Judul: Talbis Iblis | Judul Asal ('Arab): Al-Muntaqa An-Nafiis min Talbiis Ibliis | Penulis Asal: Al-Imam Ibnul Jauzi | Tahqiq, Takhrij dan Komentar: ‘Ali bin Hasan Al-Halabi | Penerbit: Darus Sunnah | Berat: 850g | Muka Surat: 412m/s. [Disediakan oleh Atsar Enterprise, www.atsar.ilmusunnah.com]
Iblis telah pun berjanji dan bersumpah bahawa dia akan mengajak dan mengheret manusia ke lembah kesesatan. Dia berjanji akan menggoda manusia ke arah kekafiran dengan apa jua cara. Dari itulah, tidak hairan pada hari ini wujud suatu fenomena pertembungan di antara firqah-firqah atau kumpulan-kumpulan dalam kalangan umat Islam hasil dari pelbagai penyimpangan. Antaranya disebabkan oleh pelbagai faktor penyimpangan seperti khurafat, bid'ah, takhayyul, fanatik kumpulan, peperangan, dan pelbagai bentuk penyimpangan lainnya dalam isu aqidah. Ia berkembang dan merebak dari satu generasi ke satu generasi yang lain.
Pada hari ini dapat kita saksikan pelbagai kumpulan berlabel Islam muncul dengan setiap masing-masingnya mengaku membawa panji Islam tersendiri. Ada di antaranya berlabel sufi, tarekat atau tasawuf, kemudiannya ada yang berlabel seperti Al-Ikhwanul Muslimin, Tabligh, dan Hizbut Tahrir, di samping firqah-firqah lainnya yang ideologi pemikirannya telah sedia dikenal oleh para ilmuan Islam semenjak dahulu seperti firqah Khawarij, Mu’tazilah, dan Rafidhah (atau Syi’ah).
Disebutkan dalam sebuah hadis, Jabir bin ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhu berkata:
كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَخَطَّ خَطًّا هذا أَمَامَهُ فَقَالَ: هَذَا سَبِيلُ اللهِ عز وجل وخط خَطًّا عَنْ يَمِينِهِ وخط خَطًّا عَنْ شماله وقال هَذِهِ سَبِلُ الشَّيْطَانِ، مَّ وَضَعَ يَدَهُ فِي الْخَطِّ الْأَوْسَطِ، ثُمَّ تَلَا هَذِهِ الْآيَةَ
“Dahulu kami pernah duduk-duduk di sisi Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam lalu beliau membuat suatu garisan (lurus) seperti garisan ini di hadapannya. Lalu beliau bersabda:
“Ini adalah jalan Allah ‘Azza wa Jalla.”
Kemudian beliau membuat garis di sebelah kanannya dan membuat garis di sebelah kirinya lalu bersabda lagi:
“Ini adalah jalan-jalan Syaitan.” Kemudian beliau meletakkan tangannya di garisan yang tengah sambil membaca ayat ini:
وَأَنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
“Dan bahawa (yang Kami perintahkan ini) adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah dia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan yang lain itu memecah-belahkan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertaqwa.” (Surah al-An’aam, 6: 153).” (Musnad Ahmad, no. 15277. Dzilal al-Jannah, no. 16. Dinilai sahih oleh Al-Albani)
Kata Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah (Wafat: 728H):
وَإِذَا تَأَمَّلَ الْعَاقِلُ – الَّذِي يَرْجُو لِقَاءَ اللَّهِ – هَذَا الْمِثَالَ وَتَأَمَّلَ سَائِرَ الطَّوَائِفِ مِنْ الْخَوَارِجِ ثُمَّ الْمُعْتَزِلَةِ ثُمَّ الْجَهْمِيَّة وَالرَّافِضَةِ وَمَنْ أَقْرَبُ مِنْهُمْ إلَى السُّنَّةِ مِنْ أَهْلِ الْكَلَامِ مِثْلِ الكَرَّامِيَة والْكُلَّابِيَة وَالْأَشْعَرِيَّةِ وَغَيْرِهِمْ وَأَنَّ كُلًّا مِنْهُمْ لَهُ سَبِيلٌ يَخْرُجُ بِهِ عَمَّا عَلَيْهِ الصَّحَابَةُ وَأَهْلُ الْحَدِيثِ وَيَدَّعِي أَنَّ سَبِيلَهُ هُوَ الصَّوَابُ – وَجَدْت أَنَّهُمْ الْمُرَادُ بِهَذَا الْمِثَالِ الَّذِي ضَرَبَهُ الْمَعْصُومُ الَّذِي لَا يَتَكَلَّمُ عَنْ الْهَوَى. إنْ هُوَ إلَّا وَحْيٌ يُوحَى
“Apabila seseorang meneliti dengan pertimbangan yang benar, iaitu yang mengharapkan pertemuan dengan Allah, mereka meneliti perumpaman ini dan meneliti seluruh kelompok-kelompok dari kalangan al-khawarij, kemudian mu’tazilah, kemudian jahmiyah, dan orang-orang dari kalangan mereka yang lebih dekat ke arah sunnah dari kalangan ahli kalam seperti al-karamiyah, al-kullabiyah, al-asy’ariyah, dan selain mereka, bahawasanya setiap dari mereka memiliki jalan yang menyimpang keluar dari jalan yang ditempuh oleh para sahabat dan para ahli hadis, dan mereka menganggap bahawa jalan mereka adalah jalan yang paling benar.
