Judul: Bersama Rasulullah Mendidik Generasi Idaman | Judul Asal (Arab): An-Nabiyyul Kariim Shallallahu ‘alaihi wa Sallam Mu’allim | Penulis: Dr. Fadhl Ilahi | Penerbit: Pustaka Imam Asy-Syafi'i | Berat: 700g | Muka Surat: 409m/s.
Bercelarunya dunia pendidikan masa ini menandakan ada sesuatu yang salah di dalam sistem pendidikan kita. Kesalahan yang berlaku tidak semestinya merujuk kepada kurikulum, silibus, atau perilaku para pelajar, tetapi juga mungkin merujuk kepada para pendidik atau tenaga pengajarnya. Ini mungkin dapat dilihat kepada kaedah dan pola pengajaran yang dilaksanakan. Bukankah dalam masa yang sama ketika mengajar, para guru juga perlu menjadi suri tauladan atau contoh manusia yang baik bagi anak-anak didiknya.
Adakah guru berjaya melayani setiap persoalan yang diajukan oleh para pelajarnya? Adakah para pendidik berupaya membimbing para pelajarnya ke arah hala-tuju yang paling utama? Atau sekadar melepaskan tugas makan gaji tanpa mengambil penting tugas kaedah dan karektor seorang guru berkesan? Masih adakah guru yang sanggup mendidik para pelajarnya sehingga memakan waktu peribadinya demi kebaikan para pelajar tanpa imbuhan gaji?
Semua persoalan tersebut ada dibincangkan melalui buku ini. Mengambil contoh bagaimana Rasulullah mendidik para sahabatnya kepada agama dan perkara duniawi. Perhatikanlah melalui buku ini bagaimana Rasulullah memilih waktu yang tepat untuk mengajar dan mendidik, cara-cara Rasulullah menjawab pelbagai persoalan yang diterima, cara menyampaikan ilmu kepada pelbagai karektor sahabat, kaedah yang baik dalam memanfaatkan momentum masa dan peristiwa, memupuk minat belajar, sentuhan fizikal, cara berbicara dengan para pelajar, cara berinteraksi, kaedah penyampaian secara isyarat dan imaginasi (ilustrasi), contoh-contoh perumpamaan yang digunakan, kaedah bertanya, meneliti dan mengenal-pasti keistimewaan setiap pelajar yang berbeza, cara mengenal-pasti respon pelajar, malah banyak lagi yang dibahaskan melalui buku ini.
Ianya mengumpulkan sebanyak 45 pola dan kaedah pendidikan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kepada para pelajarnya (para sahabat). Lihatlah methode tersebut, yang merupakan methode Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam...
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang-orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak mengingati Allah.” (Surah al-Ahzaab, 33: 21)