Judul: Panduan Shalat Jum’at | Penulis: Yazid Abdul Qadir Jawas | Penerbit: Pustaka at-Taqwa | Berat: 160g | Muka Surat: 115m/s. [Hak cipta Atsar Enterprise, www.atsar.ilmusunnah.com]
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
أول ما يحاسب به العبد يوم القيامة الصلاة فإن صلحت صلح له سائر عمله و إن فسدت فسد سائر عمله
“Perkara (amal) yang pertama sekali dihisab dari seorang hamba pada hari kiamat adalah solat. Apabila baik solatnya, maka seluruh amalnya pun baik. Apabila solatnya buruk, maka seluruh amalnya pun buruk.” (Al-Mu’jam Al-Awsath oleh Ath-Thabrani, no. 1859. Dinilai sahih oleh Al-Albani)
Dan termasuk di antara solat yang wajib kita jaga dengan betul-betul dan benar adalah solat Juma’at. Ia adalah solat yang difardhukan secara jama’ah di masjid ke atas setiap lelaki Muslim yang merdeka, baligh, berakal, sihat, dan mukim (bukan dalam safar).
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلَّا أَرْبَعَةً: عَبْدٌ مَمْلُوكٌ، أَوِ امْرَأَةٌ، أَوْ صَبِيٌّ، أَوْ مَرِيضٌ
“Solat Juma’at adalah hak yang wajib atas setiap Muslim dengan berjama’ah, kecuali empat orang, iaitu hamba, wanita, anak kecil, dan orang yang sakit.” (Sunan Abi Dawud, no. 1067)
Dalam hadis yang lain disebutkan:
لَيْسَ عَلَى مُسَافِرٍ جُمُعَةٌ
“Tiada kewajiban solat Juma’at ke atas orang yang bersafar (dalam perjalanan jauh).” (Al-Mu’jam al-Awsath oleh Ath-Thabrani, no. 818. Dinilai sahih oleh Al-Albani)
Maka dari itu hendaklah kita perhatikan baik-baik solat-solat fardhu kita, termasuklah solat Juma’at. Dan tidaklah solat itu dapat dilaksanakan dengan baik melainkan dengan ilmu yang baik lagi benar.
Apatah lagi di sana banyaknya hadis-hadis yang mengancam orang yang meninggalkan solat Juma’at. Maka dari itu perlulah kita ambil perhatian agar jangan sampai pula kita meninggalkannya, dan hendaklah kita melaksanakannya dengan penuh kesedaran dan sungguh-sungguh.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah bersabda:
لَيَنْتَهِيَنَّ أَقْوَامٌ عَنْ وَدْعِهِمُ الْجُمُعَاتِ، أَوْ لَيَخْتِمَنَّ اللهُ عَلَى قُلُوبِهِمْ، ثُمَّ لَيَكُونُنَّ مِنَ الْغَافِلِينَ
“Hendaklah orang-orang yang biasa meninggalkan solat Juma’at berhenti dari kebiasaannya tersebut atau Allah akan mengunci mati hati mereka sehingga mereka menjadi orang yang lalai.” (Shahih Muslim, no. 652)
Maka, hendaklah kita beringat dan tidak alpa terhadap kewajiban yang diwajibkan atas kita semua selaku seorang Muslim, iaitu menunaikan solat. Kerana solat adalah tiang agama yang membezakan antara iman dan kekafiran. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
رَأْسُ الأَمْرِ الإِسْلاَمُ، وَعَمُودُهُ الصَّلاَةُ، وَذِرْوَةُ سَنَامِهِ الجِهَادُ
“Kepala segala urusan adalah Islam, tiangnya adalah solat, dan kemuncaknya adalah jihad.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2616. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)
إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلَاةِ
“Sesungguhnya (batas) antara seseorang dengan kesyirikkan dan kekafiran adalah meninggalkan solat.” (Shahih Muslim, no. 82)
Dalam hadis yag lain, Rasulullah bersabda:
العَهْدُ الَّذِي بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمُ الصَّلَاةُ، فَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ كَفَرَ
“Perjanjian antara kita dengan mereka adalah solat. Sesiapa yang meninggalkan solat, maka dia telah kafir.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2621. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)
Kemudian hendaklah kita ketahui bahawa sesungguhnya hari Juma’at adalah hari raya dan merupakan penghulu dari segala hari. Hari Juma’at memiliki banyak sekali keutamaan di mana seluruh makhluk yang ada di bumi dan di langit merasa takut kerana hari kiamat akan terjadi pada hari tersebut.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
خَيْرُ يَوْمٍ طَلَعَتْ عَلَيْهِ الشَّمْسُ يَوْمُ الْجُمُعَةِ، فِيهِ خُلِقَ آدَمُ، وَفِيهِ أُدْخِلَ الْجَنَّةَ، وَفِيهِ أُخْرِجَ مِنْهَا، وَلَا تَقُومُ السَّاعَةُ إِلَّا فِي يَوْمِ الْجُمُعَةِ
“Sebaik-baik hari yang terbit matahari pada waktu itu adalah hari Juma’at. Pada hari itu Adam diciptakan, dimasukkan ke dalam Syurga, dan dikeluarkan dari Syurga. Tidak akan terjadi kiamat melainkan pada hari Juma’at.” (Shahih Muslim, no. 854)
Pada hari Juma’at amalan yang paling utama untuk dilaksanakan adalah solat Juma’at dan khutbah Jumaat. Solat Juma’at merupakan syi’ar agama Islam yang besar dan agung.
Oleh kerana itu, wajib atas laki-laki Muslim yang telah baligh untuk melaksanakan solat Juma’at dengan berjama’ah bersama kaum Muslimin. Sesiapa yang sengaja meninggalkan solat Juma’at tiga kali, maka Allah akan menutup hatinya.
Dalam buku ini dibahaskan tentang adab-adab, keutamaan, tata cara solat, serta disertakan sama beberapa bentuk kesalahan dan bid’ah-bidah yang biasa dilakukan oleh orang ramai di sekitar kita ketika melaksanakan solat Juma’at di hari Juma’at. Semoga buku ini mampu membimbing kita semua mempraktikkan solat Juma’at dengan ilmu yang benar sekaligus menambah-baikkan lagi amalan kita di hari tersebut. [Disediakan oleh krew Atsar Enterprise, www.atsar.ilmusunnah.com]