Judul: Ar-Rahiq Al-Makhtum - Sirah Nabi, Perjalanan Hidup Insan Yang Agung | Judul Asal (‘Arab): Al-Rahiq Al-Makhtum | Penulis/Penyusun: Syaikh Shofiyurahman Al-Mubarakfuri rahimahullah | Tahqiq/Takhrij: Penyusun | Penterjemah: Muslim Abdul Razak | Penerbit: Kemilau Publika (Selangor) | Berat: 1258g| Muka Surat: 649 m/s. (Hard cover) | Ukuran buku: 26.2cm (tinggi) x 18.7cm (lebar) x 3.5cm (tebal) | ISBN: 978-967-3610-97-6 |
Meneladani Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam merupakan salah satu tanda murninya kecintaan dan lurusnya keimanan. Untuk melahirkan sebuah kecintaan sudah tentu memerlukan sebuah cetusan atau faktor pendorong yang baik. Di antara faktor pendorong tersebut adalah dengan menela’ah, mempelajari dan merenungi sirah perjalanan kehidupan beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang merangkumi detik kelahirannya, akhlaknya, keperibadiannya, perkataan-perkataannya, perjuangannya, dan jalan hidupnya dalam mengabdi kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Atas alasan tersebut, berikut adalah sebuah buku dalam kategori tersebut, yang menyusun sirah perjalanan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam bentuk penyampaian yang mudah difahami dan sitematik tanpa mengabaikan aspek-aspek sumber ambilan fakta dan keabsahan riwayat.
Buku ini telah memenangi tempat pertama pertandingan penulisan buku sirah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam anjuran Rabithah Alam Islami (Liga Dunia Islam) di Makkah Al-Mukarramah.
Kenapa Harus Mengenal Sirah Nabi?
Umumnya, membaca dan menghayati sirah/sejarah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bukanlah sekadar sebagai bahan bacaan dan untuk mendapatkan informasi berkenaan Rasulullah, tetapi lebih dari itu semua. Iaitu bertujuan untuk meneladani sifat dan tatacara kehidupan beliau dalam segala perkara, mengambil ‘ibrah (iktibar/pelajaran) darinya dan menerapkannya dalam kehidupan seharian kita.
Bahkan lebih dari itu, memahami dan menelusuri kisah-kisah beliau akan menjadikan kita mengenal beliau dengan lebih dekat sehingga melahirkan rasa cinta terhadap beliau yang mana mencintai beliau adalah merupakan satu tanda keimanan. Tidak-lah kita mencintai beliau dengan kecintaan yang benar melainkan akan dikurniakan Allah ke hati-hati kita nikmat manisnya iman. Kata Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَلَدِهِ وَوَالِدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ
“Tidaklah beriman salah seorang dari kalian sehingga aku lebih dicintai dari orang tuanya, anaknya sendiri, dan manusia seluruhnya.” (Shahih al-Bukhari, no. 15. Muslim, no. 44)
Di hadis yang lain, kata beliau lagi:
ثَلاَثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلاَوَةَ الإِيمَانِ: أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا، وَأَنْ يُحِبَّ المَرْءَ لاَ يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ
“Tiga perkara yang sesiapa memilikinya, ia akan merasa manisnya iman. Iaitu Allah dan Rasul-Nya menjadi yang paling dicintainya dari selain keduanya, mencintai seseorang kerana Allah semata-mata, dan benci jika dikembalikan kepada kekufuran sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api neraka.” (Shahih Al-Bukhari, no. 16)
Maka, di antara wasilah mendapatkan rasa cinta terhadap Rasul-Nya, yang sekaligus menjadi jalan menunju Allah, adalah dengan menekuni perjalanan hidup dan siri dakwah beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Bukan hanya sekadar omongan kosong cinta dan kasih, tetapi tiada penghayatan dan tidak memiliki ilmu tentangnya. Sebaliknya kecintaan perlulah diiringi dengan dukungan dengan ilmu dan kefahaman dari sumber yang benar, dengan pengenalan, dan dengan mengikuti ajaran yang beliau sampaikan.
Semoga bermanfaat.