Judul: Beginilah Rasulullah Mengajari Kami | Judul Asal (‘Arab): Hakadza ‘Allamana An-Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam | Penulis/Penyusun: Syaikh Khumais As-Sa’id | Tahqiq/Takhrij: Penulis | Penterjemah: Ali Fauzan dan Muhammad Ashim | Penerbit: Darus Sunnah | Berat: 0.296kg| Muka Surat: 254m/s. (Soft cover) | Ukuran buku: 20.9cm (tinggi) x 14.4cm (lebar) x 1.1cm (tebal) | ISBN: 978-979-377-211-0 |
Akhlak yang baik lahir dari kefahaman yang benar yang tertanam dalam jiwa manusia. Kefahaman yang benar terhadap agama ini akan melahirkan kekuatan, semangat dan mendorongnya melakukan kebaikan dengan mudah tanpa perlu basa-basi.
Bila suatu perbuatan itu dianggap baik menurut syari’at dan dapat dicerna oleh akal yang sihat, maka ia pun disebut dengan akhlak yang mulia. Tetapi sebaliknya, apabila yang dilakukan adalah perbuatan yang buruk, maka ia pun disebut sebagai akhlak yang buruk (tercela).
Di antara misi kerasulan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah untuk menyempurnakan akhlak umat manusia. Akhlak merupakan syarat utama dalam membina sebuah tatanan kehidupan manusia. Seseorang tidak akan selamat, sebuah masyarakat tidak akan mampu berdiri dengan kukuh, dan sesebuah negara tidak akan berjaya tanpa dipasak oleh nilai-nilai akhlak yang mulia.
Tidak ada contoh dan teladan akhlak terbaik, melainkan dengan melihat dan mencontoh kepada baginda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
Melalui buku ini, penulis berusaha memperincikan secara jelas pengajaran yang dapat diambil daripada akhlak Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kepada para sahabatnya secara khusus dan umatnya secara umum.
Bagaimana seseorang dapat berakhlak mulia kepada Allah, terhadap sesama manusia, kepada haiwan, bahkan kepada alam sekitarnya. Ini semua diungkap dan dijabarkan melalui buku yang indah ini. Buku ini juga menyebutkan contoh-cotoh perilaku Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sebagai suri teladan, imam (pemimpin), dan guru yang agung bagi umat manusia. Maka berbahagialah sesiapa yang mengikuti jejak langkahnya, berpedoman dengan petunjuknya, meniti di atas ajarannya, melaksanakan perintahnya, serta menjauhi larangannya.
Buku ini membawakan perbahasan yang terpercaya dengan garis panduan ilmu serta fakta ilmiyah. Dengan rujukan terpercaya berpandukan dalil-dalil Al-Qur’an, As-Sunnah (hadis-hadis yang sahih), atsar para sahabat, dan kefahaman salafus soleh yang amat didahagakan oleh masyarakat masa kini.
Fahamilah bahawa hamba yang paling dicintai dan mendapat tempat di sisi Allah dan Rasul-Nya adalah yang paling baik akhlaknya. Seseorang tidak akan dapat memberi kebahagian kepada orang lain dengan harta, kedudukan, keturunan mahu pun kecantikan. Tetapi kebahagian dapat diperolehi dengan akhlak yang baik. Dan akhlak yang baik itu ada pada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Sebagaimana tertera di dalam surah Al-Ahzaab ayat 21 yang menyatakan bahawa suri teladan yang baik itu telah ada pada diri Rasulullah bagi sesiapa yang mengharap kebaikan di hari akhirat. Begitu juga sebagaimana tertera di dalam Surah Ali ‘Imran ayat 31 yang menyatakan bahawa sekiranya kita mencintai Allah, hendaklah kita mengikuti Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
Semoga bermanfaat.