Judul: Penyakit dan Terapi Bekamnya | Judul Asal (Arab): Al-Usus al-'Ilmiyyah lil Mu'jizah an-Nabawiyah al-Hijaamah | Penulis: Dr. Ahmad Razak Sharaf | Penerbit: Thibbia | Berat: 500g | Muka Surat: 304m/s.
Salah satu tanda kekuasaan Allah dan sebahagian dari rahmat-Nya adalah Dia mengutus kepada kita seorang Rasul atau seorang Nabi yang ummi, yang tidak tahu membaca dan menulis, lebih-lebih lagi ilmu perubatan.
Allah menurunkan wahyu kepada beliau yang dengannya membimbing manusia dalam melaksanakan pelbagai urusan kehidupan, dari urusan bertauhid terhadap Allah, ibadah, mu’amalah, sehingga hal ehwal makan dan minum, bangun dan tidur, berpakaian, hubungan lelaki dan wanita, kemudian juga adab-adab berubat.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bukan-lah seorang doktor mahupun tabib, apatah lagi yang pernah belajar ilmu perubatan. Melainkan beliau mengetahui ilmu-ilmu perubatan ini dari wahyu yang diwahyukan kepadanya oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Di antara ilmu perubatan yang dikhabarkan oleh Rasulullah adalah ilmu perbekaman atau disebut sebagai hijamah.
Sahabat Nabi, Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata:
حَدَّثَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ لَيْلَةِ أُسْرِيَ بِهِ أَنَّهُ لَمْ يَمُرَّ عَلَى مَلَإٍ مِنَ المَلَائِكَةِ إِلَّا أَمَرُوهُ أَنْ مُرْ أُمَّتَكَ بِالحِجَامَةِ
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menceritakan tentang malam ketika beliau diisra’kan, “Sesungguhnya tidaklah aku melintasi para malaikat melainkan mereka memerintahkan, “Sesungguhnya perintahkanlah umat-mu supaya berbekam.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 2052)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah bersabda:
الشِّفَاءُ فِي ثَلاَثَةٍ: شَرْبَةِ عَسَلٍ، وَشَرْطَةِ مِحْجَمٍ، وَكَيَّةِ نَارٍ، وَأَنْهَى أُمَّتِي عَنِ الكَيِّ
“Kesembuhan itu ada pada tiga perkara: Meminum madu, tusukan alat bekam, dan kay (perubatan dengan besi panas). Namun aku melarang umat-ku dari berubat dengan kay.” (Shahih al-Bukhari, no. 5680)
Beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga pernah bersabda:
خَيْرُ مَا تَدَاوَيْتُمْ بِهِ الْحِجَامَةُ
“Sebaik-baik perubatan (perawatan) yang kalian gunakan adalah bekam.” (Musnad Ahmad, no. 12045. Dinilai sahih oleh al-Albani)
Dalam hadis yang lain, sabda beliau:
إِنَّ مِنْ خَيْرِ دَوَائِكُمُ الْحِجَامَةَ
“Sungguh dari jenis ubat yang baik bagi kalian adalah al-hijaamah (bekam).” (Musnad Ahmad, no. 20205)
Dari hadis-hadis ini dapatlah kita ketahui bahawa berbekam adalah termasuk salah satu bentuk perubatan atau kaedah rawatan yang dianjurkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam terhadap umatnya. Dan apabila Rasulullah telah menyatakannya, maka tidak lainlah melainkan ianya datang daripada wahyu.
Tapi sungguh disayangkan kerana boleh dikatakan majoriti umat Islam pada hari ini tidak mengenal sama sekali kewujudan rawatan perbekaman ini. Bahkan mereka tidak punya ilmu sama sekali tentangnya. Barangkali ini kerana sikap kebanyakan mereka sendiri yang pada hari ini terlalu melalaikan ilmu-ilmu agama.
Sebaliknya, masyarakat baratlah yang memanfaatkan dan menjalankan kajian demi kajian terhadapnya. Mereka menelitinya, mengkajinya, sekaligus mempelajarinya. Sehingga seolah-olah ia berasal daripada mereka pula.
Manakala umat Islam pula disibukkan dengan perubatan dan rawatan barat yang tidak kurang tinggi risiko dan belanjanya. Sungguhlah sayang, seribu kali sayang...
Maka dari itu-lah, penulis yang merupakan seorang doktor perubatan dan memiliki keahlian dalam ilmu-ilmu perbekaman berusaha menyusun sebuah buku bagi tujuan menjelaskan asas-asas ilmu perbekaman ini.
Di antara topik-topik utama perbahasan beliau adalah:
1, Bekam dari tinjauan agama.
2, Perbandingan antara perubatan wahyu dan kajian barat.
3, Bekam dari tinjauan sains dan ilmiah.
4, Kesan perbekaman terhadap tubuh.
5, Fisiologi of pain.
6, Teori saraf dan kaitannya dengan bekam,
7, Jenis-jenis berkam.
8, Penyakit-penyakit dan hubungannya dengan titik bekam.
9, Jenis-jenis penyakit dan titik bekamnya.
10, Penulis turut menyertakan rujukan gambarajah yang cukup terperinci.