Masalah pendidikan boleh dikatakan termasuk masalah yang paling rumit yang dihadapi oleh para ibu/bapa, institusi pendidikan dan pengajaran, dan pakar-pakar psikologi.
Solusi-solusi yang akan kami ketengahkan melalui hasil perbahasan buku ini (yang judul asalnya: Ushuul Tarbiyatil Abnaa’ wal Banaat fii Dhau’il Qur’aan was Sunnah) menyentuh aspek Islam dari sumbernya.
Ibu/bapa adalah orang-orang yang bertanggung jawab penuh terhadap pendidikan anak-anak mereka. Manakala para orangtua perlu konsisten memegang konsep Islam dalam mendidik anak-anak mereka, insyaAllah mereka akan melahirkan anak-anak yang tumbuh dalam keislaman yang diberkahi.
Tetapi sebaliknya, jika dari kedua ibu/bapanya tidak konsisten dalam memberi pendidikan dan penjagaan terhadap anak-anak mengikut didikan Islam yang benar, maka di sana nantilah punca kepada masalah akan berkembang. Kerana guru utama bagi setiap anak-anak adalah kedua ibu/bapanya. Merekalah yang mencorakkan peribadi, karektor, dan jatidiri seorang anak. Bagaimana aqidahnya, ibadahnya, akhlaknya, dan pendidikan-pendidikan lainnya.
Ini adalah sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
مَا مِنْ مَوْلُودٍ إِلَّا يُولَدُ عَلَى الفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ، أَوْ يُمَجِّسَانِهِ، كَمَا تُنْتَجُ البَهِيمَةُ بَهِيمَةً جَمْعَاءَ، هَلْ تُحِسُّونَ فِيهَا مِنْ جَدْعَاءَ
“Tidak ada bayi yang dilahirkan melainkan dalam keadaan fitrah (Islam), lalu ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, atau Nasrani (Kristian), atau Majusi, sebagaimana seekor haiwan ternakan melahirkan anaknya yang sempurna sifat, adakah kamu rasa akan ada yang mejadikannya cacat dengan sendirinya?!” (Shahih al-Bukhari, 1358. Muslim, no. 2658)
Di samping itu, ibu/bapa jugalah yang menjadi contoh dan idola pertama bagi anak-anak. Mereka perlu menunjukkan akhlak dan contoh terbaik. Sekiranya mereka gagal memberi contoh dan tauladan yang baik, maka anak-anaklah yang bakal menerima dan menyerap kesannya.
Setelah itu, ibu/bapa juga wajib mengetahui hak-hak dan kewajiban anak-anak, kemudian melaksanakannya bersesuaian dengan perintah Allah Ta‘ala dan Rasul-Nya Shallallahu 'alaihi wa Sallam dengan cara bertahap dan konsisten, dengan kesabaran, dengan ilmu yang benar, sehinggalah mereka membesar menjadi pemuda dan pemudi yang matang.
Ditambah lagi dengan suasana hari ini yang begitu mencabar dalam membina peribadi anak-anak disebabkan banyaknya pengaruh dan faktor persekitaran yang kurang kondusif dan jauh dari nilai-nilai Islam, maka ibu/bapa perlu lebih tegas dan prihatin. Jangan terlalu bergantung kepada orang lain, sebaliknya ibu dan bapalah yang perlu lebih dahulu berusaha memperbaiki diri dan menekuni ilmu-ilmu yang benar sebagai bekal pengajaran.
Ketauhilah bahawa ilmu-ilmu Islam yang sahih dari al-Qur'an dan as-Sunnah berserta kesabaran menjadi amat penting sekali. Tidak boleh mengharap kepada orang lain sama ada pengasuh dan orang gaji. Anak-anak perlu dididik oleh insan-insan yang berilmu dan mampu menunjukkan contoh yang baik. Tidak boleh sekadar melepaskan batuk di tangga.
Maka, buku yang kami ketengahkan ini bakal membantu anda untuk tujuan tersebut dan bakal membuka lembaran corak berfikir yang mungkin selama ini jarang diambil berat oleh ibu/bapa. Dan mungkin ada sebahagian perkara yang amat sering dilupakan oleh mereka lantaran sibuk dengan urusan dunia luar.
Perbahasan dalam buku ini terbahagi kepada beberapa tahap. Antaranya adalah sebagaimana berikut:
Tahap sebelum lahir: Bermula sejak dari masa kehamilan sehingga melahirkan, pada umumnya adalah sembilan bulan. Tahap ini memerlukan perhatian dan penjagaan khusus, dan memiliki hukum-hukum yang menjelaskan tentang hak-hak janin (kandungan).
Tahap masa kanak-kanak pertama: Bermula sejak dari awal mula pengasuhan sehingga usia tujuh tahun. Ini merupakan tahapan penting kerana pada tahapan inilah terjadi pertumbuhan fizikal, otak dan mental. Pertumbuhan ini menjadi penentu bagi pertumbuhan berikutnya, kerana pertumbuhan fizikal anak terlihat sangat ketara, pertumbuhan otak terfokus dan akan semakin kuat dengan memberikan uji cuba dan pengalaman yang sesuai dengan kemampuan perkembangan awal otak/pemikirannya.
Pertumbuhan fikiran dalam semua hal bermula dari intelektual, mental, dan karektor serta sosial, bergantung pada fasa pertumbuhan di masa ini. Walaupun tempoh waktunya cukup lama, tetapi kita tidak boleh meremehkannya atau membiarkannya secara nasib atau kebetulan; sebaliknya perlu kepada bimbingan dan penjelasan terhadap apa yang berlaku di persekitaran mereka.
Kemudian diikutilah ke fasa-fasa seterusnya, seperti fasa kanak-kanak, fasa remaja, dan fasa pendewasaan/pe-matangan. Semua ini amat memerlukan komitmen yang sungguh-sungguh dari peringkat ibu/bapa, keluarga, para guru, masyarakat, dan institusi pendidikan.
InsyaAllah, buku ini bakal membantu para pembaca, khususnya para ibu/bapa yang bersungguh-sungguh untuk mendidik anak-anak mereka dengan methode dan pendidikan Islam. Mengikuti methode al-Qur'an, as-Sunnah, dan petunjuk yang dijelaskan oleh Rasulullah, para sahabatnya, dan para ulama semenjak generasi awal hingga kini. InsyaAllah.