Judul: Syarah Al-Qawa’id Al-Mutsla, Prinsip-prinsip Penting Memahami Nama-nama dan Sifat-sifat Allah Ta’ala | Judul Asal (‘Arab): Syarh Al-Qowa’idil Mutsla fii Shifaatillaahi wa Asmaa’ihil Husna | Penulis/Penyusun: Asy-Syaikh Muhammad bin Shalih Al-‘Utsaimin rahimahullah (Wafat: 1421H) | Ta’liq/Syarah: Dr. Kamilah Al-Kiwari | Tahqiq/Takhrij: Dr. Kamilah Al-Kiwari | Penterjemah: Umar Mujtahid | Penerbit: Pustaka Dhiya’ul Ilmi (PDI | Berat: 1.3kg | Muka Surat: 557m/s. (Hard cover) | Ukuran buku: 24.5cm (tinggi) x 16.7cm (lebar) x 3.2cm (tebal) | ISBN: 978-602-801-309-3 |
Bertauhid kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan tauhid Al-Asma’ wa Ash-Shifat merupakan salah satu di antara tiga rukun tauhid; tauhid rububiyyah, tauhid ‘uluhiyyah, dan tauhid asma’wa ashi-shifat.
Kedudukan ilmu ini dalam agama begitu tinggi dan agung. Sesiapa pun tidak mungkin akan dapat beribadah kepada Allah Ta’ala secara benar dan sempurna melainkan dengan mengetahui dan memahami Nama-nama Allah Subhahu wa Ta’ala dan Sifat-sifat-Nya yang mulia. Dengan memahami Nama-nama dan Sifat-sifat-Nya dengan benar dan yakin, barulah seorang hamba dapat melaksanakan ibadah kepada-Nya. Tanpa mempelajari dan memahami tauhid ini, seseorang tidak akan mampu mengenal siapa dan hakikat Rabbnya.
Tidak dapat dinafikan sedikit pun bahawa ilmu dan tauhid al-asma’ wa ash-shifat Allah Subhanahu wa Ta’ala termasuk asas aqidah yang paling penting dan agung, serta paling banyak pula dibicarakan semenjak dahulu. Namun, dalam mempelajari dan memahami tauhid ini, tidak dapat tidak mestilah diiringi dengan ilmu dan jalan yang benar, bersesuaian dengan apa yang dikhabarkan oleh nash-nash wahyu berupa Al-Qur’an dan As-Sunnah lalu difahami bersesuaian manhaj para salaf khasnya dari kalangan sahabat-sahabat Nabi yang mulia dan para tokoh yang berjalan di atas jalan mereka (yakni para salaf).
Ini adalah kerana, tidak sedikit yang mengambil dan membicarakan nama-nama dan sifat-sifat Allah secara bathil sehingga lahir pula kelompok-kelompok yang menyimpang dengan sebab salah faham ini. Di antara kelompok-kelompok yang lahir hasil dari fahaman menyimpang tersebut adalah seperti Al-Mu’tazilah, Syi’ah, Jahmiyyah, Qadariyyah, dan Al-‘Asya’irah, bersesuaian dengan level dan kadar penyimpangan mereka masing-masing.
Maka, buku susunan Asy-Syaikh Muhammad bin Shalih Al-‘Utsaimin ini mengajak kita semua mempelajari dan memahami nama-nama serta sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala di atas prinsip-prinsipnya yang benar supaya kita semua mampu menerapkannya ke dalam keimanan kita secara sempurna dan zahirkan dalam amalan kehidupan seharian kita dengan benar pula.
Dalam masa yang sama, penyusun turut menjelaskan sudut-sudut yang sering disalah-fahami ketika memahami nash-nash nama-nama dan sifta-sifat Allah Ta’ala diikuti pula dengan penjelasan dan pencerahannya. Selain itu, penulis turut menjelaskan pelbagai bantahan terhadap pelbagai fahaman yang menyimpang dalam memahami tauhid yang mulia ini.
Memahami tauhid ini sangatlah penting; kerana ia memberi pengaruh besar dalam setiap juzuk ibadah, iman dan kehidupan seharian kita; baik ketika berdoa, ketika tertimpa ujian dan kesusahan, ketika mendapat nikmat, ketika menunaikan solat, ketika membaca ayat-ayat-Nya di dalam Al-Qur’an mahupun hadis-hadis Nabi-Nya, ketika dikurniakan rezeki, ketika berzikir, dan yang lainnya.
Semoga bermanfaat.