Judul: Talbis Iblis, Tipu Muslihat dan Perangkap Iblis | Judul Asal (‘Arab): Talbis Iblis | Penulis/Penyusun: Al-Imam Ibnul Jauzi rahimahullah (Wafat: 597H) | Tahqiq/Takhrij: Syaikh ‘Ali bin Hasan Al-Halabi | Penterjemah: Umar Mujahid | Penerbit: Pustaka Imam Asy-Syafi’i | Berat: 967g | Muka Surat: 626m/s. (Hard cover) | Ukuran buku: 23.7cm (tinggi) x 15.7cm (lebar) x 3.6cm (tebal) | ISBN: 978-602-9183-88-7 |
Al-Imam Ibnul Jauzi rahimahullah telah memberi judul buku ini dengan judul: Talbis Iblis, sebagaimana yang disebutkan dalam Kasyfuzh Zhunun (1/471).
Ketika Ibnul Jauzi selesai menulis kitab ini (Talbis iblis), kitab ini telah menjadi “duri” di kerongkongan para penentang kebenaran dari kalangan pentaksub mazhab, para pengamal tarekat, dan setiap pendukung kelompok-kelompok menyimpang, khasnya mereka yang menisbatkan diri mereka kepada tasawuf.
Di kitab ini, penulis menyebutkan hal-hal yang diperselisihkan dalam kalangan tokoh-tokoh mazhab dan tokoh-tokoh agama di zamannya, serta langkah-langkah yang ditempuh oleh para ulama fiqih, hadis, ahli bahasa, nahwu, ahli qira’at, dan selain mereka. Selanjutnya, penulis juga menjelaskan pelbagai syubhat yang digunakan Iblis dalam melakukan tipu daya terhadap mereka.
Kemudian, penulis kembali membahaskan semuanya dengan panjang lebar dan memberi kritikan pada setiap aliran yang menyimpang dan ajaran yang sesat. Penulis pun menjelaskan mana permasalahan yang benar dan mana permasalahan yang salah atau keliru. Lalu beliau membantah syubhat-syubhat yang telah menjadi penghalang kepada para ulama dari membezakan antara yang haq dan yang bathil.
Semua itu penulis jabarkan dengan bersandarkan kepada dalil-dalil naqli yang sahih berserta dalil-dalil logika yang kuat, diikuti penyebutan contoh-contoh yang realistik.
Penulis membahagi kitab ini menjadi tiga belas bab. Di antara bab yang paling panjang adalah bab kelima, iaitu permasalahan yang berkaitan dengan aqidah-aqidah yang menyimpang berserta dengan penjelasan terhadap syubhat-syubhat yang menghalangi mereka dari kebenaran.
Di antara sub-perbahasan dalam bab ini adalah perbahasan tentang kaum Atheis, Naturalis, Ats-Tsanawiyyah, penganut Falsafah, penyembah Haikal, penyembah berhala, penyembah Api dan planet, kaum jahiliyyah, perbahasan tentang tipu-daya Iblis terhadap penganut ajaran Brahma, tentang ajaran Yahudi, kesesatan kaum Nashara, tentang taqlid buta, kaum khawarij, dan yang lainnya.
Demikian juga pada bab ke sepuluh, ianya termasuk bab yang panjang perbahasannya, iaitu tentang tipu-daya Iblis terhadap penganut sufi (pengamal tasawuf); melalui bab ini penulis membahaskannya dengan perbahasan yang panjang lebar, sampai lebih dari dua ratus halaman (kitab arab), yakni hampir setengah isi kitab. Memang, bab ini adalah bab yang paling penting serta paling bagus kajian atau bahasannya, lebih-lebih lagi syubhat kaum tasawuf adalah syubhat yang paling banyak tersebar dan mudah memperdaya orang-orang awam yang jauh dari ilmu yang benar.
