Dakwah adalah salah satu kewajiban bagi mereka yang berkemampuan dari kalangan mulim dan muslimah. Dengan dakwah, Islam terus ditegakkan dan berdiri kukuh dalam masyarakat. Dakwah di atas jalan Allah dengan prinsip-prinsip yang benar adalah merupakan sebesar-besar bentuk ketaatan kepada Allah Ta'ala, sehingga Allah sendiri menyebutkan bahawa sebaik-baik perkataan seorang hamba adalah yang mengajak kepada jalan Allah.
Cuma sayangnya, ramai di kalangan para da'i (pendakwah) yang sering mengambil sikap semberono dalam dakwah. Berapa ramai di antara mereka yang berdakwah tanpa bekalan ilmu yang benar. Tidak kurang juga di antara mereka yang hanya memanipulasikan nama dakwah untuk kepentingan diri dan kelompok mereka sahaja. Mereka meninggalkan dakwah di atas manhaj Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam. Sehingga akhirnya mereka terjerumus ke dalam pelbagai bentuk penyimpangan. Akibatnya, mereka bukan berdakwah, tetapi menyesatkan diri dan masyarakat. Na'udzubillah...
Maka, Syaikh Dr. Rabe' B. Hadi pun menyusun sebuah buku berkaitan metode dan prinsip-prinsip dalam berdakwah. Beliau menjelaskan bagaimana prinsip yang benar dalam berdakwah. Apakah kaedah yang ditunjukkan oleh para Nabi dalam menyampaikan kebenaran. Apakah prioriti dan keutamaan yang wajib disampaikan dalam dakwah. Sekaligus beliau juga membantah sebahagian bentuk pemikiran atau fikrah-fikrah yang menyimpang dari jalan yang benar yang menggunakan nama dakwah. Di antara isi kandungan dan tajuk perbahasan utama buku ini adalah berkaitan rukun-rukun atau syarat-syarat dalam berdakwah, anugerah akal dan fitrah, manusia dimuliakan dengan diutusnya Rasul, keutamaan tauhid, contoh-contoh dakwah para nabi, Dakwah Nabi Musa dan Kezaliman Fir'aun, Siksaan para sahabat dalam menegakkan tauhid, pandangan para ulama terhadap imamah (kepimpinan dalam politik), dan seterusnya...
Buku ini turut disemak dan diberi rekomendasi oleh Syaikh Dr. Soleh B. Fauzan al-Fauzan, Anggota Lajnah Fatwa Arab Saudi.
Sebagaimana para Nabi memulakan dakwah mereka dengan mengajak kepada tauhid, sepatutnya demikian jugalah dengan kita. Kata Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam kepada utusan dakwahnya:
إِنَّكَ تَقْدَمُ عَلَى قَوْمٍ مِنْ أَهْلِ الكِتَابِ، فَلْيَكُنْ أَوَّلَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَى أَنْ يُوَحِّدُوا اللَّهَ تَعَالَى
“Sesungguhnya engkau akan mendatangi kelompok ahli kitab, maka hendaklah yang pertama kali engkau dakwahkan kepada mereka adalah supaya mereka mentauhidkan Allah Ta’ala.” (Shahih al-Bukhari, no. 7372)
Malah Allah Subhanahu wa Ta’ala mengatakan dengan jelas dalam firman-Nya:
وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ
“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul pada setiap umat manusia supaya menyerukan, “‘Abdikanlah diri hanya kepada Allah dan jauhilah thaghut.” (Surah an-Nahl, 16: 36)
Tetapi sayangnya, ramai pengaku juru dakwah pada hari mereka berdakwah dengan cara menyesatkan orang sana-sini, mengkafirkan orang sana-sini, mengajak melawan pemerintah, menghidupkan demokrasi, menghidupkan aqidah "human right", mengemis undi, dan mengajak pula mencari-cari kuasa pemerintahan. Laa hawla walaa Quwwata illaa billaah...
Jadi, semaklah kembali bagaimanakah cara dakwah yang benar, iaitu manhaj dakwah para Nabi.
Dakwah dan Pengikut Dalam Sorotan
Dalam sistem demokrasi, jumlah pengikut memainkan peranan yg sangat penting bagi sesebuah kelestarian ideologi. Walaupun ideologinya itu entah bagaimana caranya, yang syirik, yang bathil, mahupun yang mungkar. Yang penting, asalkan dapat menarik pengikut yang ramai, maka kedudukan engkau akan selamat.
Namun, kalau diteliti manhaj dakwah para Nabi, mengumpul jumlah pengikut bukanlah tujuan dan fokus mereka. Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah bersabda (memberitahu):
عُرِضَتْ عَلَيَّ الْأُمَمُ، فَرَأَيْتُ النَّبِيَّ وَمَعَهُ الرُّهَيْطُ، وَالنَّبِيَّ وَمَعَهُ الرَّجُلُ وَالرَّجُلَانِ، وَالنَّبِيَّ لَيْسَ مَعَهُ أَحَدٌ
“Pelbagai umat ditampakkan kepadaku, maka aku pun melihat seorang nabi di mana bersamanya sekelompok kecil pengikut, ada pula seorang nabi bersamanya seorang atau dua orang pengikut, dan ada pula nabi yang tidak ada bersamanya walau seorang pun pengikut.” (Shahih al-Bukhari, no. 5752. Muslim, no. 220. Lafaz hadis milik Imam Muslim)
Lalu, di manakah sebenarnya letak nilaian kejayaan dakwah seorang Nabi itu?
Sesungguhnya para Nabi itu adalah pemberi peringatan. Mereka berdakwah di atas manhaj dan prinsip wahyu. Tidaklah mereka berdakwah dengan melampaui batas. Mereka tetap teguh di atas prinsip biarpun diancam dengan pelbagai dugaan dan cabaran.
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
فَذَكِّرْ إِنَّمَا أَنْتَ مُذَكِّرٌ (21) لَسْتَ عَلَيْهِمْ بِمُصَيْطِرٍ
"Maka berilah peringatan, kerana sesungguhnya kamu hanyalah orang yang memberi peringatan. Kamu bukanlah orang yang berkuasa atas mereka." (Surah al-Ghasyiyyah, 88: 21-22)
Di ayat lain Allah mengkhabarkan sekaligus menunjukkan bahawa dakwah itu ada prinsip dan ketentuan-ketentuannya dan sesungguhnya para pendakwah bukanlah yang berhak memberikan hidayah, sebaliknya Allah-lah yang memberikan hidayah. Allah berfirman:
وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ لَآمَنَ مَنْ فِي الْأَرْضِ كُلُّهُمْ جَمِيعًا أَفَأَنْتَ تُكْرِهُ النَّاسَ حَتَّى يَكُونُوا مُؤْمِنِينَ (99) وَمَا كَانَ لِنَفْسٍ أَنْ تُؤْمِنَ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ وَيَجْعَلُ الرِّجْسَ عَلَى الَّذِينَ لَا يَعْقِلُونَ
"Dan kalau Rabb-mu menghendaki, sudah pasti akan beriman semua orang yang di muka bumi seluruhnya. Maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya? Dan tidak-lah ada seorangpun akan beriman melainkan dengan izin Allah. Dan Allah menimpakan kemurkaan kepada orang-orang yang tidak menggunakan akalnya." (Surah Yunus, 10: 99-100)