedua orang tuanya perhiasan yang tidak didapatkan di dunia, lalu keduanya akan tertanya-tanya, “Kenapa kami disarungkan (dengannya)?” Maka dikatakan, “Kerana anak kalian berdua telah mengambil perhatian dan mengamalkan Al-Qur’an.” (Al-Mustadrak oleh Al-Hakim, no. 2086)
Dalam hadis yang lain, dari hadis Abu Umamah Al-Bahili radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ، اقْرَءُوا الزَّهْرَاوَيْنِ الْبَقَرَةَ، وَسُورَةَ آلِ عِمْرَانَ، فَإِنَّهُمَا تَأْتِيَانِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ، أَوْ كَأَنَّهُمَا غَيَايَتَانِ، أَوْ كَأَنَّهُمَا فِرْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ، تُحَاجَّانِ عَنْ أَصْحَابِهِمَا، اقْرَءُوا سُورَةَ الْبَقَرَةِ، فَإِنَّ أَخْذَهَا بَرَكَةٌ، وَتَرْكَهَا حَسْرَةٌ، وَلَا تَسْتَطِيعُهَا الْبَطَلَةُ. قَالَ مُعَاوِيَةُ: بَلَغَنِي أَنَّ الْبَطَلَةَ: السَّحَرَةُ
“Bacalah Al-Qur’an kerana sesungguhnya di hari kiamat nanti ia akan menjadi syafa’at kepada orang-orang yang mengikutinya (menjadi ahlinya). Bacalah Az-Zahrawain (dua cahaya yang bersinar), iaitu surah Al-Baqarah dan Surat Ali ‘Imran. Kerana keduanya akan datang pada hari Kiamat seakan-akan dua awan besar atau seperti dua kelompok besar dari burung-burung yang akan menjadi hujjah (pembela) orang-orang yang sentiasa membacanya. Kamu bacalah surah Al-Baqarah, kerana mengambilnya adalah barakah, meninggalkannya adalah kerugian, dan Al-Bathalah (ahli kebathilan) tidaklah dapat menguasainya.” Kata Mu’awiyah: Al-Bathalah (Ahli kebathilan) adalah tukang sihir.” (Musnad Ahmad, no. 22213. Shahih Muslim, no. 804)