Judul: At-Tadzkirah, Bekal Menghadapi Kehidupan Abadi | Judul Asal (‘Arab): At-Tadzkirah Fi Ajwaali Al-Mauta wa Umuri Al-Akhirih | Penulis: Al-Imam Syamsuddin Al-Qurthubi rahimahullah (Wafat: 671H) | Ta’liq/Takhrij/Tahqiq: Abu Al-Bara’ Khalid bin Muhammad bin ‘Utsman | Penerbit: Pustaka Al-Kautsar | Penterjemah: H. Anshori Umar | Berat: 2284gram | Muka Surat: 788 m/s. + 708 m/s. (Hard cover, 2 jilid lengkap)
DUNIA ini hanyalah sebuah persinggahan. Ia tidak lebih ibarat sebuah tempat berteduh dan bernaung. Tidak akan lama kita bernanung di dalamnya. Hanya sebentar. Sebagaimana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri bersabda:
مَا لِي وَلِلدُّنْيَا، مَا أَنَا فِي الدُّنْيَا إِلَّا كَرَاكِبٍ اسْتَظَلَّ تَحْتَ شَجَرَةٍ ثُمَّ رَاحَ وَتَرَكَهَا
“Apalah urusanku dengan dunia ini, tidaklah keberadaan aku di dunia ini melainkan seperti seorang yang menempuh suatu perjalanan lalu berteduh (barang sebentar) di bawah sebatang pohon, lalu kemudian pergi meninggalkannya.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2377)
Kerana setelah itu, sebuah perjalanan keabadian harus kita jalani. Keabadian yang benar-benar abadi. Dalam keabadian itu pada akhirnya kita hanya akan dihadapkan pada dua pilihan; kebahagiaan abadi atau kesengsaraan abadi. Pada saat itulah, kita benar-benar meyakini bahawa dunia ini tidak lebih berharga dari sehelai sayap nyamuk. Maka, tidaklah menghairankan mengapa pesan-pesan Allah dan Rasul-Nya selalu saja mengajak kita untuk menumpukan segenap perhatian pada masa-masa keabadian tersebut.
Dalam salah satu hadis, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menggambarkan sikap terbaik yang seharusnya dilakukan saat menjalani kehidupan dunia ini, iaitu Sabda beliau:
“Hiduplah di dunia ini seperti orang asing atau penyeberang jalan.”
Bersikap sebagai orang asing di dunia tentu akan selalu menyedarkan kita bahawa dunia bukanlah negeri kita yang sesungguhnya. Kita asing di sini. Dan kelak suatu saat, keterasingan itu akan berakhir. Kita akan pergi menuju kehidupan yang sesungguhnya, iaitu kehidupan akhirat.
Hal yang sama juga akan berlaku, ketika kita menjadi sebagai seorang “penyeberang jalan.” Tidak ada seorang penyeberang jalan pun yang berfikir untuk tinggal selamanya di jalan yang dia seberangi. Dia akan bergegas. Kerana dia telah mempunyai tujuan yang pasti. Dunia hanyalah tempat melintas. Tidak lebih dan tidak kurang. Maka, jiwa seorang mukmin selama di dunia adalah jiwa “pelintas jalan,” yang tak pernah sedetik pun berfikir akan mengalami keabadian di dini.
Hanya saja, gemerlap dunia dan keasyikan yang kita jalani, seringkali membuat kita lupa untuk menjalankan dua sikap tersebut. Tanpa disedari, jiwa kita terbuai hingga akhirnya menganggap di sinilah keabadian itu, dan bukan di akhirat. Kerananya, sangat tepat bila Al-Imam Al-Qurthubi menghamparkan At-Tadzkirah (Sebuah peringatan) ini untuk kita.
Membaca At-Tdzkirah karya Al-Imam Al-Qurthubi ini akan membawa jiwa dan fikiran kita “terbang” melintasi masa depan kita yang sesugguhnya. Di-awali dengan perbahasan tentang kematian dan semua hal serta peristiwa yang terjadi di sekitarnya, kemudian memasuki alam kubur hingga akhirnya memasuki gerbang Hari Kebangkitan; Al-Imam Al-Qurthubi benar-benar akan membuat kita hanyut dalam semua kedahsyatan, kengerian, sekaligus keindahan yang terjadi di sana. Hingga akhirnya (yakni pada bahagian akhir karyanya ini), Al-Qurthubi rahimahullah mengajak kita menyelami peristiwa-peristiwa dahsyat yang akan terjadi menjelang Hari Akhir itu. Semuanya dipaparkan dengan lengkap, serta menggabungkan sisi keilmiyahan dan sisi penggugah jiwa yang lalai.
