Judul: Bangkit dan Runtuhnya Andalusia, Jejak Kejayaan Peradaban Islam di Sepanyol | Judul Asal (‘Arab): Qishshatul Andalus min Al-Fath ilas Suquth | Penulis: Dr. Raghib As-Sirjani | Tahqiq/Takhrij: Penyusun | Penterjemah: Muhammad Ihsan & Abdul Rasyad Shiddiq | Penerbit: Pustaka Al-Kautsar | Berat: 1.2kg | Muka Surat: 879 m/s. (Soft cover) | Ukuran buku: 24.5cm (tinggi) x 16.7cm (lebar) x 4.2cm (tebal) | ISBN: 978-967-4390-01-3 |
Sejarah Andalusia membukukan kisah-kisah kegemilangan kaum muslimin yang berjaya menaklukkan wilayah di benua Eropah. Sejarah kegemilangan, kejayaan, dan peradabannya tertulis dengan tinta emas. Ketika wilayah Andalusia, [yang saat ini terletak di Spanyol dan sebahagian kecil dari wilayah Portugal] berada di bawah kekuasaan kaum muslimin, jejak-jejak kecemerlangan peradaban mereka menjadi rujukan bangsa-bangsa Eropah.
Banyak ilmuwan dan ulama yang ahli dalam pelbagai bidang muncul di sana. Mereka pada saat itu memacu kegemilangan dalam ilmu dunia yang gilang-gemilang di saat bangsa Eropah masih dalam kemunduran. Negeri yang terang-benderang dengan gemerlapan lampu-lampunya, di saat negara-negara barat masih dalam kegelapan. Ketika orang-orang barat masih mandi dan buang air di pinggir-pinggir jalan, peradaban Islam di Andalus telah maju jauh ke depan, sistem airnya mengalir ke rumah-rumah. Bahkan kebangkitan negara-negara barat setelah itu banyak mengambil rujukan dari kaum muslimin di Andalus!
Andalusia berada di bawah kekuasaan kaum muslimin selama kurang lebih 800 tahun atau 8 abad lamanya. Dari tahun 92H/711M hingga tahun 797H/1492M. Kekhilafahan Islam dan dinasti-dinasti kaum muslimin berjaya mengubah wilayah di dataran Eropah saat itu menjadi simbol kegemilangan peradaban dan kekuatan kaum muslimin. Para sejarawan yang mengkaji Andalusia banyak menceritakan, bagaimana umat Islam yang muncul di wilayah itu berjaya memberikan sumbangsih bagi peradaban dan ilmu pengetahuan ke segala penjuru Eropah.
Jika hari ini kita mengenal kota-kota indah seperti Barcelona, Madrid, Valencia, Sevilla, Granada, Malaga, Cordova, dan sebagainya yang tersohor di Spanyol sebagai basis kelab-kelab bola sepak ternama yang menjadi tumpuan dunia, maka ketahuilah bahawa pada masa lalu kota-kota tersebut pernah dihuni oleh kaum muslimin, dan berada di bawah pemerintahan Islam. Islam pernah bersinar di sana, dan cahayanya pernah menerangi dunia. Sumbangan tokoh-tokoh Islamnya menyebar dari sana ke seluruh dunia.
Kota-kota di Andalusia pada masa lalu juga menjadi pusat-pusat ilmu pengetahuan dengan pelbagai perpustakaan yang megah dan ulama-ulama yang terkenal. Masjid-masjid berdiri megah, simbol-simbol keislaman tersebar di mana-mana. Begitulah keadaan negeri Andalusia pada masa lalu, negeri yang sampai hari ini masih tak lekang dari ingatan kaum muslimin, meskipun sejarahnya kini telah berubah. Walaupun ia kian tenggelam seakan tidak meninggalkan bekas di sana. Masjid-masjidnya telah berubah menjadi gereja. Allaahul musta’aan, sangat disayangkan.
Lebih menyakitkan, orang-orang kafir yang dulunya telah menjatuhkan kaum muslimin di sana kini disanjung dan dijulang atas nama bola sepak, hiburan, musik dan semisalnya.
Buku ini adalah sebahagian dari jejak rakaman sejarah tersebut, tentang bangkit dan runtuhnya kekuasaan Islam di Andalusia pada masa lalu. Buku yang sangat penting bagi mereka yang ingin mengetahui bagaimana Islam mampu berkuasa dan berkembang di daratan Eropah! Dan bagaimana pula mereka boleh runtuh seakan tidak meninggalkan bekas. Banyak sekali pengajaran dan faedah yang boleh kita ambil dan pelajari sebagai pedoman.
Semoga bermanfaat.