Judul: Doa & Dzikir Yang Terangkat Ke Langit | Judul Asal (‘Arab): Mukhtashar Al-Wabil Ash- Shayyib wa Rafi’ Al-Karim Ath- Thayyib | Penulis/Penyusun: Al-Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyah rahimahullah (Wafat: 751H) | Tahqiq/Takhrij: Abu Shuhaib Al-Karami | Penterjemah: Ibnu ‘Abdil Jami | Penerbit: Al-Wafi Publishing | Berat: 259g | Muka Surat: 226 m/s. (Soft cover) | Ukuran buku: 20.5cm (tinggi) x 14.1cm (lebar) x 1.2cm (tebal) | ISBN: 978-979-1093-43-9 |
Ketahuilah bahawa ucapan yang kita ucapkan dan amal-amal yang kita kerjakan semuanya akan diperhitungkan di sisi Allah Ta’ala. Semuanya akan dicatat dan dihisab. Beruntunglah bagi mereka yang baik ucapannya, dan baik pula amalannya, ianya akan naik kepada Allah dan memberikan manfaat yang besar bagi yang mengerjakannya.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
مَنْ كَانَ يُرِيدُ الْعِزَّةَ فَلِلَّهِ الْعِزَّةُ جَمِيعًا إِلَيْهِ يَصْعَدُ الْكَلِمُ الطَّيِّبُ وَالْعَمَلُ الصَّالِحُ يَرْفَعُهُ
“Siapa yang menghendaki Al-‘Izzah (kemuliaan), maka bagi Allah-lah kemuliaan itu seluruhnya. Kepada-Nya-lah naik perkataan-perkataan yang baik dan amal-amal yang soleh dinaikkan-Nya.” (Surah Fathir, 35: 10)
Kata Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H):
“Yakni bagi siapa yang menginginkan Al-‘Izzah (kemuliaan) di dunia dan akhirat, maka hendaklah dia sentiasa mentaati Allah Subhanahu wa Ta’ala. Kerana dengan cara itulah dia akan dapat mencapai tujuannya, dan kerana Allah Ta’ala adalah pemilik dunia dan akhirat serta milik-Nya-lah seluruh kemuliaan tersebut.
Sebagaimana firman-Nya di ayat yang lain:
الَّذِينَ يَتَّخِذُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ أَيَبْتَغُونَ عِنْدَهُمُ الْعِزَّةَ فَإِنَّ الْعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا
“(Yakni) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman-teman rapat (sebagai pembantu dan pemimpin) dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Adakah mereka ingin mencari Al-‘Izzah (kemuliaan) di sisi mereka (orang-orang kafir)? Maka sesungguhnya kemuliaan itu adalah milik Allah seluruhnya.” (Surah An-Nisaa’, 4: 139)
Mujahid berkata:
“Siapa yang menghendaki kemuliaan” dengan cara mengibadahi (menyembah) berhala, maka sesungguhnya kemuliaan itu adalah milik Allah seluruhnya.”
Qotadah berkata tentang firman Allah:
“Siapa yang menghendaki Al-‘Izzah (kemuliaan), maka bagi Allah-lah kemuliaan itu seluruhnya...”
Yakni kemuliaan itu adalah dengan mentaati Allah ‘Azza wa Jalla.
Firman Allah Ta’ala:
إِلَيْهِ يَصْعَدُ الْكَلِمُ الطَّيِّبُ
“...Kepada-Nya-lah naik perkataan-perkataan yang baik...”
Yakni Az-Zikr (zikir-zikir), At-Tilawah (bacaan Al-Qur’an), dan doa-doa. Ia dinyatakan bukan sekadar seorang ulama salaf.
‘Abdullah bin Mas’oud radhiyallahu ‘anhu berkata:
إذا حدثناكم حديثا أتيناكم بتصديق ذلك من كتاب الله: إن العبد المسلم إذا قال: "سبحان الله وبحمده، والحمد لله، ولا إله إلا الله، والله أكبر، تبارك الله"، أخذهن ملك فجعلهن تحت جناحه، ثم صَعد بهن إلى السماء فلا يمُرّ بهن على جمْعٍ من الملائكة إلا استغفروا لقائلهن، حتى يجيء بهن وجه الرحمن عز وجل، ثم قرأ عبد الله: { إِلَيْهِ يَصْعَدُ الْكَلِمُ الطَّيِّبُ وَالْعَمَلُ الصَّالِحُ يَرْفَعُهُ }
“Apabila aku menceritakan kepada kalian suatu hadis, maka akan aku datangkan kepada kalian perkara yang membenarkannya dari Kitab Allah. Sesungguhnya seorang hamba muslim apabila mengucapkan Subhanallaah wa bihamdihi, wal hamdulillah, wa laa ilaaha illallaah, wallaahu akbar, tabarakallaah.... maka akan ada malaikat yang mengambilnya, lalu meletakkannya di bawah sayapnya, kemudian dia membawanya naik ke langit, dan tidaklah dia melintasi sekumpulan malaikat yang lain melainkan mereka akan memohonkan keampunan bagi yang mengucapkannya, sampai ia di hadapan Allah Ar-Rahman ‘Azza wa Jalla.”