Pada bab tersebut sangat bermanfaat menjadi bekal dalam menghadapi ajaran-ajaran khurafat, takhayyul, dan dongeng-dongeng khayalan kaum sufi. Perbahasan penulis pada bab tersebut diawali dengan menjelaskan hakikat tasawuf dan ajaran sufi.
Beberapa ulama terdahulu (Salaf) juga memberikan isyarat dan perhatian khusus terhadap kitab ini. Di antaranya adalah Al-Imam As-Suyuthi rahimahullah yang menyebutkan di dalam kitab Nazhmul ‘Iqyan (hlm. 49). Kemudian, dikhabarkan Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) juga telah membuat ringkasan bagi kitab Talbis Iblis ini namun belum ditemukan (manuskripnya).
Buku ini amat sesuai dan sangat diharapkan dapat memberikan manfaat yang banyak dalam keadaan sosial masyarakat hari ini yang telah banyak tercemari dengan pelbagai hal yang bersifat takhayyul, khurafat, dan khayalan.
Kerana itulah, kami mengajak para ahli ilmu, para pengkaji, para penuntut ilmu, dan para pencari kebenaran agar bersemangat untuk memiliki dan menela’ah kitab ini, kerana kitab ini adalah termasuk sebaik-baik kitab yang membawa tema “Talbis Iblis” (tipu-daya iblis).
Tentang Penulis (Ibnul Jauzi)
Al-Imam Adz-Dzahabi rahimahullah (Wafat: 748H) berkata:
“Beliau unggul dalam ilmu tafsir, nasihat, dan sejarah. Juga dalam ilmu hadis, beliau memiliki pengetahuan yang sempurna pada matan-matannya.”
Al-Imam Ibnul Jauzi rahimahullah terkenal piawai dalam memberikan nasihat. Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) menyatakan:
“Ibnul Jauzi memiliki keunggulan dalam bidang pidato yang tidak dapat dikalahkan siapa pun (pada zamannya). Kecerdasannya tidak tertandingi dalam bidang ini; sama ada dinilai dari sisi kaedah, pilihan perkataan, kefasihan, ketinggian bahasa (balaghah), keindahan susunan kalimat, kebijaksanaan dalam mempengaruhi pendengar, kedalaman makna yang mempersona, serta pendekatan terhadap sesuatu yang asing dengan hal-hal realiti yang beliau tuangkan dalam ungkapan singkat yang mudah difahami dan mudah dicerna, iaitu menghimpun makna yang luas menjadi kalimat yang sederhana.”
Namun, Ibnul Jauzi rahimahullah dikenal memiliki beberapa kesalahan dalam perkara menetapkan nama-nama dan sifat-sifat Allah. Sebagaimana ditegaskan oleh Al-Hafiz Ibnu Rajab Al-Hanbali (795H) dalam Adz-Dzail ‘ala Thabaqatil Hanabilah (1/4141), bahawa Ibnu Rajab berkata:
“Terkait permasalahan ini, para ulama telah mengingkari Ibnul Jauzi dengan keras. Kerana beliau telah salah dalam permasalahan takwil, padahal pengetahuannya tentang hadis-hadis dalam masalah ini bergitu luas, akan tetapi beliau tidak mampu merungkai syubhat-syubhat Mutakallimin (ahli kalam dan para pemuja akal).”
Oleh kerana itu, Al-Imam Adz-Dzahabi telah berkata di dalam kitab Siyar A’lamin Nubala’ (21/368):
“Aduhai, sekiranya Ibnul Jauzi tidak menyibukkan diri dengan takwil dan tidak menyelisihi imamnya (para ulama salaf).”
Pada akhir kitab ini, disebutkan komentar-komentar tambahan (oleh pentahqiq) yang menjelaskan sikap Ibnul Jauzi terkait nama-nama dan sifat-sifat Allah ‘Azza wa Jalla. Mudah-mudahan Allah memaafkan dan mengampuninya.
Semoga bermanfaat.