At-Tadzkirah ini memang sesuai dan wajar menjadi salah satu bekal kita untuk menghadapi kehidupan abadi. Seharusnya setiap rumah kaum muslimin harus menyediakan tempat untuk kehadiran buku ini di tengah mereka. Harus ada waktu untuk membaca dan merenungkannya, agar kita berhasil melahirkan peribadi yang berjiwa “orang asing” atau “pelintas jalan” di dunia fana ini. Sebab, kesedaran akan adanya kehidupan abadi di akhirat tidak akan lahir tanpa jiwa-jiwa seperti itu...
Kitab At-Tadzkirah
Kitab “At-Tadzkirah Fi Ahwal Al-Mauta wa Umur Al-Akhirah” ini dikenal dengan “At-Tadzkirah Al-Qurthubi.” Dikategorikan dalam kelompok kitab-kitab ilmu tasawuf (bagi sebahagian orang) atau tazkiyatun nufus, dan merupakan karya Abu ‘Abdillah Muhammad bin Ahmad bin Abu Bakar Al-Anshari Al-Khazraji Al-Andalusi Al-Qurthubi Al-Maliki, wafat tahun 671H/1273M.
Dalam kitab ini, pengarangnya (yakni Al-Qurthubi) mengulas tentang kematian dan hal ehwal orang-orang mati, tentang Syurga dan Neraka, dan peristiwa-peristiwa yang berkaitan dengan Al-Masih Ad-Dajjal, Dabbah (haiwan melata yang muncul di akhir zaman), Ya’juj dan Ma’juj, dan lain-lain.
Karya Al-Qurthubi ini telah dicetak berkali-kali di pelbagai negara. Adapun manuskrip-manuskripnya yang menjadi rujukan pentahqiq bagi edisi ini adalah seperti:
>> Manuskrip di Darul Kutub Azh-Zhahiriyah, no.1371, Tasawuf 45.
>> Empat dokumen lainnya terdapat di Darul Kutub tersebut.
>> Sebuah manuskrip di gudang kitab Madrasah Al-Ahmadiyah di Halab.
>> Satu dokumen terdapat di Maktabah An-Nashiriyah, Tehran.
Dan ini adalah hasil terjemahannya.
Al-Imam Al-Qurthubi berkata pada muqaddimah kitabnya ini:
“Segala puji bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala Yang Maha Tinggi lagi Maha Luhur, Dia-lah Pemimpin Yang Maha Kuasa, Yang telah menciptakan lalu menghidupkan, Yang telah memutuskan seluruh makhluk-Nya pasti mengalami kematian dan kehancuran, dan akan membangkitkan kembali dan mengirimkan mereka ke negeri pembalasan, yakni pengadilan dan keputusan, “agar supaya tiap-tiap diri dibalas bersesuaian apa yang diusahakannya.” (Surah Thaha, 20: 15)
Sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala pada ayat lain:
إِنَّهُ مَنْ يَأْتِ رَبَّهُ مُجْرِمًا فَإِنَّ لَهُ جَهَنَّمَ لَا يَمُوتُ فِيهَا وَلَا يَحْيَى (74) وَمَنْ يَأْتِهِ مُؤْمِنًا قَدْ عَمِلَ الصَّالِحَاتِ فَأُولَئِكَ لَهُمُ الدَّرَجَاتُ الْعُلَى (75) جَنَّاتُ عَدْنٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَذَلِكَ جَزَاءُ مَنْ تَزَكَّى
“Sesungguhnya sesiapa datang kepada Rabb-nya dalam keadaan berdosa, maka sesungguhnya baginya Neraka Jahannam. Dia tidak mati di dalamnya dan tidak (pula) hidup. Dan sesiapa datang kepada Rabb-nya dalam keadaan beriman, lagi sungguh-sungguh telah beramal soleh, maka mereka itulah orang-orang yang memperolehi tempat-tempat yang tinggi (mulia), (iaitu) Syurga ‘Adn yang mengalir sungai-sungai di bawahnya, mereka kekal di dalamnya. Dan itu adalah balasan bagi orang yang bersih (dari kekafiran dan kemaksiatan).” (Surah Thaha: 74-76).
Sesungguhnya saya telah berfikir untuk menulis sebuah kitab yang ringkas, yang dapat menjadi peringatan bagi diriku sendiri, dan menjadi amal soleh setelah aku mati. Iaitu, kitab yang membicarakan tentang kematian dan hal-ehwal orang-orang mati, penghimpunan dan kebangkitan, Syurga dan neraka, prahara dan tanda-tanda datangnya kiamat. Sebuah kitab yang isinya saya ambil dari kitab-kitab para ulama terkemuka dan tokoh-tokoh terpercaya dari umat ini, bersesuaian dengan apa yang saya ketahui riwayatnya.
Penisbatan riwayat tersebut akan anda lihat dengan jelas di dalam kitab ini, insya-Allah. Lalu saya pun beri judul kitab ini: “At-Tadzkirah bi Ahwal Al-Mauta wa Umur Al-Akhirah.”
