Judul: Shahih Hadits Qudsi dan Syarahnya | Judul Asal (‘Arab): Shahih al-Ahaadiits Al-Qudsiyyah | Penulis: Syaikh Ishamuddin Ash-Shababithi | Ta’liq/Takhrij/Tahqiq: Syaikh Ishamuddin Ash-Shababithi | Penerbit: Pustaka Imam Asy-Syafi’i | Penterjemah: Umar Mujtahid | Berat: 1400gram | Muka Surat: 759m/s. (Hard cover)
Sebahagian orang mungkin belum biasa atau mungkin belum mengenal istilah hadis qudsi. Mereka lebih mengenal istilah hadis Nabi secara umum. Benar, memang ada sedikit perbezaan antara hadis qudsi dengan hadis Nabi yang lainnya. Namun keduanya sama-sama berasal dari redaksi yang disampaikan oleh Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam. Bezanya, hadis Nabi adalah hadis yang redaksi dan maknanya bersumber dari Rasulullah, sedangkan hadits qudsi adalah hadis yang diriwayatkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dari Allah dan penisbatan perkataannya juga dari Allah, tetapi bukan dengan rangkaian, susunan, serta kemukjizatan seperti Al-Qur’an.
Jika demikian, jadi apa bezanya antara hadis qudsi dengan Al-Qur’an?
Al-Quran adalah Kitab suci yang diturunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada Rasul-Nya, Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melalui Malaikat Jibril dengan jalan periwayatan yang mutawatir, sebagai mukjizat, dan bernilai ibadah bagi yang membacanya. Sedangkan hadis qudsi tidak memiliki sifat-sifat tersebut. Ringkasnya, Al-Qur’an berisi firman Allah Subhanahu wa Ta’ala yang makna dan redaksinya bersumber dari Allah, sementara hadis qudsi, maknanya dan redaksinya juga dari Allah namun ia bukan mukjizat seperti Al-Qur’an, membacanya tidak mendapat pahala sebagaimana Al-Qur’an, sumber periwayatannya pun berbeza dengan Al-Qur’an, dan ia tidak dibaca di dalam solat sebagaimana Al-Qur’an.
Adapun dari segi penentuan kesahihan, antara hadis qudsi dan hadis-hadis Nabi yang lainnya adalah sama. Berbeza dengan A-Qur’an yang tingkat kesahihannya tidak ada yang meragukannya. Dengan sebab itu, di antara hadis qudsi terdapat hadis dengan riwayat yang sahih, riwayat yang hasan, riwayat yang dha’if (lemah), bahkan riwayat yang maudhu’ (palsu). Hal yang sama ditemukan juga pada hadis-hadis Nabi yang lainnya. Oleh sebab itu, usaha para ulama yang membuat penilaian dan penelitian terhadap hadis-hadis qudsi yang sahih perlu dihargai dan diambil penting.
Buku ini adalah salah satu bukti dari usaha tersebut. Buku ini bagi edisi asalnya yang berbahasa ‘Arab, judulnya adalah Shahih Al-Ahaadits Al-Qudsiyah. Ia adalah sebuah buku yang mengumpulkan hadis-hadis qudsi yang berkuali sahih berserta dengan ta’liq (catatan) atau syarahnya. Syaikh Ishamuddin Ash-Shababithi, yakni penulis buku ini, beliau telah berjasa besar dalam membentangkan buku ini secara tematik berserta penjelasannya yang disampaikan secara analisa dengan bentuk penyampaian bercorak dakwah. Sehingga apabila kita membacanya, jiwa kita akan ikut hanyut dan hati kita tersentuh dengan pesan-pesan indah yang terkandung di dalamnya sampai-sampai kita pun mudah terdorong untuk mengamalkannya.
Perlu digaris bawahi bahawa kandungan hadis qudsi berbeza dengan kandungan-kandungan hadis Nabi yang lainnya. Hadis qudsi memiliki keistimewaan tersendiri. Hadis yang kandungannya berisi firman Allah Subhanahu wa Ta’ala menjadikan hadis qudsi ini samudera ilmu pengetahuan yang dihamparkan oleh Rabb semesta alam untuk mengisi ruang-ruang hati manusia agar terhindar dari gejolak hawa nafsu yang membawa penyesalan dan kehinaaan di dunia dan di akhirat.
Tema buku ini terbahagi menjadi 19 bab. Meliputi masalah aqidah, tauhid dan iman, solat, infaq, zakat, sedekah, puasa, haji, amar ma’ruf nahi munkar, jihad di jalan Allah, larangan Allah, dzikir dan doa, taubat, kematian dan siksa kubur, kiamat, syafa’at, melihat Allah di hari Kiamat, Rahmat Allah, Syurga, kebajikan dan akhlak al-karimah, para nabi, orang terdahulu, peristiwa akhir zaman, dan fadhilat (keutaman-keutamaan).
Semuanya dijabarkan oleh penulis dengan mencantumkan sub-sub perbahasan. Dan di setiap sub perbahasan disertakan beberapa hadis yang mendukungnya. Selain itu, penulis juga mencantumkan kosa kata untuk kata-kata yang sukar difahami dari hadis qudsi yang dicantumkannya. Kemudian beliau menghuraikan maknanya sehingga kandungannya dapat dihayati, difahami dan diamalkan oleh setiap orang yang membacanya. Dan inilah antara yang menjadikan buku ini menarik untuk disemak, kerana penulis secara langsung mengkategorikan hadis-hadis qudsi yang dicantumkannya seiring dengan temanya sekaligus menghuraikan kandungan maknanya.
Tidak berlebihan jika dikatakan bahawa buku ini termasuk bimbingan rohani bagi setiap manusia dari Rabb Yang Maha Mulia setelah Kitab Allah (Al-Qur’an) berikut kandungannya yang sarat dengan hadis-hadis qudsi yang sahih.
Tatkala membaca buku syarah shahih hadis qudsi ini, seolah-olah kita sedang meneliti dialog antara Rabb dengan makhluk-Nya. Dan apabila kita menghayati dan mempelajarinya, tentu kita akan merasa sebahagian dari orang yang dimaksud di dalamnya. Dengan demikian, kita akan merasa rindu untuk terus-menerus berharap redha-Nya, merasa takut akan ancaman dan seksa-Nya, dan merasa resah jika ditinggalkan-Nya.
Semoga bermanfaat.