Judul: Kisah Shahih Para Nabi | Judul Asal: Shahih Qishahul Anbiya' | Penulis: Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) | Tahqiq/Takhrij: Asy-Syaikh Salim bin Ied Al-Hilali | Penerbit: Pustaka Imam Asy-Syafi'i | Berat: 2.8kg | Muka surat: 2 Jilid lengkap (Hard Cover)
“Kami menceritakan kepadamu (wahai Muhammad), kisah yang paling baik dengan mewahyukan Al-Qur’an ini kepadamu. Dan sesungguhnya, engkau sebelum itu termasuk orang yang tidak mengetahui.” (Surah Yusuf, 12: 3)
Dari keterangan ini maka kita pun mengetahui bahawa dari Al-Qur’an itu mengandungi kisah-kisah yang menakjubkan dari kisah-kisah benar orang-orang terdahulu. Yang sebahagian darinya adalah kisah-kisah para Nabi dan Rasul bersama-sama umat-umat mereka. Kisah-kisah yang penuh teladan atau iktibar sebagai pedoman dan panduan.
Allah Subhanahu wa Ta’ala juga berfirman:
“Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al-Qur’an itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk serta rahmat bagi kaum yang beriman.” (Surah Yusuf, 12: 111)
Kemudian dalam ayat yang lain, Allah Ta’ala berfirman:
“Maka ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir.” (Surah Al-A’raaf, 7: 176)
Dalam perumpamaan ada pelajaran dan tanda-tanda bagi orang-orang yang mahu berfikir. Jika mereka mahu memikirkan, mereka akan mengetahui. Dan bila mereka telah mengetahui, mereka pun akan mengamalkan.
Ada pelajaran bagi orang yang berbuat baik dan ada pula bagi yang berbuat keburukan. Sesiapa yang melakukan perbuatan seperti orang yang sebelumnya, dia akan mendapat yang semisal dengannya. Orang yang berbuat baik akan mendapat kemuliaan, manakala yang berbuat kejahatan akan mendapat kehinaan.
Di dalamnya juga ada pelajaran bahawa Allah memiliki sifat-sifat kesempurnaan dan hikmah yang agung, serta Dia sahajalah yang berhak diibadahi tanpa ada sekutu bagi-Nya.
Kisah, cerita, legenda, atau yang seumpamanya memang selalu memberikan kesan menakjubkan bagi hati para pendengarnya. Terkadang seseorang akan lebih mudah memahami sesuatu dengan disampaikan kepadanya contoh peristiwa atau cerita.
Bahkan sepertiga kandungan Al-Qur’an itu terisi dengan kisah-kisah orang terdahulu sama ada yang soleh, mahupun yang derhaka. Ini tidak lain adalah kerana rentetan peristiwa tersebut mampu memberikan contoh nyata dan pelajaran berharga kepada para pendengarnya.
Karya tulis yang mengungkap kisah-kisah para Nabi dan orang-orang terdahulu memang banyak. Namun amat sedikit dari karya-karya tersebut yang benar-benar memuatkan hanya kisah-kisah yang sahih dan boleh diterima pakai. Iaitu kisah-kisah yang benar-benar diambil dari wahyu baik Al-Qur’an mahupun As-Sunnah yang autentik. Sebaliknya sangat banyak sekali buku-buku yang tersebar saat ini mengisahkan cerita-cerita para Nabi ini bersumberkan hanya dari kisah-kisah mitos, khayalan, mimpi, riwayat-riwayat isra’iliyat, mahupun hadis-hadis yang palsu. Sehingga akhirnya masyarakat pun tertipu dan menganggap benar-benar kisah-kisah yang hakikatnya adalah palsu dan tidak diketahui keabsahannya.
Kitab Qishahul Anbiyaa’ yang disusun oleh Al-Hafiz Ibnu Katsir ini adalah sebuah kitab sejarah yang sangat mengangumkan. Beliau memaparkan ulasan sejarah dari manusia pertama; Adam, sampai ke Nabi ‘Isa ‘alahis Salaam. Manakala sirah atau kisah Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam beliau susun dan siapkan dalam kitab tersendiri secara berasingan.
Dalam menulis kitab ini, Ibnu Katsir menggunakan methode yang sah dan terpercaya. Beliau berpedoman pada penjelasan-penjelasna yang tertera dalam Al-Qur’an dan hadis-hadis mutawatir. Penulis tidak bersandar kepada hadis-hadis yang maudhu’ (palsu), dan hanya sesekali merujuk hadis-hadis yang dha’if sebagai dukungan atau sokongan tambahan, itu pun jarang sekali.
Manakala riwayat-riwayat isra’iliyyat (riwayat dari ahli kitab), beliau tampilkan secara jujur dengan menyebutkan statusnya sebagai kisah-kisah yang bersumber dari isra’iliyyat. Sehingga para pembaca pun menjadi tahu, mana kisah yang berasal dari Al-Qur’an dan hadis yang sahih, dan mana pula kisah yang bersumber dari riwayat-riwayat isra’iliyyat.
Buku “Kisah Para Nabi” karya Ibnu Katsir ini mengajak kita semua untuk menyelami dan menghayati pelbagai peristiwa di masa lampau agar dapat dijadikan ibrah (pelajaran), pedoman, dan pedoman hidup sehingga kita pun mampu memilih jalan hidup yang selamat; dengan mengikuti jejak-jejak para Nabi dan orang-orang soleh, sekaligus menjauhi jalan-jalan dan perlakuan buruk para umat terdahulu yang derhaka.
Semoga kita semua mendapat manfaat dan faedah yang banyak dari kitab ini.
Edisi ini hadis dari terjemahan tahqiq Asy-Syaikh Salim bin Id Al-Hilali.