Judul: Harta Haram Dalam Muamalat Kontemporari | Judul Asal (‘Arab): - | Penulis: Dr. Erwandi Tarmizi, MA | Penerbit: BMI Publishing | Berat: 700gram | Muka Surat: 605 m/s.
Para ulama mengingatkan, antaranya dengan perkataan para sahabat radhiyallahu ‘anhum. Kata ‘Umar bin Al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu:
لاَ يَتَّجِرْ فِي سُوقِنَا إلاَّ مَنْ فَقِهَ أَكْلَ الرِّبَا
“Janganlah berniaga di pasar kami melainkan setelah dia benar-benar memahami selok-belok riba.” (Ibnu ‘Abdil Barr, 2/247. Mughni Al-Muhtaj oleh Asy-Syarbini, 6/310)
Dalam riwayat At-Tirmidzi, ‘Umar bin Al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu berkata:
لاَ يَبِعْ فِي سُوقِنَا إِلاَّ مَنْ قَدْ تَفَقَّهَ فِي الدِّينِ
“Tidak boleh berniaga di pasar kami kecuali mereka yang memahami agama (halal haram terkait ilmu perniagaan).” (Sunan At-Tirmidzi, no. 487)
Demikian juga sebagaimana kata ‘Ali bin Abi Thalib radhiyallahu ‘anhu:
مَنْ اتَّجَرَ قَبْلَ أَنْ يَتَفَقَّهَ ارْتَطَمَ فِي الرِّبَا ثُمَّ ارْتَطَمَ ثُمَّ ارْتَطَمَ
“Sesiapa yang berniaga sebelum memahami ilmu agama, maka dia pasti akan terjerumus ke dalam riba, kemudian dia akan terjerumus ke dalamnya dan terus terjerumus.” (Mughni Al-Muhtaj oleh Asy-Syarbini, 6/310)
Alhamdulillah, ini adalah sebuah buku yang ditulis bagi membahas pelbagai persoalan mu’amalah harta. Penulis menghimpun pelbagai persoalan mu’amalah kontemporari yang sering menjadi tanda tanya pelbagai pihak hari ini dan jarang ditemukan jawaban serta buku-buku yang mengupasnya.
Penulis membahaskannya secara ilmiyah dengan jawaban yang memuaskan, alhamdulillah. Di antaranya adalah sekitar isu riba, perbankan, halal-haram dalam jual-beli, insurans, pengiklanan dan promosi, gadaian, jualan internet, pinjaman, korupsi, dan pelbagai lagi hal-ehwal mu’amalah masa kini dinilai menurut syari’at Islam.
Penulis memulakan bukunya ini dengan definisi dan penjelasan makna harta haram dalam Islam, kepentingan memahaminya, kesan harta haram terhadap peribadi dan umat, serta jalan penyelesaiannya.
Kemudian penulis memasuki perbahasannya dengan bab kupasan harta harta haram hasil dari perbuatan zalim, dan bentuk-bentuk kezaliman. Antara yang termasuk dalam cakupan bab ini adalah perbahasan tentang perbuatan zalim dalam jual-beli, jual-beli terpaksa, hukum penjualan najis haiwan dan bentuk-bentuknya, jual-beli ikan yang dipelihara dalam air tercemar, kaedah membersihkan haiwan jallalah (yakni haiwan halal tetapi makan benda kotor), hukum jual-beli bangkai dan bentuk-bentuk bangkai, hukum sembelihan masa kini, hukum jual-beli organ manusia, hukum gelatin babi, vaksin mengandungi gelatin babi, hukum perubatan beralkohol, hukum menjual anak patung permainan kanak-kanak, jual beli rokok, hukum jual-beli alat muzik, hukum mengambil upah bermain muzik, hukum upah kerja-kerja dakwah, dan hukum hak cipta buku-buku agama, serta banyak lagi yang lainnya.
Pada bab berikutnya, penulis bahaskan pula sekitar isu rasuah, pengiklanan produk, hukum menimbun barangan, menyembunyikan kecatatan barang dagangan, dan banyak lagi yang lainnya.
Di bab yang ketiga, penulis bahaskan pula hukum gharar dalam mu’amalah dan jual-beli serta harta hasil dari perkara tersebut. Di antara yang tercakup dalam perbahasan ini adalah penjelasan tentang definis gharar, hubungan gharar dengan qimar (perjudian), maysir, qur’ah, dan mukhatarah. Kemudian diteruskan dengan hukum ba’i gharar (jual-beli gharar), kriteria gharar serta bentuk-bentuk dan pecahannya. Penulis teruskan perbahasan bab ini dengan perbahasan hukum jual-beli online, hukum insurans dan sejarahnya, prinsip dan pebahagian insurans, hukum hadiah dalam jual-beli, hukum hadiah pertandingan dan rinciannya, hukum pertandingan olahraga atau sukan, hukum permainan dadu dan catur, hukum-hakam diskaun barang jualan, dan banyak lagi yang lainnya.
Di bab seterusnya, penulis bahaskan pula tentang harta haram yang diperolehi melalui riba’. Di antara cakupan perbahasan dalam bab ini merangkumi definisi, sejarah, hukumnya, dan kesan riba. Diikuti dengan pembahagian dan rincian tentang riba, yang antaranya mencakupi penjelasan tentang bunga bank, hukum menabung di bank konvensional, hukum menerima hadiah dari hasil undian dan simpanan wang di bank, hukum jual-beli kredit, ba’i al-‘inah, perbahasan tawarruq, penjelasan tentang murabahah, hukum ansuran dan rinciannya, hukum kad kredit, hukum bunga dalam jual-beli ansuran, hukum jual-beli saham, riba ba’i, murabahah emas, hukum cek, dan banyak lagi yang lainnya.
Pada bab berikutnya, penulis bahaskan satu bab khusus tentang kaedah bertaubat dan membebaskan diri dari pembagai hasil dan harta yang haram. Dan di bab yang terakhir, penulis jelaskan pula kaedah yang benar dalam bermu’amalah dengan orang-orang yang bergelumang dengan harta atau hasil pendapatan haram.
Secara peribadi, ini adalah termasuk buku yang sangat bermanfaat dan amat-amat jarang ditemukan. Sebuah buku yang ilmiyah dalam membahaskan pelbagai bentuk persoalan halal-haram mu’amalah yang penuh kerumitan di masa kini. Sehingga para pembaca pun akan merasa lebih tenang dan banyak kerumitan akan dapat dirungkai tatkala mula membacanya, insyaAllah.