Judul: Umat Islam Dikepung Dari Segala Penjuru | Judul Asal (‘Arab): Badaai’ul Hikam bi Dzikri Fawaa’idi Hadiitsi (Tadaa’i Al-Umami) | Penulis/Penyusun: Asy-Syaikh Salim bin ‘Ied Al-Hilali | Tahqiq/Ta’liq/Takhrij: Penulis | Syarah: Penulis | Penterjemah: Muhammad Wasitho | Penerbit: Pustaka Dhiya’ul Ilmi | Berat: 200g | Muka Surat: 176m/s. (Soft cover) | Ukuran buku: 20.25cm (tinggi) x 14.5cm (lebar) x 0.9cm (tebal) | ISBN: 978-602-8013-22-2 |
Sesungguhnya umat Islam, khususnya di zaman sekarang ini, mereka sedang mengalami kelemahan, fitnah, dan perpecahan yang sangat dahsyat, sehingga hal ini telah menjadikan mereka pun mundur berada jauh di belakang orang-orang kafir. Musibah secara bertubi-tubi telah datang menimpa mereka yang mengakibatkan hilangnya ketenangan dari rumah-rumah mereka dan sirnanya rasa aman pada kehidupan mereka.
Telah banyak dari negara-negara kaum muslimin dimasuki, dijatuhkan dan dikuasai oleh orang-orang kafir. Lihatlah apa yang terjadi di Aljazair, Syiria, Yaman, Iraq, Rohingya, Afghanistan, dan beberapa lagi yang lain. Bahkan jauh sebelum itu, empayar besar kaum muslimin telah saling bertukar dan jatuh satu per satu. Antara yang paling terkenal, dari Umawiyyah, kemudian ‘Abbasiyyah, Kerajaan Andalus dan cordova, di samping kerajaan-kerajaan kecil yang lainnya, kemudian masuk ke era ‘Utsmaniyyah, kemudian berpecah lagi menjadi negara-negara kecil yang bertebaran di serata penjuru bumi sampai hari ini. Di dalam negara-negara yang kecil ini, mereka berpecah lagi kepada kumpulan-kumpulan kecil, berupa parti-parti politik, fahaman, dan ideologi.
Di antara yang menjadi sebab dari hal ini adalah sebagaimana dikatakan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Kaum muslimin telah ditimpa dengan Al-Wahn.
Ketika penyakit Al-Wahn ini menyerang dan meliputi hati-hati kaum muslimin, maka orang-orang kafir pun akan datang mengerumuni mereka dari segala arah seraya meratah mereka tanpa memiliki rasa takut sedikit pun.
Begitulah yang tampak berlaku pada hari ini di mana kaum muslimin hilang kekuatan mereka, jauh dari agama mereka yang benar, dan akhirnya tampak pada mereka perselisihan dan perpecahan. Masing-masing dari kelompok kaum muslimin tersebut memiliki dasar pemikiran yang saling berbeza.
Sebenarnya hakikat ini telah pun dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melalui hadisnya yang diriwayatkan oleh Tsauban radhiyallahu ‘anhu, yakni terkait penyakit Al-Wahn. Dengan hadis ini, penulis (Asy-Syaikh Salim bin ‘Ied Al-Hilali) telah tampil mengupas status hadis ini dengan sebaik mungkin seraya memaparkan makna dan hikmah-hikmah di sebalik hadis tersebut.
Yang lebih menariknya, beliau turut mengupas bahawa kemenangan umat Islam bukanlah diraih dengan majoriti (kuantiti), tetapi adalah dengan kualiti biarpun jumlah individunya sedikit. Di antaranya beliau membawakan hujjah terkait perang Badar dan Hunain. Kekuatan umat Islam terletak pada ilmu, tauhid dan keimanan (aqidah yang benar), dan amal-amal solehnya yang murni. Kemurnian tauhid dan keteguhan di atas ajaran agama yang sahihlah yang akan membawa kejayaan, kekuatan, kesatuan, dan sebab datangnya pertolongan Allah. Dan telah Allah janjikan bahawa hanya dengan iman dan amal-amal yang soleh, mereka akan diberikan kekuasaan di atas muka bumi. Dan dengan iman dan ketaqwaan pula menjadi sebab dibukakan bagi mereka keberkahan dari langit dan bumi.
Sama-sama kita baca dan hadam pelbagai hikmah hadis yang dipaparkan oleh Asy-Syaikh Salim bin ‘Ied Al-Hilali ini.
Semoga bermanfaat.