Maka dengan itu akan kita dapati bahawa sebenarnya merekalah yang dimaksudkan dalam permisalan garisan (di kanan dan kiri) yang telah dibuat oleh al-Ma’shum Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, yang mana beliau tidaklah berbicara menuruti hawa nafsu, yang tiada lain melainkan wahyu yang diwahyukan kepadanya.” (Ibnu Taimiyah, Majmu’ al-Fatawa, 4/57)
Walaupun demikian dahsyatnya fitnah dan hasutan Iblis, Allah telah menjelaskan tips dan kaedah-kaedah syar’i dalam menangani fitnah-fitnah dan serangan Iblis bersama-sama tenteranya. Tips yang paling utama adalah dengan mengikhlaskan diri mengabdi kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala serta beriman dengan sesungguhnya, iaitu di atas petunjuk yang jelas sebagaimana dibawa oleh Rasul Allah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
Sebenarnya buku ini menjelaskan secara terperinci bentuk-bentuk perpecahan yang terjadi dalam kalangan umat Islam disebabkan bid’ah-bid’ah yang mereka lakukan dalam beragama. Sehingga akhirnya membentuk pelbagai bentuk rangka firqah dan pemikiran yang menyimpang dari ajaran Islam yang asal. Penulis, iaitu Al-Imam Ibnul Jauzi rahimahullah (Wafat: 597H) memulakan perbahasan bukunya ini dengan perbahasan keutamaan berdiri teguh di atas sunnah dan al-Jama’ah, kemudian kecaman terhadap bid’ah dan pelakunya, ketiga - Berwaspada dari fitnah-fitnah Iblis, Ke-Empat- Penjelasan Maksud Talbis dan Ghurur. Seterusnya penulis menjelaskan tipu daya Iblis dalam persoalan aqidah. Dalam bahagian tajuk ke-Enam penulis meneruskan dengan penjelasan tipu daya Iblis terhadap para ‘aalim dan ulama. Sehinggalah seterusnya beliau membongkar tipu daya Iblis terhadap para pemerintah dan sultan, tipu daya Iblis terhadap orang awam, tipu daya terhadap ahli ibadah, ahli zuhud, kaum sufi, khawarij, Syi’ah Rafidhah, aliran falsafah, atheis, dan banyak lagi yang lainnya berupa firqah-firqah sesat.
Buku ini amat menarik kerana selain membahaskan dari konsteks dalil-dalil secara ilmiyah, ia juga turut membawakan fakta-fakta sejarah yang berlaku dalam dunia Islam bagi setiap perbahasan yang dibawa. Di antara lain keistimewaan buku ini adalah konsteks perbahasannya yang mencakup konsteks umum perpecahan firqah-firqah dalam Islam, ia juga merupakan salah satu karya penting yang menjadi rujukan dalam dunia Islam Ahlus Sunnah wal-Jama’ah. Sehinggalah akhirnya ia mendapat perhatian muhaqqiq iaitu salah seorang pengkaji muta’akhirin ‘Ali bin Hasan bin ‘Ali Al-Halabi. Beliau mentahqiqnya dan memberi ta’liq (komentar pada nota kaki) dalam sela-sela perbahasannya. [Disediakan oleh Atsar Enterprise, www.atsar.ilmusunnah.com. Tidak dibenarkan membuat salinan tanpa kebenaran]