Judul: Kisah-kisah Lemah yang Sewajarnya Dilihat Semula Oleh Para Penceramah | Judul Asal (‘Arab): - | Penulis: Prof. Madya Dr. Basri Ibrahim Al-Hasani | Tahqiq/Takhrij: - | Penterjemah: - | Penerbit: Al-Hidayah Publication (KL) | Berat: 0.895kg | Muka Surat: 455 m/s. (Soft cover) | Ukuran buku: 25.4cm (tinggi) x 17.8cm (lebar) x 2.4cm (tebal) | ISBN: 978-967-4392-24-6 |
ZAMAN ini kita dapat lihat di masjid-masjid dan di surau-surau dipenuhi dengan kelas pengajian agama. Alhamdulillah, satu perubahan terhadap sikap masyarakat kita terhadap kesedaran menuntut ilmu. Ceramah agama juga merupakan sebahagian dari peringatan kepada umat Islam. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
وَذَكِّرْ فَإِنَّ الذِّكْرَى تَنْفَعُ الْمُؤْمِنِينَ
“Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman.”
Ramai penceramah yang hebat-hebat pidatonya telah mewarnai masjid-masjid dengan ceramah yang pelbagai bentuk. Salah satu daripada cara menyampaikan ceramah yang berkesan dan mendalam terhadap masyarakat ialah dengan cara mengemukakan kisah-kisah sama ada dari Al-Qur’an, As-Sunnah, kisah-kisah para nabi, kisah-kisah para ulama dan kisah-kisah dari apa-apa yang berlaku dalam kehidupan masyarakat seharian. Kerana itu amat jarang penceramah agama yang tidak mengemukakan kisah-kisah (dalam ceramahnya). Bahkan Al-Quran sendiri juga menggunakan uslub pengkisahan dalam menarik manusia untuk menerima aqidah yang benar dalam kehidupan mereka.
Namun satu hakikat yang tidak boleh dinafikan, dalam keghairahan menyampaikan ceramah dan menyelitkannya dengan pelbagai kisah, tidak semua kisah yang dikemukakan itu merupakan kisah yang benar, kerana itu setiap penceramah agama dan pakar motivasi perlu memastikan kisah yang hendak diketengahkan kepada masyarakat benar-benar merupakan kisah yang benar.
Untuk mengelakkan diri dari terlibat dengan kisah-kisah palsu dan rekaan, setiap penceramah perlu melengkapkan diri dengan pemahaman yang mendalam dan teliti terhadap Al-Qur’an dan juga As-Sunnah serta tatkala menukil kisah-kisah yang terdapat di dalamnya.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkaitan dengan kisah-kisah lemah (tidak sahih) yang biasa diceritakan oleh para penceramah dan bagaimana untuk para penceramah mengatasi perkara tersebut, maka buku ini telah memberi pendedahan secara terperinci dan mudah difahami. Dengan mengkaji secara mendalam, semoga kita akan lebih berhati-hati dalam menyampaikan kisah para nabi dan sahabat.
Buku ini memaparkan dan memberikan perincian pada lebih dari 60 buah kisah-kisah yang sering digunakan oleh para penceramah di seluruh negara, namun bila dikaji, ternyata ianya bukanlah kisah yang sahih dan boleh dijadikan sebagai pegangan dan sandaran. Selain itu penulis juga menjelaskan bagaimana seharusnya kita bersikap sebelum menukil dan ketika menukil kisah-kisah, khasnya ketika mahu dijadikan sebagai pegangan dan hujah dalam hal berkaitan dengan agama, atas nama Allah, atas nama Nabi, dan atas nama tokoh-tokoh tertentu. Agar nanti kita tidak dikatakan sebagai berdusta atas nama agama sehingga menjadikan agama ternoda dengan kisah-kisah tidak sahih atau palsu serta reka-rekaan.
Semoga bermanfaat.