Kemudian ‘Abdullah bin Mas’oud membacakan firman Allah:
“Kepada-Nya-lah naik perkataan-perkataan yang baik dan amal yang soleh dinaikkan-Nya.”
Dari ‘Abdullah bin Syaqiiq, Ka’ab Al-Ahbaar berkata:
إن لـ "سبحان الله، والحمد لله، ولا إله إلا الله، والله أكبر" لدويا حول العرش كدويّ النحل، يُذَكِّرْنَ بصاحبهن، والعمل الصالح في الخزائن
“Sesungguhnya bagi kalimat subhanallaah, alhamdulillah, laa ilaaha illallaah, dan Allaahu Akbar itu ada gema bunyinya di sekitar ‘Arsy sebagaimana gema bunyi lebah-lebah yang mengingatkan teman-temannya, dan ianya dianggap sebagai amal soleh dalam perbendaharaan yang tersimpan.”
Sanad atsar ini sahih sampai kepada Ka’ab Al-Ahbaar secara marfu’ kepadanya.
Al-Imam Ahmad meriwayatkan dari An-Nu’man bin Basyir, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
الذين يذكرون من جلال الله، من تسبيحه وتكبيره وتحميده وتهليله، يتعاطفن حول العرش، لهن دوي كدوي النحل، يذكرون بصاحبهن ألا يحب أحدكم ألا يزال له عند الله شيء يذكر به؟
“Orang-orang yang berdzikir kepada Allah dengan mengagungkan Allah, dari tasbih-tasbihnya, takbir-takbirnya, tahmid-tahmidnya, dan tahlilnya; semua bacaan-baacan dzikir itu terdengar bergemersik (atau berdengungan) di sekitar ‘Arsy sebagaimana bergemanya suara lebah yang mengingatkan teman-temannya. Adakah salah seorang di antara kalian tidak suka jika ada sesuatu (dari amal-amalnya) yang sentiasa disebutkan di sisi Allah?” (Musnad Ahmad, no. 18362)
Firman Allah:
وَالْعَمَلُ الصَّالِحُ يَرْفَعُهُ
“... dan amal yang soleh dinaikkan-Nya.”
Kata Ibnu ‘Abbas, “Perkataan-perkataan yang baik adalah dzikir kepada Allah, ia diangkat naik kepada Allah ‘Azza wa Jalla, manakala amal yang soleh adalah penunaian amal-amal fardhunya. Dan siapa yang berdzikir kepada Allah dalam keadaan tidak menunaikan amal-amal fardhunya maka perkataannya dikembalikan kepada amalanya, dan amalnya-lah yang lebih utama dari perkataannya.”
Demikian sebagaimana dikatakan oleh Mujahid:
العمل الصالح يرفع الكلام الطيب
“Amal-amal yang soleh akan mengangkat perkataan-perkataan yang baik.”
Demikian pula yang dikatakan oleh Abu Al-‘Aliyyah, ‘Ikrimah, Ibrahim An-Nakha’i, Adh-Dhohhak, As-Suddi, Ar-Rabi’ bin Anas, Asy-Syahr bin Hausyab, dan selainnya yang bukan hanya seorang dari kalangan salaf.
Iyaas bin Mu’awiyah Al-Qadhi mengatakan:
لولا العمل الصالح لم يرفع الكلام
“Kalau seandainya tidak ada amal yang soleh, maka tidak ada perkataan-perkataan (dari dzikir-dzikirnya) yang naik.”
Al-Hasan dan Qotadah mengatakan:
لا يقبل قولٌ إلا بعمل
“Tidak akan diterima perkataan melainkan dengan amal.” (Tafsir Ibnu Katsir, 6/536-537)
Semoga kita termasuk dalam kalangan orang-orang yang memiliki amal-amal yang bermanfaat dan perkataan-perkataan yang diangkat ke sisi-Nya.
Buku karya Al-Imam Ibnul Qayyim ini menghimpunkan sebahagian dzikir-dzikir dan doa-doa yang amat bermanfaat diikuti catatan-catatan bernilai tinggi. Di antara cakupan perbahasannya merangkumi bab-bab seperti:
1, Keistiqamahan hati dalam mencintai Allah, mengagungkan perintah dan larangan-Nya; tanda-tandanya, contoh-contoh pengagungan terhadap-Nya.
2, Pemeliharaan atas seorang hamba dari syaitan; kerana tauhidnya, solatnya, amalan puasanya, sedekah, dan dzikir-dzikirnya.
3, Faedah-faedah dzikir kepada Allah.
4, Keutamaan-keutamaan dzikir dan bentuk-bentuknya.
5, Dzikir-dzikir yang besar manfaatnya.
Semoga bermanfaat.