Kitab ini saya tulis menjadi beberapa bab. Pada setiap bab ada satu atau beberapa pasal, menghuraikan hal-hal yang diperlukan, seperti; penjelasan kedudukan suatu hadis tertentu, keterangan kandungan hadis, atau penjelasan sesuatu yang sukar difahami, guna mencapai kesempurnaan dan kemanfaatan yang lebih besar. Sebab, mendalami hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjadi fokus yang dituju, pemikiran yang terpuji, dan sekaligus menjadi pekerjaan yang membawa pelakunya menuju kedudukan terpuji di hari yang disaksikan (kiamat).
Semoga Allah menjadikan karya ini sebagai amal yang ikhlas demi memperoleh redha-Nya, dan dapat mendekatkan rahmat-Nya, berkat kurnia dan kemurahan-Nya. Tiada Rabb selain Allah, dan tiada yang patut diibadahi selain Dia Yang Mahasuci.”
Beberapa perhatian penting terhadap kitab ini (diringkaskan dari muqaddimah pentahqiq)
Sesungguhnya kitab ini (yakni sebagaimana tampak pada judulnya) berisi peringatan, yang mengetuk hati setiap mukmin, dan mampu melepaskannya dari godaan-godaan dan syahwat-syahwat duniawi. Untuk itu, kitab ini mengingatkan tentang sesuatu yang menunggu-nunggu kedatangan manusia dalam kehidupan yang hakiki, iaitu kehidupan yang dimulakan setelah keluarnya roh dari jasadnya.
Kitab ini berisi keterangan-keterangan terperinci atas penjabaran rukun iman yang kelima, iaitu beriman kepada hari akhirat.
Demikianlah, dan perlu diingatkan di sini, bahawa rincian tentang iman kepada negeri akhirat termasuk perkara ghaib, di mana pedoman satu-satunya untuk mengetahuinya adalah ayat-ayat Al-Qur’an Al-Karim dan hadis-hadis yang sahih isnadnya, sama ada kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mahupun kepada para sahabat radhiyallahu ‘anhum.
Berita-berita tentang mati dan hari kiamat termasuk perkara yang sering dirasuki oleh khabar-khabar, hadis-hadis dan riwayat-riwayat yang dha’if (lemah – tidak sahih), bahkan maudhu’ (palsu) yang dibuat oleh kelompok yang tidak amanah terhadap ilmu. Dalam hal ini, Al-Imam Al-Qurthubi rahimahullah banyak menukil dari kitab karya Abu Hamid Al-Ghazali (Al-Imam Al-Ghazali). Ternyata, kebanyakan hadis-hadis yang dinukil tersebut adalah merupakan hadis-hadis yang maudhu’ (palsu) atau hadis-hadis yang tidak memiliki sumber asal berdasarkan kitab-kitab sunnah. Oleh kerana itu, penelitian pentahqiq (peneliti) terhadap kitab ini difokuskan pada beberapa perkara penting berikut:
1 >> Hadis-hadis yang terdapat asalnya dalam kitab Shahih Al-bukhari dan Shahih Muslim, pentahqiq menjelaskan penisbatannya dengan menyebutkan nombor masing-masing (berdasarkan penomboran standard Muhammad Fu’ad ‘Abdul Baqi).
2 >> Mentakhrij (yakni menjelaskan sumber) hadis-hadis dan atsar-atsar lainnya, dengan menerangkan kedudukannya masing-masing sama ada sahih, hasan atau dha’if (lemah). Dalam perkara ini, sandaran utama pentahqiq adalah kitab-kitab karya Al-‘Allamah Al-Albani rahimahullah. Selain itu, pentahqiq merujuk juga kepada kitab-kitab tentang hadis-hadis maudhu’ (palsu), seperti; Al-Fawa’id Al-Majmu’ah karya Asy-Syaukani, Al-Manar Al-Munif karya Ibnul Qayyim, Al-Maudhu’at wal-‘Ilal Al-Mutanahiyah karya Ibnul Jauzi, dan Al-Ghammaz ‘ala Al-Lumaz karya As-Samhudi, disamping kitab-kitab lainnya seperti kitab-kitab tentang zuhud, dan kitab-kitab karya Ibnu Abi Ad-Dunya, serta kitab-kitab As-Sunan dan Al-Masanid.
3 >> Hadis-hadis dan atsar-atsar yang disebutkan isnadnya oleh Al-Imam Al-Qurthubi; pentahqiq (peneliti) jelaskan kriterianya masing-masing berdasarkan keadaan para perawinya.
4 >> Pentahqiq turut memberikan catatan dan peringatan dalam perkara-perkara yang berlawanan dengan aqidah dan manhaj yang ditempuh para ulama salaf yang soleh, dan sanggahan atas syubhat-syubhat pada kelompok ahli bid’ah, sama ada dari kalangan Asy’ariyah, Mu’tazilah mahupun Shufiyah pada bahagian nota kaki.
Demikianlah, hanya kepada Allah kita memohon taufiq-Nya, dan kepada-Nya jua segala tujuan kita arahkan.
Semoga bermanfaat.